- Details
Tenaga solar dan angin merupakan dua sumber tenaga yang boleh diperbaharui, tetapi berada dalam keadaan yang tidak menentu. Kedua-duanya tidak boleh menjana tenaga sepanjang hari tetapi hanya pada tempoh yang tertentu sahaja. Akibatnya, tenaga yang dijana ini akan kehabisan atau hilang dalam masa yang singkat apabila angin tidak bertiup ataupun matahari ditutup oleh awan.
Untuk menyalurkan sumber tenaga yang berterusan kepada pihak penyedia bekalan, kedua-dua sumber tenaga yang boleh diperbaharui ini perlu disokong oleh kaedah penyimpanan tenaga yang baik seperti bateri.
Ketidaktentuan bekalan tenaga oleh kedua-dua sumber tenaga ini masih bukan merupakan masalah yang besar memandangkan kedua-duanya hanya membekalkan peratusan yang rendah dalam penjanaan tenaga di dunia.
Namun, banyak negara telah berhasrat dan mengumumkan pelan untuk membangunkan sektor tenaga solar dan angin secara besar-besaran. Justeru, isu ketidaktentuan ini mesti diselesaikan dengan secepat mungkin.
Cara penyimpanan tenaga melalui bateri ion Lithium merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mengatasi masalah ini. Negara Amerika Syarikat dan China merupakan negara-negara di dunia yang mempunyai kemudahan penyimpanan bateri ion Lithium.
Bateri jenis ini bukan satu-satunya jenis bateri yang digunakan untuk menyimpan tenaga. Jepun mempunyai ladang bateri yang paling besar di dunia, yang menggunakan bateri sodium-sulfur dan membekalkan 238 MW/h tenaga. Contoh yang lain adalah ladang bateri di Alaska yang menggunakan jenis nickel-cadmium dan membekalkan sebanyak 46 MW tenaga bagi setiap 5 minit.
Pembaikan teknologi dan kemahiran membolehkan pelbagai jenis bateri baru dan lebih berkesan ini dicipta dalam masa yang akan datang. Oleh itu, sektor pengeluaran bateri yang semakin berkembang ini akan membolehkan pembangunan yang lebih pesat dalam sektor tenaga yang boleh diperbaharui.
Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Tenaga dan Air Malaysia (WeCAM)
- Details
Baru-baru ini terdapat akhbar yang melaporkan bahawa sebuah mahkamah khas bakal ditubuhkan untuk membicarakan kes-kes yang berkaitan dengan alam sekitar. Cadangan ini telah dikemukakan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria. Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) amat mengalu-alukan cadangan tersebut demi kepentingan perlindungan alam sekitar di Malaysia.
Keadaan alam sekitar yang semakin merosot di negara ini menyebabkan kesan-kesan yang buruk seperti pencemaran sumber air dan udara. Selain itu, penggunaan tanah yang tidak terancang dan pengurusan sampah sarap yang lemah turut memburukkan keadaan ini.
WECAM berpendapat bahawa dengan adanya mahkamah khas tersebut, peraturan berkaitan alam sekitar dapat dikuatkuasakan dengan lebih berkesan. Di samping itu, penguatkuasaan dan pematuhan undang-undang alam sekitar juga akan meningkat pada masa yang akan datang untuk melindungi alam sekitar.
Cadangan Ketua Hakim ini perlu diberikan perhatian yang sewajarnya bagi memastikan badan kehakiman dapat berperanan dalam melaksanakan dasar dan peraturan berkaitan alam sekitar. Ini selarasnya dengan usaha negara yang menuju ke arah pembangunan mampan.
Pada masa yang sama, langkah ini dapat meningkat dan menegakkan keadilan alam sekitar, apabila kebanyakan projek pembangunan ekonomi yang dijalankan adalah bertentangan dengan perlindungan alam sekitar. Justeru, kewujudan mahkamah khas ini menunjukkan kerajaan memandang serius terhadap masalah alam sekitar dan bersedia untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak mematuhi peraturan berkaitan alam sekitar.
Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
- Details
Cyberjaya,18 April 2012 – Menyedari masalah air tidak berhasil yang boleh memberikan kesan kepada bekalan yang berterusan dan bersih kepada pengguna, FOMCA dan ahli gabungannya telah menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Air tidak berhasil ataupun dikenali sebagai Non-revenue Water (NRW) telah mencapai tahap purata nasional sebanyak 36% sejak tahun 2009. Ini bermaksud, sejak tahun 2009, setiap 100 liter air bersih yang diproses sebanyak 36 liter telah dibazirkan begitu sahaja disebabkan oleh masalah-masalah seperti paip bocor dan juga kecurian air.
Majlis penyerahan memorandum ini diketuai oleh Muhammad Shaani Abdullah, Setiausaha Agung FOMCA, yang diiringi oleh wakil-wakil ahli gabungan lain, seperti Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia, Forum Air Malaysia, Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna CRRC dan Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia), kepada Dato’ Teo Yen Hua, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN.
Melalui memorandum tersebut, FOMCA telah mengemukakan 12 cadangan yang menglibatkan pembentukan polisi NRW yang holistik dan pengiraan NRW yang standard untuk seluruh negara.
Dalam maklum balasnya, Dato Teo bersetuju terhadap syor-syor tersebut dan mengesahkan bahawa satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan di peringkat SPAN untuk mengatasi masalah NRW ini dengan matlamat untuk mengurangkan NRW negara kepada 25% menjulang tahun 2020.
Memorandum tersebut boleh didapati di : http://www.forumair.org.my/v1/images/stories/pdf/nrw2012bm.pdf
Fong Weng Lian
Forum Air Malaysia
- Details
Jumlah air yang digunakan oleh pengguna adalah melebihi daripada jumlah air yang mampu dimasukkan semula dalam kitar air secara semula jadi.
Pengguna juga telah membazirkan bekalan air yang sedia ada. Sekiranya musim kemarau berlaku, bolehkah tabiat penggunaan seperti ini disekat.
Ramai yang membantah jika diminta untuk mengurangkan penggunaan air atas alasan air banyak. Jika air berkurang, maka lebih banyak air baru perlu dicari!
Hakikatnya, air baru tidak boleh diwujudkan. Terdapat juga yang mencadangkan penyelesaian kepada masalah ini, iaitu mengitar semula air daripada air kumbahan. Negara Singapura umpamanya, telahpun mengitar semula air kumbahan mereka untuk dijadikan air minuman, melalui program NEWater. Namun, mungkin program tersebut tidak perlu dilakukan di Malaysia.
Apabila mendengar perkataan `air kumbahan’, mungkin ramai yang berasa jijik, apatah lagi jika untuk dijadikan sebagai air minuman. Mengitar semula air merupakan satu cara yang bijak dan bersih dalam menguruskan bekalan air. Namun begitu, yang menjadi kebimbangan adalah jaminan kebersihan air kumbahan kesan daripada masalah jangka masa panjang, iaitu perubahan ikilm, bahan cemar baru dan juga jumlah penduduk yang sedang meningkat!
Onn May Ling
Forum Air Malaysia
- Details
Pada 15 Mei 2012, bertempat di Pusat Angkasa Antarabangsa 330km dari permukaan Bumi, seorang angkasawan mengeluarkan mesej yang agak menggusarkan, iaitu beliau menggambarkan bahawa tahap penggunaan sumber pada masa sekarang adalah 50 peratus berlebihan daripada apa yang mampu dunia bekalkan.
Dalam mesej tersebut, Andre Kuipers daripada Agensi Angkasa Eropah memberitahu tentang keunikan pemandangan Bumi yang beliau telah mengelilingi 16 kali sehari. “Dari sini, saya dapat lihat jejak manusia, seperti kebakaran hutan, pencemaran udara dan hakisan,” ujar beliau semasa melancarkan Laporan Kehidupan Planet WWF 2012.
Laporan dua tahun ini, yang dihasilkan melalui kerjasama Zoological Society of London dan Global Footprint Networks, membuat unjuran bahawa pada tahun 2030, manusia memerlukan dua buah planet untuk mengekalkan pertumbuhan penduduk dan penggunaan sumber. “Kita sedang menjalani kehidupan dalam keadaan seolah-olah kita mempunyai sebuah planet lagi,” ujar Jim Leape, Ketua Pengarah WWF International. “Kita sedang menggunakan lebih 50 peratus daripada sumber yang kita ada di Bumi sekarang. Jikalau kita tidak membuat perubahan, kita akan menghadapi masalah besar.”
Laporan tersebut mengkaji kesihatan ekosistem dengan menjejak 9,000 hidupan daripada 2,600 spesis mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan. Hasil kajian menunjukkan biodiversiti sedunia telah menurun hampir 30% sejak 1970, dan 60% berlaku di kawasan tropika.
Menurut laporan, kehilangan yang berlaku di kawasan tropika menggambarkan satu jurang malapetaka yang berkemungkinan berlaku dalam jejak ekologi di antara negara miskin dan negara kaya. Di samping itu, jika cara hidup semua penduduk dunia adalah sama seperti cara hidup di Amerika Syarikat, maka empat buah Bumi diperlukan untuk memenuhi permintaan tahunan sumber-sumber asli. Amerika Syarikat merupakan negara yang mempunyai jejak sumber per kapita kelima terbesar di dunia, diikuti oleh Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu dan Denmark.
Selain itu, jurang perbezaan di antara negara kaya dan miskin semakin bertambah. Ia berlaku apabila negara kaya sedang meningkatkan ekonomi mereka dengan menggunakan sumber yang terdapat di negara miskin. Menurut Gemma Cranston, ahli sains di Global Footprint Network di Geneva, permintaan penggunaan sumber di negara-negara kaya mendorong negara-negara miskin untuk mengeksport sumber mereka.
“Kita masih mempunyai lima minggu sebelum Persidangan Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Brazil. Laporan ini akan memberi peluang kepada pemimpin negara untuk membuat komitmen yang baru bagi pertumbuhan ekonomi yang berpandukan pembangunan mampan,” Kata Cranston. “Negara kaya mesti membantu negara miskin, dan bukannya menggunakan sumber mereka untuk kepentingan diri.”
Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
- Details
Air merupakan keperluan asas kepada kehidupan. Namun, kebanyakan orang yang tinggal di negara-negara maju tidak banyak memikirkan tentang air yang mereka gunakan sebagai air minuman, untuk menyediakan makanan dan sanitasi. Di negara-negara membangun pula, pencarian sumber air yang bersih dan selamat boleh menjadi krisis harian.
Berjuta-juta orang mati setiap tahun dan kebanyakannya adalah kanak-kanak yang disebabkan oleh penyakit-penyakit yang boleh dielakkan jika bekalan air dan perkhidmatan sanitasi yang bersih dan selamat dapat dibekalkan.
Sandra Postel, pengarah Projek Dasar Air Global dan Felo Persatuan Geografi kebangsaan, mengatakan bahawa pengurangan sumber air tawar mencerminkan masalah ini perlu diutarakan semasa Sidang Pembangunan Mampan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (Rio +20) di Brazil yang berlangsung dari 20 hingga 22 Jun 2012.“Masalah yang meruncing ini menjadi nyata melalui kehabisan air bawah tanah dan pengeringan sungai atau tasik yang merupakan sumber air pengairan untuk menanam makanan sendiri,”kata beliau. “Hubungan antara pengurangan sumber air, jaminan makanan dan perubahan iklim mendorong masalah air ini mesti diatasi dengan segera.”
Sejak Sidang Kemuncak Bumi 1992, perkhidmatan bekalan air minuman yang bersih dan selamat telah diberikan kepada 1.7 bilion orang di seluruh dunia melalui projek penukaran paip air, sistem penuaian air hujan dan simpanan.
Walau bagaimanapun, pada masa ini masih terdapat 880 juta orang yang tidak mempunyai bekalan air yang bersih. “Dan kita masih belum mencapai apa-apa kemajuan dalam sanitasi,” kata Postel. “Di luar sana masih terdapat 2.7 bilion orang yang tidak dapat menikmati perkhidmatan sanitasi yang sempurna. Oleh itu, cabaran-cabaran yang sedia ada mesti diatasi secepat mungkin.” Dalam masa 50 hingga 75 tahun yang akan datang, pemimpin-pemimpin dunia perlu mencuba sedaya upaya untuk menurunkan angka-angka tersebut walaupun jumlah penduduk dunia akan meningkat sebanyak 3 bilion orang pada masa itu.
Lebih kurang 5,000 orang kanak-kanak mati setiap hari disebabkan oleh penyakit yang boleh dielakkan seperti kolera dan disenteri, yang tersebar apabila menggunakan air tercemar untuk minum dan memasak. Kekurangan air untuk kebersihan peribadi juga menyebabkan penyebaran penyakit yang boleh dielakkan seperti trakoma, yang telah menyebabkan 6 juta orang buta di seluruh dunia.
Kekurangan air juga telah memerangkap banyak keluarga miskin dalam kitaran kemiskinan dan pendidikan yang tidak sempurna, disebabkan golongan yang paling miskin ini menderita daripada ketiadaan perkhidmatan bekalan air. Golongan miskin ini menghabiskan lebih banyak masa dalam keadaan yang tidak sihat, menjaga kanak-kanak yang berpenyakit ataupun terpaksa mengambil air dari tempat sejauh 6km sehari. Ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masa untuk belajar ataupun melakukan aktiviti yang boleh meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Persaingan boleh menjadi sengit untuk mendapatkan komoditi yang tak ternilai ini. Pertanian telah menuntut sebahagian besar (70%) daripada air tawar yang sedia ada di dunia, manakala 22% telah diambil oleh industri. Kawasan tadahan air dan akuifer tidak menghormati sempadan politik dan negara-negara berjiran tidak berusaha bersama untuk memulihara sumber ini. Oleh itu, sumber air berpotensi besar untuk menjadi konflik antarabangsa pada masa akan datang.
Setiap hari permintaan air semakin bertambah, manakala sumber air tawar pula semakin berkurang. “Kita semakin mendekati had penggunaan air bawah tanah.” kata Postel, “Ini memberikan kesan yang jelas kepada jaminan air sedunia. Kadar penghabisan air bawah tanah telah berganda sejak 1960.”
Sebahagian daripada air bawah tanah di Bumi ialah air fosil, yang dihasilkan berjuta-juta tahun dahulu semasa iklim bumi pada ketika itu banyak berbeza daripada iklim sekarang. Sumber air bawah tanah hari ini adalah terbatas seperti petroleum. Akuifer yang lain boleh diperbaharui . “Namun kini kita sedang mengepam sumber air bawah tanah pada kadar yang lebih cepat daripada kadar yang ia boleh dicas semula,” jelas Postel. “Keadaan ini sedang berlaku di India, Utara China, California dan banyak tempat lagi. Kita mesti mencari satu titik keseimbangan di antara kadar pengepaman dan cas semula.”
Kedahagaan manusia yang semakin bertambah ini membawa satu masalah besar kepada ekosistem akuatik. “Semasa kita mengambil air dari sungai, dataran banjir dan kawasan tadahan air, ekosistem-ekosistem ini menanggung beban kekurangan air dan mula tercemar ataupun hilang,” kata beliau. “Kita juga akan menanggung kesan tersebut kerana kehidupan kita bergantung kepada ekosistem-ekosistem ini.
Menurut Postel lagi, Banyak jalan penyelesaian yang ada jika air digunakan dengan lebih produktif. Perubahan bermula dengan pengurusan sumber air yang cekap dan berterusan.
70% air yang digunakan sedunia untuk pertanian. Jadi, sektor tersebut yang harus menggunakan air yang lebih cekap melalui cara-cara seperti menanam tanaman yang sesuai untuk iklim setempat,” kata Postel.
Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mengiktiraf “hak kepada bekalan air yang bersih dan selamat serta sanitasi merupakan hak manusia yang diperlukan untuk membolehkan manusia menikmati kehidupan dan hak manusia yang lain” pada tahun 2010.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
- Details
Bioplastik merupakan sejenis plastik yang diperbuat daripada sumber-sumber biomass boleh diperbaharui, seperti lemak dan minyak sayur-sayuran, kanji jagung, kanji kacang atau mikrobiota. Bioplastik adalah lebih mampan kerana ia boleh terurai dalam persekitaran dengan lebih cepat berbanding dengan plastik biasa, yang boleh mengambil masa lebih daripada 100 tahun. Bioplastik yang direka boleh terurai sama ada dalam persekitaran anaerobik atau aerobik, bergantung kepada cara ia dihasilkan.
Terdapat pelbagai jenis bioplastik yang direka. Ia boleh terdiri daripada kanji, selulosa atau biopolymers. Bioplastik digunakan dalam menghasilkan bahan pembungkusan, pembungkusan makanan, penebat dan peralatan makan; seperti pinggan, mangkuk, sudu, garpu, periuk, mangkuk dan straw.
Bioplastik yang boleh dibiodegradasi juga sering digunakan dalam menghasilkan beg plastik sampah organik, yang boleh dikompos bersama-sama dengan sisa makanan dan mengurai dalam persekitaran aerobik dan anaerobik. Selain itu, ia juga boleh dijadikan bekas untuk buah-buahan, sayur-sayuran, telur dan daging; botol minuman ringan, botol produk tenusu, pembalut untuk buah-buahan dan sayur-sayuran.
Terdapat banyak jenis bioplastik, antaranya bioplastik yang berasaskan kanji yang banyak digunakan. Kanji tulen mampu menyerap lembapan. Oleh itu, ia banyak digunakan dalam pembuatan kapsul ubat-ubatan, manakala bioplastik berasaskan selulosa pula banyak digunakan dalam pembungkuasan. Selain itu, bioplastik berasaskan Polylactic acid (PLA) yang diperbuat daripada gula tebu atau glukosa pula digunakan untuk membuat pembalut, cawan dan botol. Poly-3-hydroxybutyrate (PHB) mempunyai takat lebur yang lebih tinggi daripada 130 darjah Celcius dan terbiodegradasi tanpa sisa. Bioplastik daripada Polyhydroxyalkanoates (PHA) adalah kurang elastik berbanding dengan bioplastik yang lain, yang banyak digunakan dalam industri perubatan.
Pengeluaran dan penggunaan bioplastik secara amnya dianggap sebagai aktiviti yang lebih mampan jika dibandingkan dengan pengeluaran plastik biasa. Namun kajian dan penambahbaikan perlu diteruskan agar proses penghasilannya lebih mampan dan kos efektif.
Nuraini Khalil
Forum Air Malaysia
- Details
Pembangunan pesat dalam sektor pertanian, industri, pelancongan, pembuatan dan kemajuan bandar tidak mungkin terjadi sekiranya tiada sumber air yang mencukupi.
Walaupun Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mempunyai suhu yang seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak, namun terdapat banyak kawasan di Malaysia mengalami tekanan dalam mendapatkan bekalan air yang mencukupi disebabkan oleh ketidakseimbangan permintaan air di sesetengah lokasi dan juga perubahan corak cuaca yang mempengaruhi suhu.
Oleh itu, penggunaan air sisa kumbahan yang telah dirawat dilihat dapat menyumbang kepada sumber air alternatif, terutama bagi sektor industri. Ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber air terawat.
Di Malaysia, sumber air yang diperoleh terus daripada sungai adalah sebanyak 12,620 MLD, simpanan di empangan sebanyak 2,274 MLD dan air bawah tanah sebanyak 204 MLD. Jika dapat dirawat, air sisa kumbahan dapat menyumbang kira-kira 4,000 MLD air di Malaysia. Air sisa terawat boleh digunakan dalam aktiviti pertanian seperti pengairan tanaman bukan makanan, contohnya pokok-pokok bunga. Ia dapat menjimatkan kos, di samping membekalkan nutrien yang tinggi. Selain itu, ia juga boleh diguna pakai untuk kegunaan perbandaran seperti mencuci trak atau mencuci jalan-jalan raya. Bagi sektor industri pula, air sisa terawat boleh digunakan dalam aktiviti penyejukan mesin dan juga untuk cucian.
Banyak kebaikan yang diperoleh dengan penggunaan air sisa terawat ini. Antaranya, memberi keutamaan sumber air semula jadi sebagai sumber air minuman, menggalakkan penggunaan teknologi hijau, menggalakkan pemuliharaan sumber, mengurangkan pencemaran sumber air dan juga dapat menjimatkan kos, terutama bagi industri yang banyak menggunakan air kerana mengitar semula air, dan seterusnya dapat mengurangkan pembelian air terawat. Pandangan negatif orang ramai terhadap air sisa terawat perlu diubah. Dengan perkembangan teknologi pada masa kini, air sisa kumbahan dapat dirawat sehingga menjadi jernih dan selamat digunakan.
Teknologi ini telah banyak diguna pakai di negara-negara lain. Jika dilihat dalam senarai 40 negara yang mengguna semula air sisa terawat, US adalah negara yang menggunakan semula air sisa terawat terbanyak, iaitu 7,600,000 m3/d. Singapura pula merupakan satu-satunya negara Asia Tenggara yang tersenarai dengan menggunakan sebanyak 75,000m3/d. Di Malaysia, banyak faktor yang mempengaruhi penerimaan orang ramai terhadap penggunaan teknologi ini. Kerisauan yang timbul dalam kalangan orang ramai adalah dari segi penerimaan adat dan agama, kebersihan, bau dan juga keselamatan. Oleh itu, penyebaran maklumat secara telus tentang teknologi ini amat perlu dalam memberi keyakinan dan pemahaman yang tinggi kepada orang ramai.
Nuraini bte Khalil
Forum Air Malaysia
- Details
WECAM berpendapat bahawa SYABAS mesti BERHENTI menuding jari kepada pihak lain kerana tindakan tersebut hanya akan memburukkan keadaan.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mengatakan bahawa Kerajaan Selangor gagal menaik taraf sistem pam di kawasan Wangsa Maju telah menyebabkan gangguan bekalan air kepada hampir 500,000 pengguna sejak satu minggu lalu.
