Baru-baru ini, Perdana Menteri telah melancarkan 19 projek Program Transformasi Ekonomi (ETP) baru yang bernilai RM67 bilion. 4 daripada 19 projek tersebut yang bernilai hampir RM20 bilion adalah projek yang membabitkan minyak, gas dan tenaga. Sebagai salah sebuah negara pengeluar minyak utama di Asia Timur Tenggara, pelaburan yang besar adalah biasa dan mampu membawa negara ke arah negara maju.  

Persoalannya, pernah kita terfikir apakah yang akan berlaku apabila minyak di dunia ini habis digali?

Saluran National Geographic telah memberi gambaran yang terperinci tentang kehidupan manusia selepas dunia kehabisan minyak melalui siri dokumentasinya yang bertajuk Aftermath: World Without Oil.

Pada hari kelima minyak habis, negara seperti Amerika Syarikat akan melaksanakan undang-undang ketenteraan. Stesen gas kehabisan minyak petrol dan jumlah makanan yang terdapat di kedai-kedai mula berkurangan kerana tidak mempunyai minyak yang cukup untuk membolehkan bekalan yang berterusan. Pengawal-pengawal yang bersenjata perlu bersiap sedia di semua tempat bagi mengawal keadaan huru-hara yang kian tercetus.

Keadaan huru-hara semakin menular ke seluruh dunia dan kehidupan tidak lagi senang dan mewah.

Beberapa bulan selepas dunia kehabisan minyak, hospital mula menghadapi masalah. Bekalan benda-benda yang diperbuat daripada minyak seperti sarung tangan pembedahan, ubat-ubatan dan minyak pelincir semakin kehabisan stok.

Catuan makanan menjadi sebahagian daripada kehidupan. Keluarga perlu mencari makanan hingga sanggup bertengkar dengan jiran-jiran. Ternakan-ternakan yang dulu banyak diperlihara untuk makanan mati disebabkan kos makanan untuk ternakan-ternakan ini telalu mahal.

Kepanasan yang keterlaluan menyebabkan stesen jana kuasa meletup dan menyebabkan kebakaran. Menjelang musim sejuk, keadaan bertambah teruk. Kekurangan makanan dan bahan api untuk memanaskan badan menyebabkan kematian beramai-ramai, terutamanya di negara-negara mundur.

Selepas satu tahun, kelaparan dan kekurangan makanan sedunia telah mengorbankan berjuta-juta nyawa. Negara-negara dipinggirkan kerana perkhidmatan yang bergantung kepada minyak seperti perkapalan, perniagaan dan juga komunikasi telah ditamatkan.
Ketenteraan di semua negara tidak berfungsi kerana kehabisan minyak. 

Kerajaan mula memberi perhatian kepada etanol dan minyak tumbuh-tumbuhan seperti bahan api bio (biofuel) untuk menggantikan minyak. Walau bagaimanapun, penggunaan bahan makanan untuk bahan api menjadi kekangan apabila krisis kekurangan makanan sedang meragut berjutaan nyawa di dunia.
Ramai orang mulai menanam makanan sendiri dan menternak ternakan kecil seperti ayam untuk meneruskan kehidupan.

Dalam dunia tanpa bekalan minyak, pemuliharaan selepas malapetaka alam semula jadi tidak dapat dilakukan kerana jentera-jentera pembersihan tidak dapat berfungsi.

Sepuluh tahun selepas bekalan minyak habis, dunia telah mengalami banyak perubahan. Negara-negara maju tidak mempunyai minyak ataupun wang untuk menghantar roket ke angkasa lepas untuk membuat pembaikan di satelit dan stesen angkasa antarabangsa. Akhirnya, semuanya menjadi sampah yang hanyut di angkasa lepas. Bahan-bahan seperti besi dan emas digunakan sebagai mata wang dan digali untuk kegunaan harian.

Operasi di lapangan terbang terhenti kerana minyak telah habis. Pengangkutan seperti lori yang boleh berfungsi melalui bahan api bio menjadi pembekal utama ke seluruh negara.

40 tahun selepas minyak habis, dunia telah menjadi lebih perlahan dan sunyi. Pencemaran alam sekitar juga telah berkurangan. Penduduk sedunia menanam dan menternak makanan sendiri dengan menggunakan tempat letak kereta yang terbiar, atas bumbung rumah dan semua tanah lapang yang boleh didapati. Kereta yang digunakan adalah lebih kecil, ringan dan berfungsi dengan menggunakan bahan api bio dan batteri lithium.

Bagaimana pula dengan bekalan elektrik dalam dunia tanpa minyak? Pada masa kini, terdapat banyak pilihan dan cara untuk menghasilkan tenaga seperti tenaga suria, air dan angin. Teknologi-teknologi ini telah wujud dan berfungsi tetapi tidak mendapat perhatian utama kerajaan untuk membiayai kos penyelidikan dan pembangunan teknologi ini.

Sekiranya kita ingin menghadapi cabaran dalam dunia tanpa minyak seperti digambarkan melalui program Saluran National Geographic itu, maka penyelidikan tenaga yang boleh diperbaharui dan bahan api alternatif hendaklah menjadi faktor utama untuk kesejagatan manusia pada masa depan. Rancangan awal yang teliti dan teratur mesti dijalankan daripada usaha individu hingga kerajaan. Dan ia perlu dilakukan mulai sekarang!



Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia