”Masalah bekalan air adalah lebih membimbangkan jika dibandingkan dengan sektor tenaga. Demikian menurut pakar air dunia, Sandra Postel dalam buku terbaru beliau. 

Menurut Postel, air adalah kritikal bagi kehidupan dan tidak ada sumber yang boleh menggantikannya berbanding dengan minyak.

’Ekonomi dunia sedang bertukar daripada penggunaan bahan api fosil kepada tenaga solar, angin dan sumber tenaga lain  yang tidak menghasilkan gas karbon dioksida. Tetapi air tidak mempunyai sebarang gantian,” ujar Postel.

Air juga merupakan kesan perubahan iklim yang paling kerap dijumpai dan berlaku. Pada tahun ini musim kemarau yang berlaku telah menyebabkan banyak kerugian, begitu juga dengan kejadian banjir besar di Pakistan, yang menyebabkan seramai 1,600 orang terbunuh, manakala 20 juta orang kehilangan tempat tinggal sejak bulan Julai lalu.

Dalam buku Postel ini, beliau memberi amaran bahawa strategi pengurusan air yang diamalkan pada masa ini tidak lagi sesuai untuk menghadapi perubahan iklim.

Data dan statistik yang menjadi petunjuk kepada perancangan untuk memperuntukkan $500 bilion bagi membina empangan, struktur pengawalan banjir dan infrastruktur air tidak lagi dipercayai. Dengan kata lain, sejarah pengurusan air yang dahulu tidak sesuai lagi untuk dijadikan sebagai panduan pada masa hadapan.

Ketidakpastian bekalan dan corak aliran air masa depan memburukkan lagi keadaan masa kini. Selain itu, keselamatan makanan, kesihatan umum dan kehidupan juga sedang menghadapi masalah.

Menurut kajian, ahli sains juga menunjukkan bahawa 50% Tasik Mead di Amerika Syarikat akan kering menjelang tahun 2021. Tasik ini merupakan sumber air kepada Sungai Colorado yang membekalkan air kepada berpuluh-puluh juta orang penduduk dan berjuta-juta hektar kawasan pertanian.

Jalan Penyelesaian
Cabaran air yang sedang berlaku ini adalah tidak dapat dielakkan. Namun terdapat berita baik iaitu terdapat teknologi dan sumber ekonomi yang dapat  memastikan keperluan air sedunia terjamin. Cuma ia hanya perlu digunakan dengan bijak.

Jalan penyelesaian yang baik dan berkesan perlu dilakukan bersesuaian dengan keadaan alam sekitar dan membuat penyesuaian terhadap perlindungan banjir, penapisan air dan perkhidmatan lain yang melibatkan air. Penggunaan air yang bijak dalam semua lapisan masyarakat seperti bandar, perniagaan dan pertanian perlu dilakukan dengan berhati-hati dan lebih prihatin terhadap jejak air dan kaedah untuk mengurangkan penggunaan.

Ini mampu dicapai melalui pemuliharaan, penuaian air hujan, skema harga yang berlainan dan polisi, tandas yang cekap air, cara penjanaan tenaga dan sistem pengairan dan saliran yang baik.

Kaedah yang asas sekali ialah bermula dengan membeli barangan tempatan.  “Sekiranya masyarakat dapat hidup dengan air, tenaga dan makanan yang dihasilkan di peringkat tempatan, fikiran dan keprihatinan terhadap perlindungan sumber akan dijana dan dapat menghadapi ketidakpastian yang berlaku masa depan.” kata Postel.

 


Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia