Usaha Kerajaan Malaysia untuk menutup beberapa kawasan selam skuba yang terjejas oleh pemutihan batu karang amat dialu-alukan.

Kawasan batu karang merupakan salah satu ekosistem yang paling kompleks di dunia ini dan merupakan habitat yang penting untuk hidupan laut.

Pemutihan batu karang adalah berpunca daripada peningkatan suhu air laut ataupun pencemaran air laut. Sejenis hidupan yang bernama Zooxanthellae hidup secara simbiosis dengan batu karang akan meninggalkan batu karang apabila peningkatan suhu atau pencemaran berlaku. Batu karang yang kehilangan sumber nutrisi sekiranya Zooxanthellae tersebut meninggalkannya terlalu lama dan akan mengalami pemutihan.

 

Namun, sekiranya keadaan air laut kembali menjadi normal, Zooxanthellae akan kembali ke batu karang tetapi memerlukan masa yang lama untuk pulih.

Tujuan menutup kawasan selam skuba yang tertentu adalah untuk mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh penyelam skuba dan juga aktiviti snorkeling. Dengan itu, kawasan batu karang akan mempunyai masa yang mencukupi untuk pulih.

Selain menutup kawasan selam skuba, kerajaan juga harus memperuntukkan lebih dana bagi melindungi sumber-sumber asli seperti batu karang, menyekat pencemaran kawasan pesisiran pantai dan juga mengaplikasikan aktiviti-aktiviti perikanan yang lestari.

Di samping itu, World Wildlife Fund (WWF) Malaysia juga mencadangkan kerajaan untuk melaksanakan “Ecosystem Based Management of Fisheries” dan menguatkan lagi pengurusan kawasan marin seperti di taman marin. 

Kualiti air laut yang baik, liputan batu karang yang tinggi dan kepelbagaian komuniti ikan yang herbivor merupakan factor-faktor yang penting untuk menggalakkan pemulihan batu karang.

Kawasan-kawasan batu karang yang telah tutup akan dibuka semula pada penghujung bulan Oktober.

 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

Banjir adalah bencana alam yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Masalah yang serius, terutamanya jika kediaman terletak di kawasan zon banjir. Kemusnahan yang berpunca daripada banjir boleh merosakkan harta benda dan tapak rumah. Oleh kerana itu, anda perlu mencari kaedah yang bersesuaian untuk melindungi kediaman daripada mengalami kemusnahan yang berpunca daripada air ataupun banjir. Apa yang penting, kaedah tersebut mampu untuk melindungi rumah daripada bencana ini untuk beberapa tahun. Berikut adalah beberapa tips untuk melindungi rumah anda daripada dimusnahkan oleh banjir:

Sentiasa Peka

  1. Sentiasa peka dengan ramalan cuaca. Setiap kali terdapat risiko banjir berhampiran kawasan tempat tinggal anda, mula bertindak dengan mengumpulkan barang-barang berharga di tempat yang mudah dicapai sekiranya anda dikehendaki meninggalkan kawasan rumah.
  2. Anda mesti memahami di bahagian mana dan apa yang boleh menyebabkan rumah anda tidak mampu untuk menghadapi banjir. Kemudian selenggara rumah anda dan kerap melakukan pemeriksaan terutamanya di bahagian paling lemah pada struktur rumah anda.

 

Sistem Saliran

 

  1. Periksa sistem saliran di luar rumah anda. Pastikan sistem air bawah tanah di kediaman anda tidak memerangkap tanah ke dalam saluran. Jika kediaman  anda terletak di kawasan aliran air hujan yang menghala ke arah rumah, bina sistem saliran yang boleh mengalirkan air hujan agar menjauhi kawasan rumah anda.
  2. Periksa sekiranya terdapat retakan atau sumbat pada sistem saliran. Saliran bawah tanah yang tersumbat boleh menyebabkan banjir.
  3. Sekiranya rumah anda terletak di kawasan yang mudah dilanda banjir, tembok penghalang banjir dapat menyokong menghalang air banjir daripada masuk ke dalam rumah.
  4. Pasang pengadang kalis air pada tapak rumah. Pengadang bergetah dapat membantu menyalurkan air menjauhi tapak rumah melalui saliran berpelapik jubin di sekeliling rumah anda.

