Dalam usaha untuk mencari penyelesaian terbaik kepada krisis air, kita sering terlupa tentang hubungan tiga segi di antara air, makanan dan tenaga.

Sebanyak 80% air tawar di Asia telah digunakan untuk sektor agrikultur, manakala bakinya digunakan untuk penjanaan tenaga, industri dan kegunaan domestik. Biasanya, 50% daripada jumlah tenaga yang digunakan untuk penyaliran air, yang lebih tertumpu kepada tenaga hidro dan proses penyejukan di loji jana kuasa.

Air tawar untuk bahan api bio (bio-fuels) juga mulai bersaing dengan air untuk sektor agrikultur. Ini menunjukkan hubungan tiga segi menjadi semakin sengit. Jika pihak berkuasa dan pembuat dasar tidak melihat kepada hubungan ini semasa merancang dan membuat bajet, maka hubungan ini semakin sukar untuk dikawal.


Ramai yang akan bertanya bahawa adakah hubungan ini merupakan sesuatu yang baru? Tidak, kerana ia telah pun bermula apabila nenek moyang kita mula bercucuk tanam. Sebagai contohnya tebu. Untuk menghasilkan satu tan tebu, sebanyak 250 tan air diperlukan. Manakala untuk menghasilkan satu kilogram daging, 30,000 hingga 70,000 liter air tawar diperlukan.

Pertumbuhan pesat di Asia telah meningkatkan pendapatan dan tabiat pemakanan rakyat Asia. Keperluan daging di rantau Asia telah meningkat sebanyak 700% dalam masa 40 tahun sahaja. Di China sahaja, penggunaan daging telah berlipat ganda dalam masa 20 tahun dan dijangka akan meningkat satu kali ganda lagi pada tahun 2030.

Maka, selain keperluan makanan dan air, tenaga yang diperlukan juga semakin meningkat dan sukar untuk dikawal. Bagaimana untuk memenuhi peningkatan keperluan makanan jika hubungan tiga segi ini tidak dapat dikawal dengan berkesan? Selain di Asia, dilema ini juga bakal menjadi masalah kepada dunia.

Penjanaan tenaga memerlukan 30% daripada semua air yang terdapat di Eropah dan 40% di Amerika Syarikat. Di Asia, keperluan tenaga bakal meningkat sebanyak 40% mengikut unjuran dan keperluan industri setinggi 65%.

Pada tahap pertumbuhan ini, sektor agrikultur akan menghadapi kekurangan sumber air dan penghasilan tanaman akan menurun. Di samping itu, dalam masa 20 tahun ini, dunia ini bakal menghadapi penurunan hasil tanaman makanan, kekurangan sumber air dan lebih terdedah kepada kesan perubahan iklim.

Saling pergantungan antara air, tenaga dan makanan akan menyebabkan keadaan geo-politik dalam dunia ini berubah dan mengecutkan keupayaan untuk mendapatkan air tawar, terutamanya di negara-negara sedang membangun.

Air menjadi faktor yang baru dalam perdebatan keselamatan makanan dan tenaga serta merupakan elemen penting dalam hubungan antarabangsa. 40% air tawar yang boleh didapati di muka bumi ini terbahagi kepada sungai dan kawasan tadahan air yang dikongsi dan tertumpu di Mekong, Indus, Brahmaputra, Syr Darya dan Amur Darya. Namun, paras air di semua sungai yang semakin menurun ini jelas menunjukkan masa hadapan air tawar di kawasan ini amat membimbangkan.

Adakah ini menunjukkan dunia bakal menghadapi kekurangan air? Adakah pertumbuhan ekononi dan kelestarian alam sekitar bakal terjejas teruk akibat unjuran kekurangan air ini? Ya, itulah jawapan kepada semua persoalan ini.

China dan India telah membuat satu unjuran dan mendapati pada tahun 2030, jumlah kekurangan air tawar untuk kedua-dua negara ini adalah sebanyak 1 trilion meter padu. Bangladesh, Kemboja, Nepal, Pakistan, Filipina dan Vietnam merupakan negara-negara lain yang bakal menghadapi cabaran ini. Laporan yang konservatif akan melaporkan bahawa bandar-bandar besar di Asia hilang sebanyak 29 bilion meter padu air yang telah dirawat dalam setahun. Dianggarkan kerugian sebanyak AS$9 bilion disebabkan oleh prestasi sistem pengurusan air yang lemah.

Selain hubungan tiga segi ini, alam sekitar juga merupakan mangsa pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang terlalu pesat dan menjejaskan keseimbangan ekologi.

Di China dan India, kehilangan air bawah tanah berlaku di serata tempat. 50% air permukaan di aliran Sungai Hai di China tidak dapat digunakan. Di Filipina, 50 daripada 412 sungai telah ‘mati’. 50% daripada air di Sungai Ganges di India dan Sungai Kuning di China tidak lagi sesuai untuk penanaman agrikultur.

Apabila bekalan makanan tidak mencukupi, maka sosio-ekonomi akan turut terjejas apabila bandar dan industri  kehilangan daya untuk berkembang disebabkan kekurangan sumber air dan isu-isu ketidakadilan sosial akan meningkat.  

Namun, masih tidak terlambat lagi untuk memperbaiki keadaan ini. Penggunaan dan pengurusan air tawar yang cekap merupakan jalan penyelesaian yang terbaik. Oleh itu, Asia perlu mengambil langkah drastik dengan membuat polisi yang dapat meningkat kecekapan penggunaan air. Sebagai contoh di Kemboja, jika negara ini dapat menurunkan air tidak terhasil daripada 72% kepada 6%, maka negara-negara lain juga berupaya untuk mencontohi usaha Kemboja ini.  

Walaupun usaha ini melibatkan kos yang tinggi, tetapi sekiranya tiada ada sebarang usaha dilakukan, maka kosnya akan lebih tinggi dan seterusnya memudaratkan kehidupan. Air tawar juga perlu diberi harga yang lebih berpatutan mengikut kadar dan kos operasi. Kegunaan air tawar perlu dikawal dengan lebih ketat oleh pihak berkuasa yang akan menjamin keseimbangan di antara semua sektor yang memerlukan air.

Hubungan tiga segi ini tidak memerlukan teori yang rumit untuk menjelaskannya. Ia juga bukan sesuatu yang misteri, tetapi merupakan satu kebenaran. Ia juga merupakan satu sistem amaran awal agar tindakan segera dilakukan untuk kelestarian air di Asia pada masa hadapan.

 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia