- Details
Kebanyakan sungai di dunia sedang diganggu oleh pencemaran, pambangunan yang tidak terancang, penuaian dan penangkapan secara berlebihan. Begitu juga negara maju telah memperuntukkan berbilion dollar Amerika untuk mendapatkan sumber air. Semua ini telah memberi kesan-kesan yang buruk kepada biodiversiti.
Menurut kajian yang berdasarkan kepada tahap bekalan air mentah dan taraf hidup hidupan liar, tahap kesihatan sungai-sungai utama di dunia dapat dikenal pasti.
Terdapat 23 perkara yang menyebabkan kemudaratan kesihatan sungai, termasuklah pengekstrakan air, jenis-jenis sektor agrikultur dan industri, tahap pencemaran, petumbuhan populasi dan pembangunan bandar.
Menurut kajian yang telah dijalankan, 80 peratus daripada penduduk dunia didedahkan kepada ancaman kekurangan bekalan air mentah.
30 daripada 47 sungai yang terbesar di dunia, yang menyumbangkan hampir separuh daripada air mentah dunia, berada pada tahap ancaman yang sederhana.
8 daripada sungai-sungai tersebut diklasifikasikan sebagai ancaman yang sangat tinggi kepada bekalan air mentah kepada manusia. Selain itu, 14 daripada sungai-sungai itu berada pada tahap yang kritikal kepada biodiversiti.
Namun begitu, sungai-sungai di Scandinavia, Siberia, Kanada Utara, beberapa kawasan di Amazon dan utara Australia mencatatkan ancaman yang paling rendah.
Di negara yang maju dan kaya, pelaburan yang besar terhadap empangan, kawasan tadahan air dan menukarkan aliran daripada kawasan wetlands telah menguntungkan 850 juta orang sehingga dapat mengurangkan pendedahan mereka kepada ancaman bekalan air sebanyak 95%.
Akan tetapi, cara-cara ini tidak dapat menyelesaikan sebab-sebab berlakunya ancaman bekalan air, sebaliknya memberi kesan-kesan yang buruk kepada hidupan liar. Di samping itu, habitat beberapa spesis akuatik juga telah mengalami kemusnahan.
Di negara-negara yang berpendapatan sederhana dan tinggi, pelaburan yang besar ini telah memberi manfaat kepada 140 juta orang, mengurangkan ancaman bekalan air sebanyak 23%.
Bagi negara-negara membangun pula, pelaburan yang kecil dalam pembangunan infrastruktur menyebabkan 3.4 bilion orang terjerumus kepada kategori ancaman yang paling kritikal.
Kebanyakan negara-negara di benua Afrika, Asia Tengah, China, India, Peru dan Bolivia sedang berusaha sedaya upaya untuk membangunkan perkhidmatan asas air seperti air minuman yang bersih dan sanitasi.
Kajian ini juga hanya merupakan anggaran yang konservatif. Ia tidak berupaya untuk mengambil kira pencemaran daripada penggalian sumber ataupun kesan-kesan kepada biodiversiti daripada produk-produk farmaseutikal dalam air sungai.
Sebagai langkah untuk masa hadapan, perubahan iklim bakal merupakan ancaman-ancaman yang bertambah buruk dan memberi tekanan yang besar kepada sungai-sungai dan spesis-spesis hidupan liar.
Sekiranya komitmen polisi dan kewangan tidak wujud, maka akan wujud jurang yang besar dalam bekalan air di antara negara kaya dengan negara yang mundur.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
- Details
Seramai 80,282 orang murid dari 170 Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan 34 buah Sekolah Menengah di daerah Muar telah diarahkan supaya bercuti apabila indeks pencemaran udara (IPU) mencapai tahap berbahaya iaitu 432 mata, semenjak jerebu melanda hari Isnin lalu.
Kejadian jerebu kali ini dikatakan berpunca daripada pembakaran terbuka yang berlaku di Indonesia terutama Sumatera. Jerebu boleh terjadi akibat daripada pembakaran terbuka, asap kilang dan asap kenderaan.
Apakah Jerebu
Ia terjadi apabila keupayaan sistem udara persekitaran gagal menampung bebanan bahan cemar. Keadaan ini bertambah buruk sekiranya berlaku dalam cuaca yang stabil seperti keadaan kurang berangin. Ini akan menyebabkan bahan cemar tersebut tidak dapat diselerakkan ke tempat lain. Jerebu yang semakin menebal itu boleh menyekat pancaran matahari ke bumi. Oleh yang demikian, keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar.
Indeks Pencemaran Udara (IPU)
IPU diperolehi daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. IPU digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan seperti berikut :-
Penduduk terlibat perlu sentiasa mengetahui laporan kadar IPU dari semasa ke semasa dari media televisyen dan radio.
Kesan kesihatan
Komponen yang terdapat pada jerebu ialah karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida, ozon, habuk dan logam boleh membawa kesan yang buruk pada kesihatan manusia terutama golongan kanak-kanak dan warga tua. Begitu juga dengan individu yang menghidapi penyakit tertentu seperti asma, alahan, pneumonia dan penyakit paru-paru. Perokok dan mereka yang bekerja di kawasan terbuka turut berisiko tinggi.
Menurut Pakar Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, zarah terampai yang melebihi 10 mikron tidak dapat masuk ke dalam paru-paru kerana sistem penafasan kita mempunyai sistem penapisan yang baik. Walau bagaimanapun, sekiranya zarah terampai yang kurang daripada 10 mikron (PM10) masuk ke dalam sistem pernafasan, maka ia boleh merosakkan tisu paru-paru.
Begitu juga halnya dengan gas-gas berbahaya yang terkandung di dalam udara tercemar,yang semuanya boleh mengganggu kesihatan. Karbon dioksida boleh mengganggu penyerapan oksigen di dalam darah, nitrogen dioksida pula boleh merangsang penyakit asma, sulfur dioksida akan menyebabkan ransang bronkus/ saluran pernafasan (bronchitis) dan ozon mencederakan membran mucus di dalam saluran pernafasan sehingga menyebabkan masalah radang paru-paru. Manakala, udara yang mengandungi sulfur dioksida yang tinggi akan menyebabkan kekurangan vitamin D. Vitamin D diperlukan untuk mencegah barah kolon dan buah dada.
Berikut adalah kesan karbon dioksida kepada kesihatan manusia (Rajuna,1996)
Tindakan pencegahan
Berikut adalah nasihat kesihatan mencegah kemudaratan jerebu terutama kepada orang ramai di Muar dan kawasan-kawasan lain yang sedang dilanda jerebu:
- Kurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.
- Sentiasa cuba berada di dalam bangunan (indoor). Jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (mask) yang sesuai.
- Pastikan udara di dalam rumah/bangunan sentiasa bersih.
- Kurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok.
- Apabila memandu, gunakan penghawa dingin. Pilih operasi (mode) kitaran udara dalaman.
- Banyak minum air kosong (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari).
- Basuh tangan dan muka dengan sabun dan air bersih selepas melakukan/menghadiri aktiviti luar.
- Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jikalau keadaan penyakit bertambah teruk.
- Orang awam boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu boleh diperolehi dari laman web http://www.infosihat.gov.my.
Siti Rahayu Zakaria
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia
- Details
”Masalah bekalan air adalah lebih membimbangkan jika dibandingkan dengan sektor tenaga. Demikian menurut pakar air dunia, Sandra Postel dalam buku terbaru beliau.
Menurut Postel, air adalah kritikal bagi kehidupan dan tidak ada sumber yang boleh menggantikannya berbanding dengan minyak.
’Ekonomi dunia sedang bertukar daripada penggunaan bahan api fosil kepada tenaga solar, angin dan sumber tenaga lain yang tidak menghasilkan gas karbon dioksida. Tetapi air tidak mempunyai sebarang gantian,” ujar Postel.
Air juga merupakan kesan perubahan iklim yang paling kerap dijumpai dan berlaku. Pada tahun ini musim kemarau yang berlaku telah menyebabkan banyak kerugian, begitu juga dengan kejadian banjir besar di Pakistan, yang menyebabkan seramai 1,600 orang terbunuh, manakala 20 juta orang kehilangan tempat tinggal sejak bulan Julai lalu.
Dalam buku Postel ini, beliau memberi amaran bahawa strategi pengurusan air yang diamalkan pada masa ini tidak lagi sesuai untuk menghadapi perubahan iklim.
Data dan statistik yang menjadi petunjuk kepada perancangan untuk memperuntukkan $500 bilion bagi membina empangan, struktur pengawalan banjir dan infrastruktur air tidak lagi dipercayai. Dengan kata lain, sejarah pengurusan air yang dahulu tidak sesuai lagi untuk dijadikan sebagai panduan pada masa hadapan.
Ketidakpastian bekalan dan corak aliran air masa depan memburukkan lagi keadaan masa kini. Selain itu, keselamatan makanan, kesihatan umum dan kehidupan juga sedang menghadapi masalah.
Menurut kajian, ahli sains juga menunjukkan bahawa 50% Tasik Mead di Amerika Syarikat akan kering menjelang tahun 2021. Tasik ini merupakan sumber air kepada Sungai Colorado yang membekalkan air kepada berpuluh-puluh juta orang penduduk dan berjuta-juta hektar kawasan pertanian.
Jalan Penyelesaian
Cabaran air yang sedang berlaku ini adalah tidak dapat dielakkan. Namun terdapat berita baik iaitu terdapat teknologi dan sumber ekonomi yang dapat memastikan keperluan air sedunia terjamin. Cuma ia hanya perlu digunakan dengan bijak.
Jalan penyelesaian yang baik dan berkesan perlu dilakukan bersesuaian dengan keadaan alam sekitar dan membuat penyesuaian terhadap perlindungan banjir, penapisan air dan perkhidmatan lain yang melibatkan air. Penggunaan air yang bijak dalam semua lapisan masyarakat seperti bandar, perniagaan dan pertanian perlu dilakukan dengan berhati-hati dan lebih prihatin terhadap jejak air dan kaedah untuk mengurangkan penggunaan.
Ini mampu dicapai melalui pemuliharaan, penuaian air hujan, skema harga yang berlainan dan polisi, tandas yang cekap air, cara penjanaan tenaga dan sistem pengairan dan saliran yang baik.
Kaedah yang asas sekali ialah bermula dengan membeli barangan tempatan. “Sekiranya masyarakat dapat hidup dengan air, tenaga dan makanan yang dihasilkan di peringkat tempatan, fikiran dan keprihatinan terhadap perlindungan sumber akan dijana dan dapat menghadapi ketidakpastian yang berlaku masa depan.” kata Postel.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
- Details
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah melancarkan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” di peringkat kebangsaan.
Semua pasar raya besar, pasar raya dan stesen minyak tidak akan memberi beg plastik secara percuma pada setiap hari Sabtu.
Dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan kegunaan beg plastik, orang ramai perlu membayar 20 sen bagi setiap beg plastik apabila mereka membeli belah pada hari Sabtu di pasar raya besar, pasar raya dan stesen minyak Petronas.
Jumlah wang yang dikutip daripada penjualan beg plastik ini akan disalur kepada dana untuk kebaikan alam sekitar dan komuniti.
Walau bagaimanapun, penduduk di Pulau Pinang perlu membayar 20 sen untuk setiap beg plastik setiap hari apabila dasar“Hari Tanpa Beg Plastik” Kerajaan Pulau Pinang dilaksanakan bermula pada 1 Januari 2011
Semua pasar raya besar, pasar raya, farmasi, restoran makanan segera, restoran nasi kandar serta stesen minyak perlu melaksanakan kempen “Tiap-tiap Hari Mengurangkan Beg Plastik”.
Dasar hari tanpa beg plastik percuma dapat mendorong orang ramai memikir tentang alam sekitar apabila mereka membeli belah.
Secara purata, setiap orang menggunakan 8 beg plastik setiap minggu. Kebanyakan beg plastik ini tidak digunakan semula. Jika beg plastik dibuang, ia memerlukan 500 tahun untuk diuraikan. Ini merupakan satu beban kepada bumi.
Menurut kajian, penduduk Malaysia memboroskan sebanyak 163 bilion bahan yang dapat dikitar semula dalam masa dua tahun. Jika semua bahan ini diguna atau dikitar semula, ia membawa manfaat yang besar kepada penduduk dan alam sekitar di Malaysia.
Di samping itu, kerajaan Pulau Pinang juga melaksanakan kempen tanpa polistrena di semua pusat penjaja kerajaan tempatan.
Plastik dan polistrena merupakan bahan yang tidak dapat berurai secara semula jadi. Jadi pengurangan kegunaan polistrena merupakan satu cara yang dapat menjaga alam sekitar.
Sam Wong
- Details
Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bersama-sama Suruhanjaya Tenaga dan TNB sentiasa menjalankan Program Kempen Kesedaran Kecekapan Tenaga kepada semua golongan rakyat Malaysia yang meliputi pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah, orang awam dan juga untuk pihak industri.
Tetapi, daripada pemerhatian sebagai penceramah saya mendapati bahawa kesedaran masyarakat Malaysia terhadap produk-produk kecekapan tenaga yang ada dalam pasaran tempatan dan mahupun dunia adalah kurang jika membandingkan negara-negara lain seperti Jepun, Korea, China, Amerika dan lain-lain.
Di Malaysia, Suruhanjaya Tenaga dan KeTTHA telah mengiktiraf banyak produk elektronik yang menggunakan tenaga elektrik yang sedikit dalam melakukan kerja. Contohnya, televisyen, peti sejuk, kipas, penghawa dingin dan lain-lain. Kesemua barangan elektrik yang diiktiraf sebagai produk kecekapan tenaga dilabelkan dengan barisan bintang di mana 1 bintang mewakili kurang cekap tenaga hingga 5 bintang menunjukkan produk yang paling cekap tenaga. Label bintang biasanya akan dipamerkan di hadapan produk tersebut.
Apabila penceramah melontarkan soalan berkaitan dengan label kecekapan tenaga ini, 92 peratus daripada para hadirin memberi jawapan tidak tahu apakah maksud label tersebut dan tidak pernah melihat sebelum ini. Ada di antara para hadirin mengaku jika hendak membeli barangan elektrik yang baru, mereka hanya memikirkan harga produk dan jenama sahaja. Mereka tidak pernah mengambil tahu tentang butiran maklumat yang tertera di produk seperti berapa Walt (W) yang digunakan, Arus (A), Voltan (V) dan sebagainya.
Sebagai pengguna yang bijak, kita seharusnya mengambil tahu butiran-butiran tersebut untuk mengenal pasti produk tersebut cekap tenaga atau tidak. Oleh itu, sebelum kita membeli sesuatu produk elektronik, kita seharusnya merancang dan meneliti kegunaan produk tersebut dan memastikan produk tersebut dilabelkan dengan logo kecekapan tenaga.
Mageswaran Senderal
- Details
Dalam usaha untuk mencari penyelesaian terbaik kepada krisis air, kita sering terlupa tentang hubungan tiga segi di antara air, makanan dan tenaga.
Sebanyak 80% air tawar di Asia telah digunakan untuk sektor agrikultur, manakala bakinya digunakan untuk penjanaan tenaga, industri dan kegunaan domestik. Biasanya, 50% daripada jumlah tenaga yang digunakan untuk penyaliran air, yang lebih tertumpu kepada tenaga hidro dan proses penyejukan di loji jana kuasa.
Air tawar untuk bahan api bio (bio-fuels) juga mulai bersaing dengan air untuk sektor agrikultur. Ini menunjukkan hubungan tiga segi menjadi semakin sengit. Jika pihak berkuasa dan pembuat dasar tidak melihat kepada hubungan ini semasa merancang dan membuat bajet, maka hubungan ini semakin sukar untuk dikawal.
Ramai yang akan bertanya bahawa adakah hubungan ini merupakan sesuatu yang baru? Tidak, kerana ia telah pun bermula apabila nenek moyang kita mula bercucuk tanam. Sebagai contohnya tebu. Untuk menghasilkan satu tan tebu, sebanyak 250 tan air diperlukan. Manakala untuk menghasilkan satu kilogram daging, 30,000 hingga 70,000 liter air tawar diperlukan.
Pertumbuhan pesat di Asia telah meningkatkan pendapatan dan tabiat pemakanan rakyat Asia. Keperluan daging di rantau Asia telah meningkat sebanyak 700% dalam masa 40 tahun sahaja. Di China sahaja, penggunaan daging telah berlipat ganda dalam masa 20 tahun dan dijangka akan meningkat satu kali ganda lagi pada tahun 2030.
Maka, selain keperluan makanan dan air, tenaga yang diperlukan juga semakin meningkat dan sukar untuk dikawal. Bagaimana untuk memenuhi peningkatan keperluan makanan jika hubungan tiga segi ini tidak dapat dikawal dengan berkesan? Selain di Asia, dilema ini juga bakal menjadi masalah kepada dunia.
Penjanaan tenaga memerlukan 30% daripada semua air yang terdapat di Eropah dan 40% di Amerika Syarikat. Di Asia, keperluan tenaga bakal meningkat sebanyak 40% mengikut unjuran dan keperluan industri setinggi 65%.
Pada tahap pertumbuhan ini, sektor agrikultur akan menghadapi kekurangan sumber air dan penghasilan tanaman akan menurun. Di samping itu, dalam masa 20 tahun ini, dunia ini bakal menghadapi penurunan hasil tanaman makanan, kekurangan sumber air dan lebih terdedah kepada kesan perubahan iklim.
Saling pergantungan antara air, tenaga dan makanan akan menyebabkan keadaan geo-politik dalam dunia ini berubah dan mengecutkan keupayaan untuk mendapatkan air tawar, terutamanya di negara-negara sedang membangun.
Air menjadi faktor yang baru dalam perdebatan keselamatan makanan dan tenaga serta merupakan elemen penting dalam hubungan antarabangsa. 40% air tawar yang boleh didapati di muka bumi ini terbahagi kepada sungai dan kawasan tadahan air yang dikongsi dan tertumpu di Mekong, Indus, Brahmaputra, Syr Darya dan Amur Darya. Namun, paras air di semua sungai yang semakin menurun ini jelas menunjukkan masa hadapan air tawar di kawasan ini amat membimbangkan.
Adakah ini menunjukkan dunia bakal menghadapi kekurangan air? Adakah pertumbuhan ekononi dan kelestarian alam sekitar bakal terjejas teruk akibat unjuran kekurangan air ini? Ya, itulah jawapan kepada semua persoalan ini.
China dan India telah membuat satu unjuran dan mendapati pada tahun 2030, jumlah kekurangan air tawar untuk kedua-dua negara ini adalah sebanyak 1 trilion meter padu. Bangladesh, Kemboja, Nepal, Pakistan, Filipina dan Vietnam merupakan negara-negara lain yang bakal menghadapi cabaran ini. Laporan yang konservatif akan melaporkan bahawa bandar-bandar besar di Asia hilang sebanyak 29 bilion meter padu air yang telah dirawat dalam setahun. Dianggarkan kerugian sebanyak AS$9 bilion disebabkan oleh prestasi sistem pengurusan air yang lemah.
Selain hubungan tiga segi ini, alam sekitar juga merupakan mangsa pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang terlalu pesat dan menjejaskan keseimbangan ekologi.
Di China dan India, kehilangan air bawah tanah berlaku di serata tempat. 50% air permukaan di aliran Sungai Hai di China tidak dapat digunakan. Di Filipina, 50 daripada 412 sungai telah ‘mati’. 50% daripada air di Sungai Ganges di India dan Sungai Kuning di China tidak lagi sesuai untuk penanaman agrikultur.
Apabila bekalan makanan tidak mencukupi, maka sosio-ekonomi akan turut terjejas apabila bandar dan industri kehilangan daya untuk berkembang disebabkan kekurangan sumber air dan isu-isu ketidakadilan sosial akan meningkat.
Namun, masih tidak terlambat lagi untuk memperbaiki keadaan ini. Penggunaan dan pengurusan air tawar yang cekap merupakan jalan penyelesaian yang terbaik. Oleh itu, Asia perlu mengambil langkah drastik dengan membuat polisi yang dapat meningkat kecekapan penggunaan air. Sebagai contoh di Kemboja, jika negara ini dapat menurunkan air tidak terhasil daripada 72% kepada 6%, maka negara-negara lain juga berupaya untuk mencontohi usaha Kemboja ini.
Walaupun usaha ini melibatkan kos yang tinggi, tetapi sekiranya tiada ada sebarang usaha dilakukan, maka kosnya akan lebih tinggi dan seterusnya memudaratkan kehidupan. Air tawar juga perlu diberi harga yang lebih berpatutan mengikut kadar dan kos operasi. Kegunaan air tawar perlu dikawal dengan lebih ketat oleh pihak berkuasa yang akan menjamin keseimbangan di antara semua sektor yang memerlukan air.
Hubungan tiga segi ini tidak memerlukan teori yang rumit untuk menjelaskannya. Ia juga bukan sesuatu yang misteri, tetapi merupakan satu kebenaran. Ia juga merupakan satu sistem amaran awal agar tindakan segera dilakukan untuk kelestarian air di Asia pada masa hadapan.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
- Details
Kajian awal expedisi Dana Hidupan Liar (WWF) di luar pesisiran laut Sabah menunjukkan wujudnya kepelbagaian hidupan laut yang tinggi. Expedisi selama tiga minggu itu juga membuktikan kawasan laut di Sabah ini yang dikenali sebagai Kawasan Batu Karang Segi Tiga (Coral Triangle) kemungkinan merupakan kawasan yang mempunyai kepelbagaian hidupan di bumi.
Namun, kajian di kawasan batu karang Semporna telah menunjukkan berlakunya kerosakan dan kesihatan batu karang terjejas akibat peningkatan aktiviti manusia di kawasan marin ini.
Lapan belas ahli sains dari Malaysia, Belanda dan Amerika Syarikat telah melakukan kajian dan penilaian selama 3 minggu terhadap tahap kesihatan kawasan batu karang Semporna yang terkenal itu.
Dalam tempoh antara 29 November hingga 18 Disember 2010, pasukan ini telah mencatatkan tahap kesihatan kawasan batu karang dan spesies hidupan laut yang lain. Pasukan ini mendapati bahawa terdapat 43 spesis batu karang cendawan (mushroom coral) di Semporna. Jumlah ini melebihi jumlah yang dicatatkan di Indonesia dan Papua New Guinea.
