Bekalan minyak dunia bagi memenuhi keperluan minyak pada masa hadapan berada pada paras yang tidak begitu meyakinkan. Demikian menurut kajian yang telah dijalankan oleh Smith School of Enterprise and the Environment di Universiti Oxford.
Selain itu, kajian tersebut mencadangkan agar pembangunan tenaga-tenaga yang boleh diperbaharui perlu dipercepatkan bagi memastikan keselamatan tenaga dan pengurangan pelepasan gas rumah hijau. Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Energy Policy.
Era untuk menikmati minyak yang murah telah berakhir. Kini keperluan untuk bahan api telah melebihi bekalan. Simpanan minyak sekarang yang pada mulanya diramalkan berada pada paras 1150-1350 bilion tong, akan jatuh ke paras 850-900 bilion tong. Jadi bagaimanakah masalah kekurangan minyak ini dapat diatasi?
Dr. Oliver Inderwildi, ketua pusat Low Carbon Mobility di Smith School berkata, secara umumnya, bahan api alternatif seperti bahan api bio boleh mengatasi kekurangan bekalan minyak dan menggantikan bahan api fosil pada masa akan datang. Namun, timbul masalah tentang kekurangan tanah yang mencukupi untuk menanam tanaman yang boleh menghasilkan bahan api bio dan dalam masa yang sama untuk memenuhi keperluan makanan. Oleh itu, sumber yang sedia ada hendaklah digunakan secara optimum untuk meningkatkan kecekapan tenaga.
Dalam masa yang sama kajian tersebut juga menekankan bahawa pada masa yang lalu, disebabkan oleh kepentingan politik dan kewangan, angka sebenar simpanan minyak telah diputar belit sehingga menyebabkan banyak kesangsian tentang maklumat-maklumat yang diberi kepada orang ramai.
Menurut David King, pengarah Smith School, “Cabaran yang dihadapi pada masa ini perlu ditangani sebagaimana krisis ekonomi dunia diatasi pada tahun lalu. Cabaran ini akan memberikan kesan untuk jangka masa yang lama sekiranya kerajaan dan sektor industri tidak mengambil sebarang langkah untuk mengatasinya. Di samping itu, perhatian perlu diberikan kepada tenaga-tenaga yang boleh diperbaharui. Bantuan kewangan yang mencukupi perlu disediakan untuk membiayai penyelidikan, pembangunan dan pembinaan projek pada masa ini juga jika cabaran ini ingin diatasi.”
Mengikut unjuran, simpanan minyak yang ada di dunia ini hanya akan bertahan hingga 2050 mengikut kadar penggunaan semasa.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia