- Details
Penduduk Bandar Warisan Taiping baru-baru ini dikejutkan dengan berita tentang pembinaan Kilang Peleburan Magnesium (Magnesium Smelter Plant) di Medan Raya Kamunting, Taiping, Perak. Malah, menurut penduduk-penduduk di sekitar, kilang ini dikatakan hampir siap dibina pada Mac 2010.
Medan Raya Kamunting ini dikelilingi oleh beberapa buah penempatan seperti Taman Saujana, Taman Saujana Permai, Taman Panglima, Taman Yayasan, Taman Palma dan Kampung Rahmat. Malahan, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) yang menempatkan seramai lebih daripada 200 orang pelajar turut berada di kawasan berhampiran kilang tersebut.
Kilang ini akan menggunakan proses haba yang dikenali sebagai Proses Pidgeon yang dicipta di Kanada pada tahun 1940-an. Bahan mentah utama yang digunakan dikenali sebagai Dolomite.
Bahan ini dilombong di sekitar kawasan Sungai Siput, Perak. Dolomite akan melalui proses calcine, dan kemudian akan ditukar menjadi ‘mahkota’ Magnesium asli melalui proses penurunan.
Semasa proses penurunan, ferosilikon dan tenaga haba banyak digunakan untuk menghasilkan ‘mahkota’ Magnesium. ‘Mahkota’ Magnesium ini akan dilebur dan dibentuk menjadi jongkong-jongkong, yang kebanyakannya akan dieksport ke luar negara, untuk memenuhi permintaan magnesium global yang semakin meningkat.
Perusahaan Magnesium merupakan industri yang memerlukan banyak tenaga, sama ada dalam bentuk tenaga haba atau elektrik. Justeru, ia akan memberikan kesan yang signifikan kepada alam sekitar
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), proses Pidgeon memerlukan lebih kurang 5.2 meter padu gas asli yang dibakar untuk membekalkan tenaga haba yang hanya menghasilkan 1 kilogram jongkong magnesium.
Apabila kilang ini beroperasi dengan kapasiti penuh dengan pengeluaran 83 tan jongkong setiap hari, ia akan membakar 431 ribu meter padu gas asli setiap hari untuk membekalkan haba.
Bagi menghasilkan satu kilogram jongkong magnesium, sebanyak 562 megajoule tenaga digunakan. Oleh itu, dalam tempoh sebulan, kilang di Kamunting Raya ini akan menggunakan 652 Terajoule tenaga.
Kebanyakan saintis dan jurutera bersetuju bahawa proses Pidgeon adalah proses yang paling tidak lestari, kerana ia memberi impak yang sangat besar ke arah penyusutan bahan api yang tidak boleh diperbaharui, di samping tahap kecekapan yang sangat rendah.
Jelas bahawa pembinaan kilang yang menggunakan proses tersebut tidak melambangkan pengurusan sumber yang lestari. Kilang ini menggunakan terlalu banyak bahan api dan haba.
Kesan kilang ini terhadap kawasan di persekitarannya perlu dikaji dengan mendalam. Kajian Impak Alam Sekitar Terperinci (Detailed Environment Impact Assessment) perlu dijalankan sebagai satu langkah untuk menjangka, mengurangkan dan mengelakkan impak-impak yang tidak diingini terhadap rakyat di Taiping.
Ahmad Faiz Abdul Razak
Jurutera Eksekutif, WECAM
7 April 2010
- Details
Gas rumah hijau dan pemanasan global
Kesan rumah hijau berlaku apabila komposisi gas-gas rumah hijau seperti karbon dioksida, karbon monoksida dan nitrogen dioksida meningkat melebihi daripada tahap normal.
Apabila komposisinya meningkat, molekul-molekul gas ini yang bersifat menyimpan haba, akan memerangkap haba lalu melambatkan proses pembebasan haba.
Kesan rumah hijau global berlaku apabila sinaran inframerah matahari yang memasuki ruang atmosfera bumi tidak terpantul secukupnya secara normal disebabkan kesan rumah hijau. Ini akan menyebabkan pemanasan global berlaku secara berperingkat, dan kawasan yang mengalami pencemaran teruk akan mengalami kesan yang lebih teruk lagi.
Apakah kesan-kesan buruk kepada pengguna?
Implikasi daripada pemanasan global akan menyebabkan lapisan ais di kedua-dua kutub bumi akan mengalami pencairan dan menyebabkan peningkatan aras laut. Pencairan lapisan ais juga akan menyebabkan ekosistem terjejas. Peningkatan suhu dan perubahan ekosistem akan menyebabkan sesetengah spesis kehidupan tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan akan mati. Manakala, sesetengah spesis kehidupan pula akan mula migrasi ke tempat lain.
Iklim di sesetengah kawasan pula akan terganggu dan tidak menentu. Ramalan saintis menunjukkan peningkatan 7.0 meter paras laut, yang menyebabkan kawasan rendah seperti Kuala Muda (Kedah) dan Kelantan akan ditenggelami air. Banjir dan ribut yang tidak menentu akan melanda di kebanyakan tempat dan penduduk di sekitar kawasan pantai dan kawasan rendah akan mengalami kesan yang paling buruk.
Selain itu pemanasan global akan turut menjejaskan penghasilan makanan dan rantai makanan. Ini akan menyebabkan berlakunya masalah kekurangan bekalan makanan seperti gula dan beras. Pada tahun 2009, Malaysia telah mengalami masalah kekurangan gula kerana pengeluar gula terbesar di dunia iaitu negara Brazil dan India telah mengalami musim kemarau dan banjir yang menyebabkan tanaman mereka rosak. Keadaan ini telah menyebabkan kekurangan bekalan dan harga yang melambung tinggi.
Apakah kesan perubahan iklim kepada bayi & kanak-kanak?
Kanak-kanak akan lebih cenderung untuk risiko kesihatan kerana mereka akan terdedah kepada cuaca panas yang melampau, pencemaran air, udara dan infeksi . Ini disebabkan oleh tahap keimunan mereka adalah lebih rendah daripada orang dewasa.
Cara pengguna membantu mengatasi perubahan iklim
Antara kaedah untuk mengurangkan kesan rumah hijau ini ialah melalui penjimatan tenaga. Jikalau manusia dapat mengurangkan penggunaan kenderaan dengan banyak, iaitu dengan menggunakan pengangkutan awam, maka pembebasan gas rumah hijau dapat dikurangkan .
Langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan perubahan iklim.
Gunakan barangan yang mempunyai label kecekapan tenaga seperti peti sejuk, televisyen dan penghawa dingin. Apabila penggunaan tenaga dapat dikurangkan, sumber asli yang digunakan untuk menjana tenaga dapat dikurangkan. Pengurangan penggunaan sumber asli akan membantu dalam pengurangan gas rumah hijau dan sumber asli ini juga akan dapat dijimat.
Pengguna juga harus makan makanan dengan sederhana dan tidak melebihi keperluan bagi mengelakkan pembaziran makanan.
Gunakan lebih pengangkutan awam atau berkongsi kereta. Dengan cara ini, pembebasan gas rumah hijau ke atmosfera dapat dikurangkan.
Pengguna juga harus mengamalkan kitar semula untuk mengurangkan sisa pembuangan dan pelupusan.
Elakkan penggunaan barangan seperti polisterena dan plastik. Ini kerana, polisterena dan plastik tidak akan terurai dengan mudah dan mengambil masa yang sangat lama. Penimbunan sisa polisterena dan plastik akan membawa kepada pencemaran.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Kerajaan Perak Darul Ridzuan telah menggunakan pelbagai kaedah untuk menukar fakta dan memutar belit isu pembangunan di Bukit Larut. Namun begitu, ramai yang tidak menyokong projek pembangunan tersebut berdasarkan jumlah penyokong facebook Save Bukit Larut, yang kini menjangkau 1,500.
Selain itu, menurut sumber Lembaga Air Perak, sebanyak 21.53 kilometer persegi kawasan di Bukit Larut merupakan kawasan tadahan air utama. Kebiasaannya, kawasan tadahan air utama disokong oleh kawasan sekunder yang merupakan kawasan hutan simpan di sekelilingnya. Gangguan kepada keadaan semula jadi hutan simpan ini akan memberikan impak kepada hampir 200,000 pengguna.
Pada tahun 1910, sebanyak 7,130 hektar tanah telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Bukit Larut. Tetapi kini hanya tinggal 2,747 hektar sahaja. Apa yang telah berlaku kepada baki 4,383 hektar hutan simpan yang lain?
Kawasan 2,747 hektar ini bersamaan dengan 27.47 kilometer persegi. Ini bermakna hampir keseluruhan kawasan ini merupakan kawasan tadahan air utama. Sepatutnya kawasan tadahan air sekunder lebih besar daripada yang terdapat apa yang terdapat di Bukit Larut. Mengapa kerajaan Perak ingin ingin menimbulkan masalah kepada pengguna dengan menganggu gugat hutan simpan ini.
Jika kualiti air mentah terjejas, kos perawatan air akan meningkat. Ini akan menyebabkan Lembaga Air Perak akan meningkatkan tarif bagi bekalan air di negeri Perak. Adakah wajar Kerajaan Negeri menghancurkan sumber air negerinya sendiri?
Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
- Details
Sekiranya ramalan ahli kaji iklim tentang kesan pemanasan global adalah benar, maka kita akan mendapati satu senarai tempat tertentu yang akan lenyap daripada muka bumi ini.
Kehilangan tempat-tempat yang paling indah di dunia ini merupakan satu peringatan bahawa perubahan iklim ini berupaya untuk menjadikan rapuh dan akhirnya fana.
Untuk memahami kesan perubahan iklim ini, kita perlu mengikut aliran dan interaksi yang berlaku pada air. Bermula daripada kecairan ais di Artik sehingga ke pulau batu karang yang berkedudukan pada paras laut rendah lalu ke banyak tempat yang tidak diduga: hutan awan di Kilimanjaro dan Kauai, Tasik Baikal di Siberia, gurun Kalahari dan Empty Quarter di Saudi Arabia. Selain itu, ia juga membabitkan Sungai Thames dan melalui London, mengalir ke Sungai Seine akhirnya tiba di Paris.
Ini mengesahkan bahawa bukan hanya ekosistem semula jadi yang diancam. Chicago, New York dan juga Beijing juga akan terdedah kepada ancaman perubahan iklim dari segi pembinaan. Akhirnya, ia akan mengancam tamadun manusia, yang disokong oleh pengeluaran pertanian yang dipengaruhi oleh corak cuaca. Contohnya di tanah tinggi Sri Lanka yang menampung hampir 700,000 pekerja dan ahli keluarga yang terlibat dalam industri the Ceylon.
Kehidupan di dunia ini disokong oleh kitaran air antara laut dan juga atmosfera rendah. Di samping itu, penempatan manusia di dunia turut bergantung kepada corak hujan, sinaran matahari, suhu dan angin. Semua faktor ini telah tergugat oleh pemanasan global. Glasier gunung mungkin tidak mendapat perhatian daripada penduduk yang tinggal di kawasan perbandaran, tetapi bagi penduduk di California selatan, pembentukan dan kecairan glasier gunung ini adalah sangat penting.
Interaksi air ini membolehkan kita menikmati keindahan di muka bumi, laut yang luas dan membiru, gurun yang merah keemasan serta sinaran kelabu di glasier dan ais di kutub utara dan selatan akibat pembiasan sinaran matahari. Kepelbagaian pemalar hijau di malakit dalam hutan Sweden, yang merupakan pokok tertua di dunia telah berakar umbi sejak Zaman Ais. Begitu juga hutan paya bakau di Madagascar dan kepelbagaian hidupan akuamarin di Great Barrier Reef, Australia.