“ Mushroom coral ini boleh dijadikan sebagai ‘wakil’ bagi kepelbagaian spesis batu karang yang lain. Jika kita menjumpai kepelbagaian spesis yang tinggi bagi mushroom coral , maka kita juga akan dapat kepelbagaian spesis tinggi bagi spesis lain.” ujar Dr. Bert Hoeksema, Ketua Jabatan Zoology Marin di NCB Naturalis.
Batu karang merupakan tapak asas kepada ekosistem di kawasan marin tropika. Terumbu batu karang yang terhasil itu membekalkan tempat tinggal kepada hidupan lain yang bersaiz kecil dan merupakan salah satu bahagian dalam rantaian makanan. Selain itu, ia juga memainkan peranan sebagai pembekal kepada rantaian makanan melalui hubungan simbiosis dengan alga yang terdapat dalam sel-sel batu karang.
Pada masa yang sama, pasukan kajian tersebut mencatatkan sebanyak 844 jenis ikan yang terdapat di kawasan Semporna. Ini merupakan kawasan yang paling banyak jenis ikan dicatat dalam kawasan Coral Triangle ini berbanding dengan kawasan laut di Filipina dan Indonesia.
Kajian awal expedisi tersebut menunjukkan hanya 5% terumbu karang yang hidup itu berada pada tahap kesihatan yang cemerlang. Manakala 23% terumbu karang berada pada tahap baik dan 36% pada tahap memuaskan. 36% yang lain mencatatkan tahap kesihatan yang kurang memuaskan.
Tanda-tanda pemutihan dan penyakit batu karang dapat diperhatikan di beberapa kawasan kajian. Aktiviti-aktiviti manusia yang semakin bertambah telah membinasakan hidupan di kawasan tersebut. Antanya penggunaan bom ikan untuk menangkap ikan, pembuangan haram peralatan ikan dan juga pembuangan sisa sampah menyebabkan keadaan bertambah teruk.
Terdapat beratus ribu orang yang bergantung kepada kepelbagaian hidupan laut ini sebagai sumber makanan utama mereka. Selain itu, kawasan terumbu karang di Semporna ini menjadi destinasi bagi sukan selam skuba yang utama di Malaysia. Ia menjana pendapatan yang lumayan kepada sektor pelancongan.
Banyak usaha pemuliharaan masih perlu dilakukan di kawasan batu karang Semporna ini bagi melindungi kawasan yang kaya dengan hidupan marin.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
- Details
Baru-baru ini, Perdana Menteri telah melancarkan 19 projek Program Transformasi Ekonomi (ETP) baru yang bernilai RM67 bilion. 4 daripada 19 projek tersebut yang bernilai hampir RM20 bilion adalah projek yang membabitkan minyak, gas dan tenaga. Sebagai salah sebuah negara pengeluar minyak utama di Asia Timur Tenggara, pelaburan yang besar adalah biasa dan mampu membawa negara ke arah negara maju.
Persoalannya, pernah kita terfikir apakah yang akan berlaku apabila minyak di dunia ini habis digali?
Saluran National Geographic telah memberi gambaran yang terperinci tentang kehidupan manusia selepas dunia kehabisan minyak melalui siri dokumentasinya yang bertajuk Aftermath: World Without Oil.
Pada hari kelima minyak habis, negara seperti Amerika Syarikat akan melaksanakan undang-undang ketenteraan. Stesen gas kehabisan minyak petrol dan jumlah makanan yang terdapat di kedai-kedai mula berkurangan kerana tidak mempunyai minyak yang cukup untuk membolehkan bekalan yang berterusan. Pengawal-pengawal yang bersenjata perlu bersiap sedia di semua tempat bagi mengawal keadaan huru-hara yang kian tercetus.
Keadaan huru-hara semakin menular ke seluruh dunia dan kehidupan tidak lagi senang dan mewah.
Beberapa bulan selepas dunia kehabisan minyak, hospital mula menghadapi masalah. Bekalan benda-benda yang diperbuat daripada minyak seperti sarung tangan pembedahan, ubat-ubatan dan minyak pelincir semakin kehabisan stok.
Catuan makanan menjadi sebahagian daripada kehidupan. Keluarga perlu mencari makanan hingga sanggup bertengkar dengan jiran-jiran. Ternakan-ternakan yang dulu banyak diperlihara untuk makanan mati disebabkan kos makanan untuk ternakan-ternakan ini telalu mahal.
Kepanasan yang keterlaluan menyebabkan stesen jana kuasa meletup dan menyebabkan kebakaran. Menjelang musim sejuk, keadaan bertambah teruk. Kekurangan makanan dan bahan api untuk memanaskan badan menyebabkan kematian beramai-ramai, terutamanya di negara-negara mundur.
Selepas satu tahun, kelaparan dan kekurangan makanan sedunia telah mengorbankan berjuta-juta nyawa. Negara-negara dipinggirkan kerana perkhidmatan yang bergantung kepada minyak seperti perkapalan, perniagaan dan juga komunikasi telah ditamatkan.
Ketenteraan di semua negara tidak berfungsi kerana kehabisan minyak.
Kerajaan mula memberi perhatian kepada etanol dan minyak tumbuh-tumbuhan seperti bahan api bio (biofuel) untuk menggantikan minyak. Walau bagaimanapun, penggunaan bahan makanan untuk bahan api menjadi kekangan apabila krisis kekurangan makanan sedang meragut berjutaan nyawa di dunia.
Ramai orang mulai menanam makanan sendiri dan menternak ternakan kecil seperti ayam untuk meneruskan kehidupan.
Dalam dunia tanpa bekalan minyak, pemuliharaan selepas malapetaka alam semula jadi tidak dapat dilakukan kerana jentera-jentera pembersihan tidak dapat berfungsi.
Sepuluh tahun selepas bekalan minyak habis, dunia telah mengalami banyak perubahan. Negara-negara maju tidak mempunyai minyak ataupun wang untuk menghantar roket ke angkasa lepas untuk membuat pembaikan di satelit dan stesen angkasa antarabangsa. Akhirnya, semuanya menjadi sampah yang hanyut di angkasa lepas. Bahan-bahan seperti besi dan emas digunakan sebagai mata wang dan digali untuk kegunaan harian.
Operasi di lapangan terbang terhenti kerana minyak telah habis. Pengangkutan seperti lori yang boleh berfungsi melalui bahan api bio menjadi pembekal utama ke seluruh negara.
40 tahun selepas minyak habis, dunia telah menjadi lebih perlahan dan sunyi. Pencemaran alam sekitar juga telah berkurangan. Penduduk sedunia menanam dan menternak makanan sendiri dengan menggunakan tempat letak kereta yang terbiar, atas bumbung rumah dan semua tanah lapang yang boleh didapati. Kereta yang digunakan adalah lebih kecil, ringan dan berfungsi dengan menggunakan bahan api bio dan batteri lithium.
Bagaimana pula dengan bekalan elektrik dalam dunia tanpa minyak? Pada masa kini, terdapat banyak pilihan dan cara untuk menghasilkan tenaga seperti tenaga suria, air dan angin. Teknologi-teknologi ini telah wujud dan berfungsi tetapi tidak mendapat perhatian utama kerajaan untuk membiayai kos penyelidikan dan pembangunan teknologi ini.
Sekiranya kita ingin menghadapi cabaran dalam dunia tanpa minyak seperti digambarkan melalui program Saluran National Geographic itu, maka penyelidikan tenaga yang boleh diperbaharui dan bahan api alternatif hendaklah menjadi faktor utama untuk kesejagatan manusia pada masa depan. Rancangan awal yang teliti dan teratur mesti dijalankan daripada usaha individu hingga kerajaan. Dan ia perlu dilakukan mulai sekarang!
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
- Details
Rakyat malaysia masih lagi janggal dengan perkataan bangunan hijau atau green building. Apakah yang dimaksudkan dengan bangunan hijau? Adakah ia membawa manfaat atau memberi kemudaratan kepada kita?
Sebenarnya, bangunan hijau adalah bangunan yang mempraktikkan kepentingan alam semula jadi bermula dari lakaran pembinaan, operasi, selenggara sehingga peringkat pengubahsuaian. Tujuan utama teknologi ini dibangunkan untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia akibat daripada kepesatan pembangunan.
Bangunan hijau memberi tumpuan terhadap kecekapan penggunaan tenaga, air dan bahan mentah. Penciptaan bangunan hijau adalah merupakan suatu inovasi baru yang bukan sahaja memberi kebaikan kepada alam sekitar, malah juga kepada ekonomi. Ini dilihat dengan ketara melalui penjimatan sumber tenaga yang digunakan.
Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan kos operasi dan memulihara alam sekitar. Bukan itu sahaja, kesan kos operasi yang rendah juga dapat meningkatkan nilai hak milik bangunan tersebut.
Bangunan hijau mempunyai kawalan suhu dan ventilasi terhadap peningkatan pencahayaan. Ini merupakan salah satu kebaikan yang dimiliki oleh bangunan hijau. Hasilnya, ia dapat menjaga kesihatan penghuni di dalam bangunan tersebut daripada sinaran ultra, masalah kesihatan yang berpunca daripada ketidakstabilan suhu persekitaran dan pendedahan sinaran ultra yang berbahaya.
