- Details
Pembangunan dunia telah berkembang dengan pesatnya. Akibat daripada kepesatan tersebut, telah menyebabkan alam sekitar tercemar. Pencemaran ini boleh memudaratkan kesihatan. Kilang-kilang yang mengeluarkan asap boleh mencemarkan udara. Selain itu, kenderaan-kenderaan turut mengeluarkan gas karbon monoksida yang boleh menyebabkan sistem pernafasan terganggu.
Sungai-sungai juga turut dicemari. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS), kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih.
Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53. Pencemaran sungai terus meningkat disebabkan oleh sisa-sisa pembuangan industri dan bahan-bahan toksik. Ia menyebabkan hidupan akuatik terjejas.
Begitu juga dengan tumpahan minyak oleh kapal-kapal. Hidupan akuatik seperti ikan merupakan sumber protein yang penting kepada manusia. Jika sumber ini tercemar, maka manusia akan menghadapi masalah kekurangan sumber protein. Kekurangan protein dalam badan pula akan menyebabkan kesihatan manusia terganggu.
Pembuangan sampah-sarap oleh orang ramai dan perbuatan membiarkan longkang-longkang tersumbat serta bertakung amat membahayakan kesihatan manusia. Ini akan menyebabkan pembiakan nyamuk aedes, kuman dan bakteria seterusnya membawa penyakit seperti panyakit taun dan demam denggi.
Oleh sebab alam sekitar yang bersih dan ceria amat penting, maka pelbagai langkah yang berkesan harus diambil oleh pihak berkuasa. Antaranya ialah undang-undang harus diperketat supaya sektor industri akan memastikan kebersihan persekitaran. Kempen-kempen kesedaran juga hendaklah dijalankan untuk menyedarkan orang ramai tentang kepentingan alam sekitar. Denda atau hukuman yang setimpal perlu dikenakan kepada pihak yang mencemarkan alam sekitar tanpa memilih bulu. Ingatlah bahawa kesilapan yang dilakukan oleh manusia akan ditanggung oleh manusia itu sendiri. Oleh itu setiap individu di bumi ini perlu menjalankan tanggungjawab bagi menjamin kebersihan alam sekitar.
Vanitha Vasu
Forum Air Malaysia
- Details
Cuaca yang panas pada sebelah petang dan hujan ribut menjelang malam telah berlarutan semenjak minggu lalu. Selain itu, suhu tertinggi iaitu 36.4°C turut dicatatkan pada bulan April yang lalu.
Suhu purata di Malaysia adalah 32-34°C dan catatan tertinggi tersebut telah meningkat sebanyak 2°C. Jabatan Meterologi Malaysia melaporkan bahawa corak cuaca ini telah dijangka dan diramalkan akan berlaku semasa pertukaran musim monson dan berkemungkinan berlarutan hingga bulan Mei.
Saw Bun Liong, Pengurus Ramalan di Jabatan Meterologi Malaysia, mengatakan bahawa pantai barat di Semenanjung Malaysia akan mengalami cuaca cerah pada pagi hingga petang dan hujan lebat akan berlaku menjelang lewat petang.
“Biasanya semasa hujan lebat, petir dan angin kuat turut berlaku.” Menurut beliau lagi, banjir kilat juga mungkin akan berlaku di kawasan yang rendah dan bandar-bandar yang mempunyai sistem perparitan yang tidak sempurna.
Menurut laman sesawang Jabatan Meterologi, bagi bulan Mac, hampir keseluruhan Semenanjung Malaysia akan menerima hujan sebanyak 200% hingga 300% di atas paras purata.
Laporan tersebut juga mengatakan bahawa Malaysia sedang mengalami kesan perubahan iklim, iaitu bulan Mac bagi tahun-tahun yang lalu sepatutnya musim kering. Tetapi, bagi bulan Mac yang lepas, jumlah hujan yang meningkat telah menyebabkan banjir di Perlis, Terengganu, Kedah dan Perak.
Orang ramai dinasihatkan untuk membawa payung semasa keluar dari rumah dan menutup peralatan elektrik yang tidak digunakan di rumah bagi mengelakkan kerosakan peralatan elektrik disebabkan oleh petir.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
- Details
Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai” yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan mengindahkan lembangan sungai. Walaupun begitu, semenjak kebelakangan ini, isu pencemaran lembangan sungai kian serius sehingga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan di kebanyakan lembangan sungai di Malaysia.
Mengikut laporan Indeks Kualiti Air, Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS), terdapat sebanyak 185 lembangan sungai di Malaysia. Pada tahun 2000, sebanyak 52 lembangan sungai telah dicemari oleh pepejal terampai daripada pembangunan tanah yang tidak terancang. Lapan belas lembangan sungai pula mengandungi oksigen yang rendah kerana pelepasan kumbahan industri. Sebanyak 33 lembangan sungai pula mengandungi nitrogen ammonia akibat pencemaran ladang ternakan haiwan dan buangan sisa pembentungan.
JAS juga melaporkan pada tahun 1990, 7.8% lembangan sungai yang dipantau telah dikategorikan sebagai tercemar. Tetapi pada tahun 2000 pula, 11% lembangan sungai dikategorikan sebagai tercemar. Pada tahun 2008, hampir separuh daripada lembangan sungai yang dipantau dikategorikan sebagai tercemar atau sedikit tercemar. Menurut Jabatan Alam Sekitar lagi, 48% daripada pencemaran sungai disebabkan oleh loji rawatan kumabahan, 45% berpunca daripada industri pembuatan dan 4% disebabkan oleh ladang ternakan dan pertanian.
Oleh itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah penting sekiranya kempen sayangi sungai memberikan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir melalui kediaman atau bandar mereka diami juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara ini, baru akan timbul perasaan menyayangi sungai mereka sendiri. Dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya daripada dicemari. Walau apapun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran beberapa batang sungai semakin teruk sehingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah ‘mati’.
Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan oleh sikap rakyat negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan kebanyakan sungai terus tercemar.
Penghuni rumah di tepi sungai baik setinggan ataupun tidak, secara berterusan menganggap sungai seperti tempat buangan najis dan sampah. Kalau diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu, semuanya berada dalam kedudukan yang membelakangkan sungai. Ramai ketika itu menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis. Walaupun kini pemaju perumahan tidak lagi menganggap sungai sebagai saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, namun orang ramai masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.
Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, maka segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cintai sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada pelajar di sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar. Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih.
Walaupun terdapat pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini tetap berterusan. Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya, apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan undang-undang yang membolehkan kilang yang membuang sisa dan sisa toksik secara berterusan ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil? Sebenarnya jika ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai terbabit.
Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa, tetapi sekiranya ada keazaman dan perancangan yang rapi, ia dapat dilaksanakan dengan baik. Sudah tentu sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.
Vanitha Vasu
Forum Air Malaysia
- Details
Malaysia menjadi rumah kepada salah satu hutan hujan tropika yang tertua di dunia. 62.3% ataupun 20,456,000 hektar kawasan Malaysia merupakan kawasan hutan. Namun, agak mendukacita apabila kajian pada tahun 1990 hingga 2010, menunjukkan bahawa Malaysia kehilangan 96,000 hektar ataupun 0.43% kawasan hutan secara purata setiap tahun.
Penggunaan tanah untuk tujuan pengeluaran bahan makanan dan bahan api telah menyebabkan kadar penyahutanan telah meningkat dengan mendadak sehingga menggugat spesis-spesis kehidupan termasuklah manusia.
Kerosakan yang dilakukan terhadap hutan menyebabkan kehilangan bekalan bahan api kayu, tanah, sumber air dan kualiti kehidupan luar bandar.
Secara keseluruhan, kos penyahutanan pada skala global dianggarkan sebanyak USD2 hingga USD5 trilion.
Tema Hari Alam Sekitar 2011 pada tahun ini menekankan kepentingan hutan iaitu Hutan: Alam Semula Jadi Sedia Berkhidmat Untuk Anda. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga telah mengumumkan bahawa 2011 adalah Tahun Antarabangsa Hutan.
Sebagai Presiden kepada pertubuhan pengguna yang terbesar di Malaysia, dan antara yang tertua, saya ingin menekankan kepentingan melibatkan pengguna-pengguna sebagai salah satu pihak-pihak berkepentingan dalam pengurusan hutan yang mampan. Pengguna boleh memainkan peranan dengan mewujudkan desakan dan dorongan terhadap permintaan barangan yang dihasilkan daripada hutan-hutan yang diuruskan secara mampan. Pengurusan mampan hutan adalah penting dalam pembangunan mampan kerana ia berkesan dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi, pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan sosial.
Salah satu cara yang boleh dilakukan oleh pembekal dan agensi kerajaan untuk memdorong permintaan terhadap produk yang lebih mesra alam ialah melalui skema label eko. Jika Skema label eko dilaksanakan dengan telus dan diuruskan dengan baik, ia memberikan jaminan kepada pengguna-pengguna dan hak kepada alam sekitar yang lebih sihat dan mampan.
Bagi pengurusan hutan yang mampan, skema pengiktirafan ‘Forest Stewardship Council’ (FSC) dan Rangkaian Penahanan (Chain of custody) mengutarakan isu-isu urus niaga haram spesis-spesis hutan yang terancam.
Pengiktirafan hutan ini dibangunkan sebagai satu instrumen untuk memberikan pengesahan dan memberi insentif kepada pengurusan hutan yang mampan. Rangkaian Penahanan yang diuruskan oleh satu pihak berkecuali berfungsi bagi menjejak dan mengesahkan kayu-kayu balak yang keluar dari hutan hingga kepada pengguna. Ini bagi memastikan kayu-kayu balak itu datang daripada hutan di bawah pengurusan mampan.
Pengguna-pengguna juga boleh meminta produk-produk makanan hasil hutan yang mempunyai impak minimum terhadap hutan. Maklumat ini boleh didapati melalui skema pengiktirafan seperti ‘Rainforest Alliance (RFA)’ dan juga ‘The Fair Trade Labeling scheme’.
Pengiktirafan Rainforest Alliance (RFA) menggalakkan petani-petani menanam tanaman dan mengurus kebun-kebun secara mampan. Pengembangan kawasan pertanian bertanggungjawab untuk 70% penyahutanan pada skala dunia. Penggunaan tanah yang tidak terurus dan terancang telah menyebabkan hakisan tanah, pencemaran air dan kerosakan habitat hidupan liar.
Skema ‘Fair Trade’ telah menghasilkan satu hubungan beretika antara syarikat-syarikat eksport dan pengeluar di negara-negara sedang membangun dan pembeli di negara-negara maju. Bagi penduduk hutan yang miskin dan terpinggir, skema seperti itu telah membawa banyak kebaikan seperti transaksi urus niaga yang dipercayai, latihan, akses kepada informasi perniagaan dan pendapatan yang lebih stabil.
Dalam kajian soal-selidik yang dilakukan oleh FOMCA pada tahun 2007 tentang penggunaan mampan, didapati bahawa hanya 5% daripada responden yang mengenali label kecekapan tenaga. Walaupun label 3R dikenali oleh hampir 88% orang responden, namun hanya 30% sahaja yang tahu di mana lokasi pusat kitar semula yang terdekat dengan rumah mereka. Kesedaran terhadap label FSC, RFA dan Fair Trade adalah lebih rendah kerana ia masih belum diberikan penekanan oleh dasar kerajaan.
Oleh sebab itu, kerajaan perlu menggiatkan usaha mereka dalam mempromosikan produk mesra melalui skema label eko. Selain itu, skema ini juga harus dimasukkan ke dalam polisi yang melibatkan makanan, bangunan, produk-produk dan usaha penyesuaian serta mengatasi perubahan iklim. Sektor perniagaan harus mempromosi bagi membolehkan produk-produk tersebut mudah diperolehi oleh pengguna. Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial organisasi untuk mempromosikan penggunaan mampan di antara pengguna seperti yang disarankan dalam‘ISO 26000 – Guidance on Social Responsibility’. Semua usaha pembangunan mampan memerlukan kerjasama daripada semua sektor iaitu kerajaan, perniagaan dan pengguna.
Datuk Marimuthu Nadason
Presiden, Gabungan Persatuan-Persatu
- Details
Sempena Hari Laut Sedunia - 8 Jun 2011
Sejauh manakah anda mengetahui tentang hidupan dalam lautan? Anda mungkin akan menjawab bahawa anda banyak mengetahui. Namun, sejauh manakah yang anda benar-benar mengenali kehidupan dalam lautan? Sudah tentu sangat sedikit.
Sebanyak 71% kawasan lautan di dunia masih belum dijelajahi ataupun dikaji secara mendalam. Dari segi kedalaman pula, masih belum dapat dikenal pasti semua hidupan yang tinggal di kedalaman yang lebih daripada 1000 meter.
Walaupun banyak usaha dan pengetahuan yang bernilai telah disumbangkan oleh beribu-ribu ahli biologi marin dan ahli ekologi, tetapi masih banyak perkara yang perlu dipelajari daripada lautan.
Apakah kebaikan yang boleh diperoleh dengan mengenali lebih banyak tentang lautan? Semakin banyak yang ditahui, maka semakin banyak pula usaha yang boleh dilakukan untuk memulihara hidupan lautan dengan lebih berkesan. Ini adalah penting kerana lautan yang memberikan kehidupan, malah merupakan pengawal iklim yang utama di dunia. Kesihatan hidupan laut merupakan petunjuk yang penting kepada kesihatan lautan, yang juga berkait rapat dengan kesihatan bumi.
Sesetengah haiwan ataupun tumbuhan lautan boleh memberi jawapan untuk menangani penyakit-penyakit kronik, ataupun kaedah untuk memberikan makanan yang secukupnya kepada penduduk dunia. Sebagai penghuni di daratan, manusia juga berhubung-kait dengan kehidupan di lautan. Sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku di bawah laut, adakah anda bersedia untuk menghadapi dan mengatasi cabaran tersebut.
Namun, ia merupakan satu cabaran yang besar untuk mengenali lautan yang begitu dalam dan jauh daripada persisiran pantai. Hampir 40 tahun dahulu, seramai 12 orang angkasawan telah dihantar untuk mengikuti enam misi yang berlainan ke bulan yang menjangkau perjalanan sejauh 400,000 km. 10 tahun sebelum itu, dua orang penyelam telah menyelam sehingga 11 km ke bawah permukaan laut di dalam sebuah kapal selam, sehingga ke jurang yang paling dalam, iaitu Jurang Mariana. Selepas 50 tahun, tidak ada sesiapa pun yang permah menyelam sedalam itu, kecuali dua buah kapal selam berkawalan jauh.
Dengan wujudnya teknologi yang semakin mantap, maka usaha perlu diambil bagi menjelajah isi perut lautan dengan lebih mendalam. Adalah tidak masuk sekiranya manusia hanya mengenali permukaan bulan lebih daripada lautan.
Oleh itu, bermula dengan Hari Laut Sedunia, pada 8 Jun 2011 ini, cubalah mengenali dengan lebih mendalam tentang lautan. Melalui imaginasi dan pengetahuan yang terkumpul itu, maka usaha memulihara lautan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
- Details
Sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga suria, angin, biojisim dan tenaga hidro boleh mencapai hampir 80% permintaan bekalan tenaga dunia pada tahun 2050 jika pemimpin dunia merangka polisi untuk memanfaatkan potensi mereka. Demikian menurut satu laporan yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Hasil kajian ini merupakan usaha bersama seramai 120 penyelidik daripada Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC). Mereka juga mengatakan bahawa sekiranya hala tuju tenaga yang boleh diperbaharui dipatuhi sepenuhnya, maka pelepasan gas rumah hijau akan berkurangan. Ini menyebabkan suhu dunia tidak naik melepasi paras 2 darjah selsius pada tahun 2050.
2 darjah selsius ini merupakan paras yang sekiranya suhu dunia naik melepasi suhu ini, maka kesan terburuk perubahan iklim akan berlaku. Pemimpin dunia juga telah bersetuju dalam perbincangan tahun lalu di Cancun, Mexico untuk mengehadkan purata kenaikan suhu dunia dalam angka tersebut.
Laporan kajian tersebut diumumkan selepas perbincangan 4 hari yang berakhir pada minggu lalu di Abu Dhabi, United Arab Emirates. Laporan ini bertujuan untuk memberikan maklumat kepada pembuat dasar dan penilaian terkini terhadap potensi sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui.
Christiana Figueres, yang merupakan Setiausaha Eksekutif kepada UNFCCC, menggambarkan laporan tersebut mempunyai signifikan dan menunjukkan hala tuju kepada para pemimpin dunia.
‘Mereka mesti mencapai matlamat mereka dengan menggunakan sepenuhnya sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui dalam skala yang besar,’ ujar beliau. ‘Adalah penting juga bahawa dasar negara yang bercita-cita tinggi dan kerjasama antarabangsa yang kukuh kerana semua ini merupakan kunci utama kepada penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui secara meluas di semua dunia.
Figueres juga menekankan bahawa keperluan untuk kewangan dan teknologi yang mencukupi harus dibekalkan kepada negara-negara yang lebih mundur, yang akan mengalami pertumbuhan paling pesat dalam pengeluaran tenaga dalam masa yang akan datang.
‘Negara-negara maju perlu menghasilkan satu dasar yang bersesuaian dan memberikan insentif supaya penggunaan dan pemasangan teknologi tenaga bersih boleh berkembang dengan pesat,’ tambah beliau lagi
Laporan tersebut juga menghasilkan satu ulasan yang mengandungi 160 keadaan saintifik yang berbeza berdasarkan tahap-tahap yang berlainan dalam sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui, keadaan alam sekitar yang berbeza dan juga faktor sosial.
Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia
- Details
Sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga suria, angin, biojisim dan tenaga hidro boleh mencapai hampir 80% permintaan bekalan tenaga dunia pada tahun 2050. Ini berlaku sekiranya kerajaan-kerajaan dunia merangka polisi untuk memanfaatkan potensi penggunaan tenaga-tenaga tersebut. Demikian menurut satu laporan yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kajian ini merupakan usaha bersama seramai 120 penyelidik daripada Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC). Mereka juga berkata bahawa sekiranya hala tuju tenaga yang boleh diperbaharui dipatuhi sepenuhnya, maka pelepasan gas rumah hijau akan berkurangan. Ini membolehkan suhu dunia tidak naik melepasi paras 2 darjah selsius pada tahun 2050.
2 darjah selsius ini merupakan satu had yang sekiranya suhu dunia naik melepasi had suhu ini, maka kesan terburuk perubahan iklim akan berlaku. Kerajaan-kerajaan juga telah bersetuju dalam perbincangan tahun lalu di Cancun, Mexico, yang mereka akan mengehadkan purata kenaikan suhu dunia dalam angka tersebut.
Laporan kajian tersebut diumumkan selepas perbincangan empat hari yang berakhir pada minggu yang lalu di Abu Dhabi, United Arab Emirates. Laporan ini bertujuan untuk memberikan maklumat kepada pembuat dasar dan membuat penilaian terkini terhadap potensi sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui.
Christiana Figueres, yang merupakan Setiausaha Eksekutif UNFCCC, menggambarkan laporan tersebut ‘signifikasi’ dan menunjuk hala tuju kepada kerajaan-kerajaan sedunia.
”Mereka mesti mencapai matlamat mereka dengan menggunakan sepenuhnya sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui dalam skala yang besar,” kata beliau lagi. ”Adalah penting juga bahawa dasar negara yang bercita-cita tinggi dan kerjasama antarabangsa yang kukuh kerana semua ini merupakan kunci utama kepada penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui secara meluas di semua negara.”
Figueres juga menekankan bahawa keperluan kewangan dan teknologi yang mencukupi harus dibekalkan kepada negara-negara yang kurang maju, agar negara-negara ini mengalami pertumbuhan paling pesat dalam pengeluaran tenaga dalam masa yang akan datang.
’Negara-negara maju perlu menghasilkan satu dasar yang bersesuaian dan insentif supaya penggunaan dan pemasangan teknologi tenaga bersih boleh bertumbuh dengan pesat.”
Laporan tersebut turut memuatkan ulasan daripada 160 keadaan saintifik yang berbeza berdasarkan tahap-tahap yang berlainan dalam sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui, keadaan alam sekitar yang berbeza dan faktor sosial.
Semua keadaan and faktor-faktor ini telah dikaji dengan jelas dan terperinci. Hasil kajian tersebut memberangsangkan kerana ia menunjukkan sumber tenaga boleh diperbaharui berupaya untuk menampung 77% permintaan tenaga dunia menjelang tahun 2050, berbanding 13% pada tahun 2008. Selain itu, pelepasan gas rumah hijau juga dapat dikurangkan daripada 220 hingga 560 gigaton dari tahun 2010 hingga 2050.
Walaupun laporan tersebut mengatakan bahawa sumber tenaga boleh diperbaharui akan meningkat tanpa bantuan dasar, namun ia juga menunjukkan peningkatan yang mendadak boleh dicapai sekiranya terdapatnya dasar negara yang kukuh dan diuruskan dengan baik.
Kos untuk teknologi tenaga boleh diperbaharui akan dikurangkan pada masa depan dan dapat dikurangkan lagi sekiranya pelepasan gas rumah hijau dijual menjadi kredit karbon dan disalurkan kepada pembangunan tenaga yang boleh diperbaharui.
Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Tenaga dan Air Malaysia
- Details
1. Memahami Kecekapan Tenaga
Kecekapan tenaga adalah satu tindakan yang menggunakan tenaga yang sedikit untuk menyempurnakan tugas yang sama. Contohnya, di rumah dan bangunan-bangunan komersial. Ia bermakna, dengan hanya menggunakan tenaga yang sedikit untuk memanaskan, menyejuk dan penggunaan tenaga lampu dalam bangunan. Ia juga boleh melibatkan penggunaan peralatan cekap tenaga yang menggunakan tenaga yang sedikit.
Penggunaan tenaga yang sedikit juga boleh digunakan di kilang-kilang dan sektor pembuatan dalam mengeluarkan produk dalam kuantiti yang sama. Ia boleh dicapai dengan menggunakan motor yang lebih cekap tenaga, sistem ”Drive”, sistem udara mampat yang kecekapannya tinggi dan peralatan industri yang lain.
2. Mengapa Kecekapan Tenaga penting?
Penggunaan tenaga secara cekap akan menunjukkan kadar penjimatan tenaga dan wang yang kurang dibelanjakan untuk tenaga itu. Penjimatan itu boleh diterjemahkan ke dalam bil-bil tenaga / elektrik yang lebih rendah.
Faedah keseluruhan kecekapan tenaga ialah:
a. Kos
• Pengurangan kos tenaga akan membawa kepada kos pengurusan operasi yang sedikit dan akan meningkatkan keuntungan yang tinggi.
• Kesan positif ke atas produktiviti dan daya saing.
b. Perlindungan alam sekitar
• Pengurangan pengeluaran karbon yang menyumbang kepada pemanasan global.
• Pengurangan pencemaran udara dan persekitaran yang lebih bersih.
• Kecekapan tenaga adalah salah satu cara yang paling berpotensi untuk mengurangkan GHG dalam jangka masa pendek.
c. Keselamatan bekalan
• Kurang loji jana kuasa, penghantaran dan menaik taraf sistem pengagihan dan pembinaan.
• membendung pertumbuhan permintaan tenaga global atau tempatan dan meningkatkan keselamatan bekalan.
• Kurang penggunaan tenaga bermakna hanya sedikit sahaja bahan api diperlukan untuk membakar yang membawa kepada pengurangan jangka masa panjang dalam penggunaan tenaga. Ini membantu memanjangkan hayat sumber-sumber asli seperti bahan api fosil, arang batu dan gas.
3. Adakah kecekapan tenaga sama dengan penjimatan tenaga?
Penjimatan tenaga tidak semestinya diterjemahkan kepada penggunaan tenaga yang cekap. Walau bagaimanapun, kedua-dua kecekapan tenaga dan penjimatan tenaga, akan menjimatkan tenaga dan mengurangkan kos operasi.
a. Kecekapan tenaga
• Ini dapat dicapai dengan aplikasi teknologi yang cekap, seperti motor yang cekap tenaga yang tinggi, lampu, dab lain-lain.
• Ia melibatkan kos pelaburan dan memerlukan pakar untuk mengenal pasti teknologi yang betul. Kecekapan tenaga kebanyakannya digunakan untuk industri.
b. Penjimatan tenaga
• Ini dicapai melalui penggunaan tenaga secara cekap, seperti memadamkan lampu dan peralatan elektrik apabila tidak diperlukan, menggunakan cahaya matahari dan lain-lain.
• Ia tidak melibatkan kos dan memerlukan perubahan tingkah laku pengguna sahaja. Penjimatan tenaga boleh digunakan dalam semua sektor.
Mageswaran Senderal
Forum Air Malaysia
- Details
Hujan ribut petir merupakan gejala biasa yang berlaku di Malaysia. Namun apabila petir mencalar menyeberangi langit, pernahkah anda terfikir tentang kekuatan dan kerosakan yang boleh diakibatkan olehnya?
Subang di Selangor, Bayan Baru di Pulau Pinang dan Kluang di Johor, merupakan tiga buah kawasan yang mempunyai kekerapan yang tinggi berlakunya ribut petir. Dalam setahun, purata hari berlakunya ribut petir di ketiga-tiga kawasan tersebut adalah 180 hingga 200 hari. Oleh itu, anda perlu lebih memahami tentang fenomena semula jadi ini agar tidak menjadi mangsanya.
Menurut Ketua Pengarah Pusat Teknologi Perlindungan Petir, Prof Madya Zainal Abidin, laporan yang dikeluarkan oleh Unit Keselamatan Petir di Amerika Syarikat mengesahkan ketiga-tiga kawasan ini merupakan kawasan yang mempunyai kadar yang tinggi berlakunya petir di Malaysia. Berikutan dengan pemanasan global, rakyat perlu bersiap-sedia kerana kadar ini akan meningkat lagi pada masa yang akan datang.
Beliau menekankan bahawa, selain daripada tiga kawasan ini, beberapa kawasan lain juga berdepan dengan masalah kekerapan petir yang tinggi. Oleh sebab itu, adalah susah untuk mengenal pasti masa dan tempat tertentu sebelum petir berlaku.
Selain itu, kedudukan Malaysia di khatulistiwa juga merupakan salah satu sebab utama. Jumlah penurunan hujan yang tinggi iaitu sebanyak 2000mm hingga 2500 mm setahun, bertambah dengan perubahan iklim telah meningkat kekerapan berlakunya petir.
Di samping faktor semula jadi, faktor buatan manusia juga menyumbang kepada fenomena ini. Susulan peningkatan bilangan kilang dan pembangunan pesar di kawasan Lembah Klang, bahan-bahan kimia yang dibebaskan ke atmosfera mendorong pembentukan awan berpetir lalu menyebabkan peningkatan kadar petir di kawasan tersebut.