Di bawah Seksyen 54 klausa (3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006) menyatakan bahawa semua licensee pengagihan air mesti memastikan pengguna yang berada di dalam kawasan pengagihan air licensee tersebut harus dibekalkan dengan air dengan mengambil segala tindakan seperti lori tangki air dan juga tangki air statik.
Mengetahui bahawa kerja-kerja naik taraf sistem pam tersebut telah ditunda, SYABAS patut menggunakan cara-cara yang lebih proaktif untuk mencegah gangguan air tersebut seperti memberi notis kepada pengguna tentang perkara tersebut dan juga maklumat-maklumat seperti masa dan tempat lori tangki air tersebut tiba. Namun, SYABAS gagal membuat demikian dan hanya bertindak selepas masalah berlaku. Akhirnya, 500,000 pengguna perlu menyambut tahun baru dengan gangguan bekalan air dan mendatangkan banyak kesusahan.
WECAM menggesa SYABAS untuk memastikan bekalan air yang berterusan dan bersih kepada pengguna di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur kerana bekalan air merupakan hak asasi manusia sebagaimana dideklarasikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 2010.
WECAM juga berpendapat bahawa pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mengambil peluang ini untuk menjalankan satu prestasi audit terhadap SYABAS untuk menentukan samada SYABAS boleh menjalankan tugasnya sebagai satu-satunya pengagih air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
WECAM juga ingin menegaskan bahawa industri perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya harus distruktur semula secepat mungkin mengikut WSIA 2006 untuk memastikan industri perkhidmatan air yang sihat dan kompetitif pada masa yang akan datang dan mendatangkan faedah kepada pengguna.
Kita tidak tinggal banyak masa dan semua pihak-pihak berkepentingan perlu bertindak cepat untuk menyelesaikan isu ini. Sekiranya tidak, sumber dan sektor perkhidmatan air di Selangor hanya akan semakin merosot.
Foon Weng Lian
Secretary General
WECAM
- Details
Pemanasan global yang menyebabkan peningkatan suhu dunia, bakal mengakibatkan kadar hujan yang melampau di kawasan tropikal. Menurut kajian telah disediakan oleh Massachusetts Institute of Technology (MIT), setiap peningkatan suhu sebanyak 1 darjah celsius, akan menyumbang kepada peningkatan kadar hujan lebat sebanyak 10 peratus. Peningkatan kadar hujan akan memberikan kesan yang besar di kawasan-kawasan tropikal, terutamanya di kawasan yang mempunyai kadar penduduk yang tinggi.
Para penyelidik yakin bahawa hujan melampau di kawasan tropikal adalah lebih peka kepada pemanasan global berbanding kawasan yang lain walaupun tidak dapat dibuktikan sebabnya..
Prinsip asas dalam peningkatan kadar hujan telah diketahui umum. Apabila gas rumah hijau, seperti gas karbon dioksida, memasuki atmosfera dalam kadar yang semakin meningkat, ia menyebabkan peningkatan suhu di atmosfera. Sehubungan itu, peningkatan suhu akan menyebabkan pertambahan wap air dalam atmosfera. Lebih banyak wap air di atmosfera, maka hujan yang lebih lebat berlaku disebabkan peningkatan kebasahan di udara, yang menjadi penyumbang kepada ribut taufan.
Ahli sains MIT telah menggunakan satelit pemerhatian untuk hujan lebat di antara latitud 30 darjah utara dan 30 darjah selatan, yang merupakan satu kawasan di atas dan bawah Khatulistiwa. Merka juga meneliti beberapa model iklim yang mencerminkan kesan-kesan El Niño dan pemanasan global.
Dalam model-model tersebut, mereka telah menemui satu corak yang jelas, iaitu model-model kajian tersebut menunjukkan tindak balas yang kuat dalam kadar hujan untuk El Niño dan pemanasan global.
Ahli-ahli kajian telah mengutarakan amaran-amaran kepada pemimpin-pemimpin dan penggubal-penggubal dasar negara tentang fenomena ini. Walaupun kadar hujan akan meningkat di kawasan yang paling basah, namun kawasan yang kering pula akan menjadi lebih kering. Ia bermaksud bahawa mereka tidak sewajarnya hanya menumpukan perhatian kepada banjir kilat dan besar sahaja, tetapi juga kepada perubahan corak hujan dan hujan yang tidak menentu pada masa hadapan.
Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia
Subcategories
Page 145 of 232