Ramai yang tidak mengetahui bahawa Malaysia telah mempunyai bangunan hijau semenjak tahun 2005. Bangunan ini dikenali sebagai nama GTower yang terletak di Jalan Tun Razak berhampiran dengan KLCC. Ia telah mendapat pengiktirafan sebagai Green Mark Gold dari Building and Construction Authority of Singapore (BCA) kerana ciri-ciri bangunan ini bukan sahaja mengagumkan, malah ia menitikberatkan kepentingan alam sekitar di dalam struktur pembangunannya.
Pencapaian ini diharapkan dapat menarik lebih ramai pemaju hartanah untuk lebih bersikap prihatin dan mempunyai kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar dan pembangunan mampan. Pembangunan yang mesra alam lebih tinggi nilainya berbanding dengan bangunan biasa, di samping dapat menjaga alam sekitar.
Tan Han Yee
ERA Consumer Malaysia
- Details
Setiap hari kita membeli dan membaca surat khabar. Bayangkan jika surat khabar itu tidak perlu dibuang. Sebaliknya dakwat pada kertas tersebut tersusun dengan sendirinya pada setiap pagi untuk membentuk tajuk berita yang baru.
Tulisan pada surat khabar boleh hilang seperti yang terdapat dalam filem Harry Potter. Walaupun kedengaran aneh dan tidak benar, tetapi itulah keajaiban yang terdapat pada dakwat elektronik.
Konsep dakwat elektronik bukan suatu perkara yang baru dalam bidang sains dan teknologi. Namun usaha untuk merealisasikan konsep ini ke dunia nyata baru sahaja bermula.
Ramai mengatakan dakwat elektronik (juga sering disebut kertas elektronik) sebagai satu kemajuan paling berpotensi dalam dunia penerbitan semenjak penciptaan kertas hampir dua kurun yang lalu.
Dakwat Elektronik diibaratkan mikrokapsul berlingkar untuk membersih, bebola yang sangat kecil yang dipenuhi dengan cecair gelap. Di dalam cecair gelap tersebut, terdapat partikel putih bercaj yang terapung. Jika partikel bercaj itu naik ke permukaan mikrokapsul, maka titik pada kertas akan muncul sebagai titik putih. Jika partikel turun ke dasar, cecair gelap membentuk titik hitam. Mengaplikasikan caj positif dan negatif merentasi belakang jaringan piksel yang dibekalkan oleh filem transistor nipis membentuk perkataan. Oleh itu, tidak seperti dakwat biasa yang hanya muncul apabila dicetak, dakwat elektronik meliputi halaman, mendedahkan pigmen putih atau gelap bergantung kepada caj elektronik piksel individu.
Dakwat elektronik lebih rapuh daripada pemapar LCD dan dapat menandingi perkataan yang tercetak pada kertas putih. Sebaik sahaja ditetapkan, partikel bercaj di dalam dakwat elektronik akan kekal. Dakwat elektronik boleh dibaca dalam keadaan cahaya yang rendah dan di mana-mana sudut. Teknologi ini memerlukan kuasa yang sangat kecil untuk menukar caj partikel, sesuai untuk kegunaan komersial berskala besar. Salah satu matlamat dalam pembangunan dakwat elektronik ialah untuk menyediakan medium yang boleh “menyadur” sebarang permukaan dan menukar segalanya kepada paparan maya, termasuk kertas.
Filem nipis mini transistor membentuk jaringan belakang berlamina, yang membekalkan caj kepada mikrokapsul. Ideanya ialah untuk mencipta kertas elektronik senipis mungkin agar boleh dikepit di bawah lengan. Dengan pembenaman sambungan tanpa wayar di belakang papan tanda atau pada tulang buku, dakwat elektronik boleh bertukar melalui isyarat tanpa wayar yang ringkas.
Beberapa aplikasi buku elektronik telahpun menggunakan dakwat elektronik. Terdapat juga kedai-kedai, jalan raya, tren dan beberapa tempat menggunakan papan tanda yang diperbuat daripada dakwat elektronik. Salah satu kehebatan teknologi ini ialah setiap papan tanda di setiap cawangan kedai boleh dikemas kini dengan serta merta. Hanya memerlukan satu arahan ringkas dikeluarkan daripada pusat rangkaian menggunakan komputer.
Walaupun dakwat elektronik dijangka tidak akan menggantikan dakwat dan penggunaan kertas sepenuhnya, namun ia dijangka menjadi titik revolusi dalam industri penerbitan, di samping dapat mengurangkan penggunaan kertas dan menyelamatkan pokok-pokok daripada terus ditebang.
Siti Rizadiana Binti Rahmat
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
Subcategories
Page 142 of 232