Walaupun petir banyak membawa kerosakan dan bahaya, Prof Madya Zainal Abidin berasa hampa kerana masih ramai orang yang mengabaikan kerja-kerja perlindungan daripada petir. Beliau berkata, walaupun kejadian petir tidak dapat dikawal, namun kerja-kerja perlindungan petir perlu dilakukan seperti memasang rod petir di atas bangunan. Semasa berlakunya ribut petir, elakkan daripada berada di kawasan lapang, di bawah pokok, khemah, menara telekomunikasi, tiang bendera dan tiang lampu.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
- Details
Kebolehcapaian kepada air yang selamat dan sistem sanitasi yang lengkap merupakan salah satu hak asasi manusia sebagaimana yang diumumkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Namun, agak mengecewakan kerana Belanjawan 2012 tidak menyediakan peruntukan terhadap masalah bekalan air yang telah lama berlaku di negara ini.
Belanjawan 2012 telah memperuntukkan sebanyak hampir RM500 juta untukkerja-kerja menaik taraf infrastruktur air. Walau bagaimanapun, peruntukan tersebut hanya tertumpu kepada Sabah, kawasan Felda dan estet.
Terdapat negeri, seperti Kelantan, yang telah lama menghadapi isu penurunan kualiti air sejak berdekad dahulu, telah meminta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Namun, Kerajaan Persekutuan tidak melayani permintaan tersebut atas sebab-sebab yang tertentu.
Baru-baru ini, Indah Water Konsortium (IWK) telah menjadi tumpuan semula selepas hampir 11 tahun syarikat ini dimiliki oleh kerajaan. Melalui kertas kerja yang dikemukakan oleh 1Malaysia Development Berhad dan Puncak Niaga Sdn Bhd, kemungkinan akan berlakunya penswastaan terhadap IWK.
Walau bagaimanapun, kurang peruntukan yang diberikan kepada sektor pembetungan, yang memerlukan kerja-kerja penaiktarafan bagi memastikan sistem sanitasi yang lengkap dan selamat.
Dalam usaha negara ke arah sebuah negara maju pada tahun 2020 dengan pelbagai projek pembangunan yang berskala besar telah dirancangkan, walaupun dalam keadaan dunia menghadapi krisis kewangan. Pembangunan-pembangunan tersebut telah dirancang dalam belanjawan tersebut, tetapi tidak terdapat peruntukan-peruntukan yang boleh memastikan bahawa permintaan air semasa dan keperluan masa hadapan untuk penduduk setempat, selepas projek-projek pembangunan ini siap. Di samping itu, 12 buah empangan besar bakal dibina untuk menjana kuasa hidroelektrik bagi memenuhi permintaan pembangunan industri, yang akan membinasakan ekosistem setempat, tanpa menghiraukan keperluan asas kepada penduduk setempat. Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
Sebagai negara yang mempunyai pengguna air yang terbanyak di rantau ini, pendidikan pengguna dan pemuliharaan sumber air adalah sangat penting. Namun, dalam Belanjawan 2012, tiada peruntukan yang disalurkan untuk tujuan tersebut. Selain itu, belanjawan tersebut juga tidak meliputi isu-isu seperti pelan pengawalan pencemaran kepada sumber air seperti tasik, sungai dan air bawah tanah. Air tidak terhasil dalam negara juga masih tinggi, yang menyebabkan kerugian bukan sahaja kepada syarikat pembekalan air dan juga kepada pengguna. Satu peruntukan yang khusus untuk mengatasi masalah itu mesti disediakan.
Malaysia dikurniakan dengan air hujan dan sumber-sumber air yang berlebihan. Namun, sekiranya ia tidak mengurus dengan telus dan baik, kurniaan ini akan hilang pada masa yang akan datang.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
Subcategories
Page 144 of 232