Perubahan yang berlaku ini bukan berdasarkan kepada pelepasan karbon ataupun apa yang berlaku di atmosfera. Ia berteraskan kepada perlakuan manusia, tempat tinggal dan juga tempat yang mereka bina yang semua tempat-tempat indah ini akan musnah dan tidak wujud lagi sekiranya pemanasan global berlaku pada skala yang lebih tinggi.
Tempat-tempat inilah yang akan menjadi taruhan sekiranya kita sebagai manusia, terus bersikap bertolak ansur dengan pemanasan global dan tidak mahu mengambil tindakan segera.
Layarilah http://www.100places.com/en untuk keterangan lanjut.
(Diedit dan diterjemahkan daripada artikel oleh Fareed Zakaria untuk majalah Newsweek, 22 April 2010)
Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
22 April 2010
- Details
Rata-rata masyarakat mengetahui tentang peranan saluran pembentungan untuk mengalirkan air sisa kumbahan ke dalam loji rawatan. Walaupun begitu, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa terdapat sisa-sisa yang dibuang oleh mereka yang tidak boleh diuraikan, yang menyebabkan gangguan dalam memproses air sisa di loji rawatan.
Sisa-sisa yang tidak boleh diuraikan, seperti bahan plastik atau serpihan kayu-kayu kecil yang masuk ke dalam sistem kumbahan, mengganggu kelancaran untuk memproses air sisa serta memendekkan jangka hayat peralatan di loji rawatan. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan kos pembaikan peralatan apabila berlakunya kerosakan.
Meskipun begitu, masih terdapat kaedah yang lain yang boleh dilakukan bagi mengelakkan kenaikan kos pembaikan peralatan di loji rawatan air sisa. Ini seterusnya akan meningkatkan mutu perkhidmatan pembentungan.
Pertama, pengguna perlu mempunyai kesedaran bahawa mereka tidak boleh membuang bahan-bahan seperti plastik atau kayu ke dalam saluran pembentungan. Kedua, pengguna hendaklah menjalankan tanggungjawab untuk melakukan penyelenggaraan terhadap sistem pembentungan persendirian, dan yang terakhir, pengguna mesti membuat pembayaran caj perkhidmatan pembentungan secara berterusan sepertimana yang tercatat di bawah Seksyen 62 (2), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
Dengan kerjasama daripada semua pihak, terutama pengguna dan pembekal perkhidmatan pembentungan, yang menjalankan tanggungjawab masing-masing, maka mutu perkhidmatan pembentungan di negara kita dapat diperbaiki dan dipertingkatkan.
Syarina Bte Mohd Yusof
Forum Air Malaysia
18 Mei 2010
- Details
Malaysia merupakan sebuah negara beriklim tropika yang dilimpahi dengan purata taburan hujan tahunan di antara 2000 – 5000 mm. Faktor ini menyebabkan negara lebih banyak bergantung kepada sumber air permukaan untuk mendapatkan bekalan air terawat. Kemudahan untuk mendapatkan sumber air terawat bagi menjalankan aktiviti harian memberi tanggapan atau persepsi kepada masyarakat di negara ini bahawa Malaysia tidak akan mengalami masalah kekurangan air pada masa akan datang.
Pada tahun 2008, Pulau Pinang Dan Melaka mencatatkan jumlah penggunaan air yang paling tinggi di negara ini iaitu 285 liter/kapita/Hari Dan 268 liter/kapita/Hari. (Sumber : Malaysia Water Industrial Guide Dan SPAN). Angka ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan penggunaan air di Singapura iaitu sebanyak 156 liter/kapita/Hari.
Apakah yang menyebabkan penggunaan air di negara ini agak tinggi Dan dikategorikan sebagai membazir ? Pertama, mentaliti masyarakat di negara ini yang masih beranggapan bahawa Kita tidak akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan air terawat. Kedua, tarif air yang rendah disebabkan bantuan subsidi daripada kerajaan menyebabkan pengguna mengambil kesempatan Dan tidak menghargai air.
Pada masa ini, rakyat Malaysia cuma membayar serendah RM 0.31/m3 sehingga RM 0.98/m3. Dengan nilai serendah ini, ia mendorong masyarakat lupa untuk melakukan penjimatan air Dan terakhir, tiada hukuman atau penalti yang dikenakan ke atas pihak atau individu yang banyak menggunakan air sebaliknya diberi diskaun atau bantuan subsidi.
Pengguna di negara ini perlu lebih sedar bahawa masalah kekurangan air terawat akan berlaku sekiranya tabiat penggunaan air pada masa ini masih berterusan. Pengguna perlu mengamalkan langkah-langkah menjimatkan air. Banyak cara yang boleh dilakukan untuk menjimatan air seperti menuai air hujan, mengguna Dan mengitar semula air sisa Dan menggunakan peralatan penjimatan air seperti Pam tandas dwi fungsi Dan alat pancuran yang jimat air.
Jika setiap masyarakat menyedari tentang kepentingan air dan bersama-sama berusaha untuk menjimatkan air, maka ia sudah pasti dapat meminimumkan masalah kekurangan bekalan air terawat pada masa akan datang.
SYARINA MOHD YUSOF
Forum Air Malaysia
21 Mei 2010
- Details
Pertambahan jumlah penduduk dan kepesatan pembangunan dalam sektor industri telah mendorong kepada permintaan bekalan air yang tinggi. Faktor ini akan menimbulkan lebih banyak tekanan kerana sumber air yang terhad tanpa disedari. Secara keseluruhannya, sumber air di dunia yang boleh digunakan untuk kegunaan harian adalah 0.3 peratus sahaja daripada keseluruhan sumber air yang terdapat di dunia ini, yang terdiri daripada tiga sumber, iaitu air sungai, paya dan tasik.
Dalam kesukaran untuk mendapatkan sumber air mentah, timbul pula masalah pencemaran air yang semakin meningkat. Sungai dan tasik telah dijadikan tempat pembuangan bahan toksik dan sampah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Keadaan ini memberi impak kepada sungai dan tasik, yang menyebabkan jumlah kandungan oksigen (O2) di dalam air semakin berkurangan, yang kemudiannya telah menjejaskan hidupan air serta merendahkan kualiti air mentah.
Kebergantungan kepada sumber air mentah sebanyak 97 peratus bagi menghasilkan air terawat, telah menyebabkan pencemaran yang berlaku ini menimbulkan keadaan yang tidak menyenangkan. Jika pencemaran ini terus berlarutan, maka masalah kekurangan kekurangan sumber air mentah akan berlaku. Selain itu, ekosistem juga akan terganggu dan lebih malang lagi kesihatan serta punca pencarian bagi manusia yang bergantung kepada sumber air akan turut terancam.
Syed Mubashir bin Syed Mohammad
Forum Air Malaysia
24 Mei 2010
- Details
Hampir semua negara di dunia ini berkembang pesat dalam era sains dan teknologi. Saban hari banyak bangunan mahupun lebuh raya telah dibina bagi menambah baik kehidupan manusia. Namun, dalam kesibukan mengejar kemajuan dunia, secara tidak sedar manusia alpa akan kepentingan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar.
Umpamanya di Malaysia, salah satu usaha yang telah diambil oleh kerajaan untuk memelihara alam sekitar ialah projek membersihkan Sungai Raja di Alor Setar. Usaha ini sememangnya harus dipandang serius dan dikembangkan ke sungai yang tercemar yang lain. Namun usaha ini tidak akan berjaya jika hanya satu pihak sahaja yang terlibat. Justeru itu, kerajaan dan masyarakat seharusnya melibatkan diri dalam usaha untuk menjaga alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama.
Sebagai masyarakat yang prihatin, pelbagai beberapa langkah boleh dilakukan, antaranya tidak membuang sampah sarap ke dalam sungai, di samping melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan jika terdapat sebarang kecuaian mana-mana pihak yang melupuskan sampah ke dalam sungai.
Selain itu juga, masyarakat boleh memantau aliran sungai seharian dan mengadakan gotong-royong membersihkan sungai jika terdapat sampah sarap yang boleh menggugat eko-sistem sungai. Antara aspek-aspek yang boleh dipantau ialah secara fizikalnya ialah bau yang kurang menyenangkan. Manakala secara biologi pula, perhatikan hidupan di dalam sungai, contohnya ikan, udang dan organisma yang lain.
Dengan usaha dan kesedaran yang berterusan oleh pihak kerajaan dan masyarakat, maka pemuliharaan dan pemeliharaan warisan alam sekitar pasti tidak menjadi isu yang kronik. Ia juga dapat membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan untuk menjaga alam sekitar.
Syed Mubashir Bin Syed Mohammad
Forum Air Malaysia
25 Mei 2010
- Details
Seringkali kejadian banjir dilaporkan melalui media. Kejadian banjir tersebut sering tertumpu kepada kawasan yang sedang dibangunkan, sebagai contoh, kawasan pembinaan projek perumahan, lebuh raya baru dan bangunan bertingkat.
Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan kejadian banjir, iaitu pertamanya, kitaran angin monsun, yang biasanya membawa purata taburan hujan yang tinggi, dan kedua, sistem perparitan yang kurang efisien di kawasan bandar.
Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan telah meluluskan pelan pembangunan projek mengatasi masalah banjir yang membabitkan peruntukan lebih RM1 bilion. Namun pelaksanaannya mengambil masa yang panjang, bukan setakat dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), malah mungkin melangkau kepada RMK-11 kerana banyak kawasan yang terbabit.
Peruntukan kerajaan untuk mengatasi masalah banjir mungkin boleh dikurangkan seringnya wujud kerjasama antara pemaju dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Kerjasama itu akan menguntungkan semua pihak, terutamanya penduduk kawasan perumahan. Selain daripada menambah kesedaran tentang pentingnya sistem perparitan di kawasan yang dibangunkan, pemaju boleh berbincang dengan JPS dan mengenal pasti sistem perparitan yang lebih sistematik untuk mengelak berlakunya banjir.
Pembangunan amat penting untuk memajukan sesebuah kawasan dari segi ekonomi mahupun sosial penduduk setempat. Namun, sistem perparitan yang cekap juga tidak boleh dipandang enteng kerana kesannya akan memberi impak yang besar kepada semua pihak.
Syed Mubashir Bin Syed Mohammad
Forum Air Malaysia
1 Jun 2010
- Details
Baru-baru ini Kerajaan Negeri Perak telah mengumumkan bahawa kerja-kerja pembinaan kereta kebal akan diteruskan di kawasan hutan simpanan Bukit Larut, yang juga merupakan kawasan tadahan air.
Pengumuman tersebut telah menyebabkan ahli Facebook ‘Save Bukit Larut’ telah mengalami pertambahan. Begitu juga pelbagai komen bernas telah diutarakan oleh ahli. Kata Piarapakaran Subramaniam, Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM). Terdapat 1804 ahli aktif dalam facebook `Save Bukit Larut’.
Hampir semua ahli meminta supaya projek ini dihentikan. Namun begitu Kerajaan Perak masih terus bertegas untuk meneruskan projek ini atas ‘inisiatif persendirian’ dan akan membawa ‘keuntungan’ kepada penduduk di Taiping.
Walaupun Kerajaan Perak mengatakan bahawa satu analisis mengenai impak alam sekitar telah disediakan, namun tiada maklumat and salinan laporan ini yang boleh di rujuk oleh semua pihak.
“Di Malaysia,” kata Piarapakaran, “Kita selalu memandang tinggi pencapaian negara maju dengan ‘ooh’ dan ‘ahh’. Tetapi, negara-negara ini melindungi kawasan tadahan mereka dengan sepenuhnya, ada yang menggunakan askar bersenjata.”
Kenapa di Malaysia kita hanya memilih yang mana kita ingin guna pakai sahaja?
Kehilangan kawasaa tadahan air akan menyebabkan kenaikan tarif air pada masa akan datang. Siapa yang ingin bertanggungjawab?
Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung, WECAM
1 Jun 2010
Subcategories
Page 138 of 232