Elektrik

  1. Pemanas air, relau dan panel elektrik perlu diletak di tempat yang lebih tinggi. Tinggikan soket elektrik sekurang-kurangnya 1.5 meter dari lantai.
  2. Potong perkhidmatan bekalan elektrik pada pemutus arus sekiranya sistem elektrik dan saluran keluar berkemungkinan berada dibawah paras air.

Rumah

  1. Guna jubin seramik untuk lantai, ambal juga lebih baik daripada permaidani kerana lebih mudah dibersihkan. Simen kapur pada dinding berbanding simen gipsum. Gantikan pintu kayu dan bingkai cermin kepada bahan jenis UPVC yang telah difabrikasi.
  2. Tanam lebih banyak tumbuhan hijau dan pokok di kawasan rumah anda untuk membantu menghalang hakisan tanah. Hakisan menyumbang kepada banjir dan degredasi sisa di sekitar rumah anda.
  3. Walaupun menaikkan rumah lebih tinggi daripada aras paras banjir memerlukan kos yang tinggi, namun kaedah ini merupakan antara kadah yang paling berkesan untuk melindungi rumah anda, lebih-lebih lagi sekiranya anda tinggal dikawasan zon banjir.

Lain-lain

  1. Limpahan pada sinki dan tab mandi boleh menyebabkan bencana. Anda boleh mengelakkannya dengan tidak meninggalkan bilik air tanpa pengawasan semasa air paip masih mengalir. Tutup paip setiap kali anda selesai menggunakannya. Air tandas yang melimpah juga mendatangkan masalah besar dan sukar untuk dielakkan. Pastikan anda menyimpan pelocok di dalam tandas sebagai langkah berjaga-jaga dan jangan membuang tisu, pasir kumbahan atau lampin pakai buang ke dalam lubang tandas.

 

Siti Rizadiana Binti Rahmat
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Air adalah unsur terpenting mengimbangi kehidupan manusia. Tiga perempat muka bumi diliputi air, iaitu 97% adalah air masin dan hanya kira-kira 0.3% air yang boleh digunakan (sumber air tawar).

Malaysia merupakan antara negara yang paling banyak menggunakan air di Asia Tenggara dengan purata 205 liter air sehari untuk setiap individu. Dalam banyak hal, air juga menjadi penyumbang besar kepada pembangunan tetapi kesejahteraannya berterusan disanggah dan dianiayai. Salah urus dan sifat haloba manusia mencetuskan padah kekurangan air serta pencemaran. Natijahnya, seluruh dunia kini berdepan dengan krisis air.

Sungai adalah elemen alam sekitar yang penting kepada manusia. Sejak dahulu lagi, manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan sungai kerana sungai berfungsi sebagai alat pengangkutan dan perhubungan, sumber bekalan air untuk domestik dan pertanian serta sumber protein kepada manusia. Fungsi sungai yang paling utama kepada manusia adalah sebagai sumber bekalan air sama ada untuk kegunaan domestik atau komersil.

Hasil kajian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan kira-kira 20 sungai mengalami pencemaran serius seperti Sungai Klang dan Sungai Sepang di Selangor, Sungai Juru di Pulau Pinang, Sungai Jimah di Negeri Sembilan dan Sungai Skudai di Johor. Sungai Pinang dan Sungai Juru di Pulau Pinang kekal sebagai sungai paling tercemar di Malaysia. Perkembangan ini memang dijangka selaras dengan pembangunan pesat yang dialami oleh negara selain mentaliti masyarakat yang masih rendah dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.

Lebih 1,000 sungai di seluruh negara dipantau secara berkala oleh Jabatan Alam Sekitar. Kajian Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati air daripada sungai ini mengandungi logam berat seperti arsenik, raksa, kadmium, kromium, plumbum dan zink yang berbahaya kepada habitat dan manusia. Sebanyak 16 batang sungai terutama di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor dikategorikan sebagai tercemar dan hampir mati yang memerlukan kos antara RM100 juta dan RM400 juta untuk memulihkan setiap sungai.

Antara punca berlakunya pencemaran sungai adalah aktiviti pembangunan tanah dan pelepasan sisa daripada kilang serta sisa dan najis daripada ladang ternakan babi, selain sikap pendatang tanpa izin termasuk pekerja asing yang menjadikan kawasan tebing sungai sebagai tempat penempatan.

Tahap kesedaran masyarakat perlu ditingkatkan kerana manusia sendiri adalah penyebab utama berlakunya pencemaran sungai. Minda dan sikap pihak berkuasa dan orang ramai yang kurang mempunyai kesedaran untuk memulihara alam sekitar. Selain itu, pengguna juga suka membazir air dengan penggunaan air yang melebihi keperluan.

Kesedaran dan sifat tanggungjawab adalah tonggak utama kepada penjagaan sejagat, di samping sikap berani bertindak dan mengambil tindakan menghentikan pencerobohan kawasan tadahan air. Program pendidikan dan penghayatan etika alam sekitar perlu didedahkan kepada generasi muda untuk membentuk kecintaan, sikap dan perilaku bagi memelihara, memulihara dan menghayati kepentingan alam.

Masyarakat setempat masih berkesempatan untuk mengubah sikap sambil lewa mereka terhadap penjagaan alam sekitar dan mengambil langkah untuk memastikan sumber bekalan air mentah terus dipelihara dan dijaga.

Nurul Aina Ibrahim Istar
Forum Air Malaysia

 

Dengan purata 45kg hasil laut yang dimakan oleh setiap rakyat Malaysia setahun, ia menjadikan rakyat Malaysia sebagai pengguna hasil laut yang tertinggi di Asia Tenggara dan hanya di belakang Jepun di benua Asia.

Dana Hidup Liar Dunia (World Wildlife Fund, WWF) Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam (Malaysia Nature Society, MNS) telah melancarkan program ’Selamatkan Hasil Laut Kita’ pada bulan Jun lalu. Mereka juga telah memperkenalkan satu panduan hasil laut untuk para pengguna Malaysia untuk mengelakkan mana-mana hasil laut yang semakin berkurangan.

Pakar-pakar saintis dunia meramalkan bahawa sekiranya exploitasi hasil laut masih dijalankan secara berleluasa, maka dalam tempoh 40 tahun, hasil laut dunia akan kepupusan. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Datuk Dionysius Sharma, penggunaan hasil laut negara kita akan meningkat kepada 50kg setiap seorang dalam tempoh terdekat pada masa hadapan. Beliau juga menekankan bahawa exploitasi hasil laut secara berlebihan dan tidak lestari telah berlaku di Malaysia untuk menangani pasaran hasil laut yang berkembang pesat ini sejak tahun 1980-an lagi. Sekiranya keadaan ini tidak berubah, negara kita bakal menghadapi kekurangan hasil laut.

Pada masa ini, negara kita mempunyai 12,000 orang nelayan dan penternak ikan, dengan tangkapan hasil laut sebanyak 1.65 juta ton yang bernilai sebanyak RM5.8 bilion. Melalui soal selidik yang telah dijalankan, dua pertiga daripada responden akan mengurangkan atau berhenti memakan hasil laut sekiranya stok hasil laut menurun. Manakala hanya satu pertiga orang yang tahu bahawa stok hasil laut telah menurun secara mendadak.

Selain itu, Pengarah Eksekutif MNS, Dr. Loh Chi Leong berkata bahawa rakyat Malaysia memang suka makan hasil laut.  Namun sebelum makan, buatlah pilihan yang wajar dengan mengelakkan daripada memakan hasil laut yang bakal pupus.

 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

Selepas 20 tahun pembinaannya, akhirnya Empangan Bakun telah siap dan bersedia untuk membekalkan sebanyak 2,400MV tenaga elektrik di Sarawak. Empangan Bakun akan menjadi empangan konkrit campuran batuan yang tertinggi di dunia, tasik buatan manusia terbesar di Malaysia dan juga empangan terbesar di Malaysia. Bayangkan keadaan sebuah tasik yang sama besar saiznya dengan negara Singapura.

Semenanjung Malaysia dijangka akan menerima sebanyak 1,600MV daripada jumlah tenaga elektrik yang dihasilkan oleh Empangan Bakun dengan pembinaan kabel dasar laut yang menghubungkan Kuching dan Johor. Kos pembinaan empangan ini telah mencecah RM7.3 bilion, yang kos asalnya ialah RM3 bilion hingga 4 bilion. Lebih-lebih lagi, kabel dasar laut yang bakal dibina memerlukan kos sebanyak RM10 bilion.

Walau bagaimanapun, usaha dan rancangan untuk membina kabel dasar laut tersebut telah dibatalkan disebabkan oleh penarikan diri beberapa syarikat besar yang melabur dalam projek ini. Antaranya ialah Sime Darby. Oleh itu, semua tenaga yang dihasilkan oleh Empangan Bakun kini kepunyaan Sarawak dan Sabah. Hakikatnya, situasi ini menyebabkan Sarawak mempunyai simpanan tenaga yang berlebihan, manakala Semenanjung Malaysia menghadapi masalah kekurangan tenaga. Bagi menggantikan 1,600MW tenaga yang sepatutnya dibekalkan oleh Empangan Bakun, kerajaan kini perlu menaik taraf stesen-stesen janakuasa arang batu yang terdapat di Semenanjung Malaysia ataupun memulakan projek penjanaan kuasa nuklear.

Projek penjanaan kuasa nuklear yang dicadangkan oleh kerajaan pada bulan Mei yang lepas tidak sewajarnya dilaksanakan.

Kos untuk membina stesen janakuasa nuklear, perlombongan dan pengangkutan uranium, pengurusan sisa-sisa nuklear dan akhirnya penutupan stesen janakuasa nuklear adalah jauh lebih tinggi dan kompleks berbanding dengan jenis-jenis stesen janakuasa yang sedia ada. Mengikut Agensi Tenaga Atom Dunia (International Atomic Energy Agency, IAEA), sesebuah stesen janakuasa nuklear hanya mempunyai jangka hidup selama 30 hingga 40 tahun.

Masih banyak lagi jalan penyelesaian yang boleh diambil selain daripada tenaga nuklear. Bajet untuk membina stesen janakuasa nuklear adalah sebanyak USD$3 bilion hingga 4 bilion. Itu tidak termasuk kos penyelenggaraannya. Mengapa tidak menggunakan bajet ini untuk membina kabel dasar laut yang menghubungkan Kuching dan Johor untuk memperoleh tenaga daripada Empangan Bakun?

Dengan penaikan taraf yang dilakukan terhadap stesen janakuasa arang batu di Semenanjung Malaysia, sudah pasti ia tidak dapat mengurangkan pembebasan gas rumah hijau sebanyak 40% seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri tahun lalu di Copenhagen kerana stesen janakuasa arang batu melepaskan kandungan gas rumah hijau yang paling tinggi jika berbanding dengan jenis stesen janakuasa yang lain.

Kekurangan dalam Projek Empangan Bakun menunjukkan kekurangan pandangan jauh dan kecekapan di antara pihak-pihak berkepentingan untuk mengurus permintaan tenaga dan produktiviti.

Jika Malaysia yang merupakan pusat kepada beberapa syarikat-syarikat pengilang solar panel terbesar di dunia, mengapa tidak dibangunkan sektor tenaga solar untuk negara kita. Semua sumber dan peralatan yang diperlukan untuk pembangunan tenaga solar boleh didapati dalam negara kita sendiri!


Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Standards Malaysia

Kita cenderung menggunakan air permukaan seperti sungai sebagai air mentah. Namun air permukaan mudah tercemar dan perlu dirawat. Untuk memeriksa kualiti air mentah, banyak parameter yang perlu dilihat seperti kekeruhan, kekabutan air, warna, keasidan (pH), bakteria, logam dan pencemaran (kimia). Jika air tersebut bersih, kadar kekeruhannya rendah, manakala jika air tersebut kotor, kadar kekeruhan adalah tinggi terutama jika hujan lebat dan tanah runtuh.

Langkah pertama dalam proses rawatan air ialah penapisan. Penapisan diletakkan di tempat kemasukan air yang diambil daripada sumber air seperti sungai dan berfungsi untuk menyingkirkan objek/sampah besar di dalam sungai bagi mengelakkan masalah tersumbat dan kerosakan di stesen pengepam atau Loji Perawatan Air. Tempat kemasukan ialah struktur yang mengumpulkan dan memasukkan air dari sungai, terusan atau empangan ke Loji Perawatan Air. Bagi proses sebelum perawatan, penapis halus digunakan menghalang daun-daun kecil atau zarah daripada menyumbat peralatan di dalam loji.

Sekiranya air mentah terlalu kotor, lembangan sebelum pengenapan (empangan) boleh digunakan untuk membolehkan zarah yang terlalu berat (seperti pasir) enap sebelum proses utama bermula. Terdapat elemen yang tidak dikehendaki di dalam air seperti masalah warna, bau dan rasa yang disebabkan oleh logam seperti besi dan mangan. Bahan-bahan ini boleh disingkirkan melalui pengoksidaan iaitu mewujudkan turbulens agar air dan udara boleh bercampur.

Bagi proses rawatan air pula merangkumi pengklorinan, pembauran, penggumpalan, pengelompokan, pemendapan dan penurasan. Klorin akan ditambah mengikut kesesuaian (had) untuk mengawal masalah rasa, bau serta mengawal pertumbuhan alga dalam loji perawatan. Kapur dimasukkan untuk menyesuaikan keasidan air supaya proses perawatan lebih berkesan. Bahan gumpal dimasukkan bagi membentuk zarah yang besar dan berat untuk enap (disingkirkan).

Pengelompokan oleh polimer dapat menggabungkan zarah semasa penggumpalan dan disingkirkan. Pemendapan berlaku di dalam tangki besar, di mana air mengalir perlahan dan kelompok mempunyai waktu untuk tenggelam ke bawah. Air yang bersih dan jernih dikeluarkan dari tangki. Turas di loji perawatan air mengandungi lapisan pasir. Zarah yang kecil tidak dapat melalui turas kerana melekat pada pasir. Zarah yang melekat pada pasir akan terungkai dan timbul ke permukaan. Air ini dikumpulkan dan menjadi air sisa. Air berturas melalui dua peringkat perawatan sebelum sampai ke tangki air jernih.

Selepas perawatan, proses pengenyahjangkitan dilakukan bagi membunuh organisma yang boleh menyebabkan penyakit dengan penambahan klorin. Kemudian, air akan memasuki ke tangki air jernih. Kapur ditambah semula untuk menyesuaikan keasidan air bagi mengelakkan hakisan pada struktur dan tali paip hiliran. Terakhir, fluorida ditambah (jumlah kecil) dalam air terawat untuk mencegah dan mengurangkan kerosakan gigi.

Semua peringkat yang terlibat di dalam proses rawatan air daripada pengambilan kepada penyimpanan-penyimpanan air dan mutu kualiti dapat memastikan air yang diproses oleh setiap syarikat berkaitan akan memastikan agar pelanggan dapat menerima air yang berkualiti tinggi serta kuantiti yang mencukupi.

Nurul Aina Ibrahim Istar
Forum Air Malaysia

 

Pendedahan media massa serta aduan awam mengenai isu pencemaran seperti perparitan, sungai, laut dan air amat membimbangkan kita.

Kita sering digemparkan dengan penyakit-penyakit seperti demam denggi, chikungunya, meliodosis, leptospirosis dan pelbagai jenis penyakit lain. Peningkatan masalah ini merupakan petunjuk bahawa amalan kebersihan tidak diambil peduli oleh sesetengah masyarakat.

Sejak sekian lama segala keindahan dan kedamaian alam terutama sungai semakin pudar serta dinodai mengikut hawa nafsu yang dicemari oleh tangan-tangan manusia.

Disebabkan sifat segelintir golongan masyarakat yang tidak bertanggungjawab, maka kita masih menghadapi pelbagai masalah pencemaran sungai.

Pencemaran bukan sahaja berpunca daripada aktiviti-aktiviti ekonomi yang tidak mesra alam, tetapi juga berpunca daripada aktiviti-aktiviti penduduk-penduduk kampung yang tinggal di sepanjang sungai. Mereka menjadikan sungai sebagai tempat pelupusan sampah-sarap. Pencemaran ini bukan sahaja mengakibatkan ketidakselesaan, tetapi juga boleh memudaratkan kesihatan, khususnya kepada penduduk-penduduk yang tinggal di sepanjang sungai yang tercemar.

Jika dipandang daripada arus pemodenan dan kecanggihan teknologi, sepatutnya individu yang berakal atau cerdik sekurang-kurangnya dapat memainkan peranan menjaga alam sekitar. Sebaliknya masih terdapat ramai individu yang tidak bertanggungjawab tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang dengan membuang sampah di merata-rata tempat.

Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, maka selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Sikap seperti inilah yang perlu dikikis agar ia tidak menjadi ikutan kepada generasi akan datang. Peliharalah sungai ini dengan bertindak mulai sekarang sebelum terlambat.

Langkah perubahan sikap serta anjakan minda seharusnya digiatkan terhadap semua pihak dan masyarakat supaya sungai kekal bersih dan boleh digunakan dengan selamat. Ingatlah sungai yang bersih dapat menjamin kehidupan yang selesa, sihat dan bersih.

Nurul Aina Ibrahim Istar
Forum Air Malaysia

 

Organisasi Standardisasi Antarabangsa (ISO) telah memperkenalkan standard ISO baru 21931-1:2010 yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi bangunan  kepada alam sekitar dengan menyediakan rangka kerja antarabangsa yang dipersetujui. Rangka kerja tersebut adalah mengenai kaedah yang digunakan dalam menilai penjagaan mereka terhadap alam sekitar.

Dalam kitaran seharian, bangunan-bangunan ini menyerap pelbagai sumber dan menyumbang kepada transformasi persekitaran. Akibatnya, pembinaan bangunan-bangunan ini juga memberikan kesan terhadap alam sekitar. Untuk mengukur dan memahami kesan ini, kaedah penilaian digunakan untuk menentukan prestasi bangunan ini terhadap alam sekitar.

Apakah yang dirangkumi oleh kaedah ini dan bagaimanakah sektor pembinaan bangunan dapat memastikan dengan tepat bahawa penilaian yang dibuat adalah konsisten?

Rangka kerja yang diterangkan di dalam ISO 21931-1:2010, Sustainability in building construction-Framework for methods of assessment of the environment performance of construction works- Part 1: Buldings, mengenal pasti dan menerangkan isu-isu yang perlu dipertimbangkan dalam sesuatu pembangunan dan kaedah penilaian bangunan terhadap alam sekitar bagi bangunan- bangunan yang baru dan lama.

Penilaian seperti berikut boleh digunakan untuk memantau perkembangan sektor ini ke arah lestari .

"Sektor pembinaan bangunan dikatakan membebaskan 40% karbon  secara global, dan menggunakan 40% daripada sumber alam  dan 40%  sisa buangan dan sampah dihasilkan di seluruh dunia," kata Jacques Lair, ketua jawatankuasa kecil yang bertanggungjawab mengembangkan standard. "ISO 21931-1 merupakan langkah penting untuk mengurangkan kesan bangunan terhadap persekitaran dan mencapai kesinambungan lestari yang sebenar dalam pembinaan bangunan."

Standard baru ini juga bertujuan untuk mengurangkan jurang antara kaedah-kaedah yang digunakan di peringkat serantau dan nasional dengan memberikan rangka kerja umum untuk mendapatkan pandangan mereka. Ini diaplikasikan di semua tahap projek pembinaan, perekaan sehingga pembinaan, operasi, penyelenggaraan, pembaikan dan perobohan bangunan . Ini adalah untuk memastikan bahawa proses ini juga adalah mesra alam.

Edisi pertama ISO 21931-1 membatalkan dan menggantikan ISO spesifikasi teknikal ISO/ TS 21031-1:2006.


Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia

Pembangunan negara Malaysia kian pesat dengan pelaksanaan pelbagai program utama dalam sektor pertanian, infrastruktur, industri serta komersial.

Walau bagaimanapun, seperti juga negara-negara lain, Malaysia tidak terlepas daripada menghadapi masalah banjir sama ada secara semula jadi atau disebabkan oleh pembangunan serta pembalakan yang tidak terancang. Oleh itu, Malaysia mengambil inisiatif dengan mewujudkan serta melaksanakan projek tebatan banjir bagi mengurangkan kawasan yang dilanda banjir.

Pelaksanaan projek tebatan banjir telah menunjukkan hasil yang memuaskan seperti Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandar Seremban dan RTB Lembah Klang. Jika projek tebatan banjir tidak dilaksanakan, maka jumlah kemusnahan akibat banjir akan meningkat dan banyak kerugian dialami.

Peruntukan Program Rancangan Tebatan Banjir telah dilaksanakan secara menyeluruh selepas negara mengalami banjir besar pada tahun 1971.

Pelbagai langkah telah diambil untuk mengatasi masaah banjir seperti menubuhkan Suruhanjaya Tetap Mengawal Banjir, Mekanisme Bantuan Bencana Banjir, menjalankan kajian lembangan sungai dan menyediakan ‘Pelan Induk Penyaliran’ untuk bandar-bandar utama, pelaksanaan kaedah struktur dan bukan struktur, mewujudkan sistem ramalan dan amaran banjir serta mewujudkan jaringan stesen pengumpulan data hidrologi dan banjir.

Dalam memastikan keberkesanan mengatasi masalah banjir, Manual Saliran Mesra Alam (MASMA) telah diperkenalkan pada tahun 2000 bagi menggantikan “Prosedur No1 (1975) Perancangan dan Rekabentuk” dan “Anggaran Rekabentuk Hujan. Semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan projek mengatasi banjir perlu menggembleng sumber dan memberi keutamaan kepada pelaksanaan usaha mengatasi bencana banjir.

Nurul Aina Ibrahim Istar
Forum Air Malaysia

Fotovoltaik (Photovoltaics, PV) merupakan cara penjanaan kuasa elektrik dengan menukarkan sinaran matahari kepada arus elektrik melalui sel-sel semikonduktor dalam panel solar.

Sejak beberapa tahun ini, pasaran fotovoltaik tumbuh dengan kadar yang tinggi di peringkat dunia dan tidak dipengaruhi oleh kos pembinaan yang tinggi. Berita baik ialah industri fotovoltaik telah berjaya mengurangkan kos, iaitu ia berjaya merangsang pembangunan teknologi industri ini, meningkatkan keupayaan fotovoltaik dan menarik lebih banyak pelaburan.

Menurut laporan terbaru daripada European Photovoltaic Industry Association (EPIA), kos penjanaan elektrik melalui fotovoltaik dijangka menurun sebanyak 8% setiap tahun.

Industri fotovoltaik sedar bahawa mereka perlu terus mengurangkan kos penjanaan kerana insentif yang diberi tidak akan kekal lama. Penurunan harga yang signifikasi merupakan cara yang paling berkesan untuk membolehkan industri fotovoltaik terus bersaing di pasaran tenaga dunia.

Kini, Eropah mempunyai lebih kurang 65% daripada pasaran fotovoltaik dunia, iaitu Jerman berada di hadapan dengan 43%. Jika berbanding dengan Amerika Syarikat, Amerika Syarikat hanya mencatat 18% dalam pasaran fotovoltaik dunia.

Pemasangan sistem fotovoltaik semakin hangat dan digemari oleh United Kingdom (UK). Berdasarkan kepada laporan terbaru, UK akan meningkatkan kapasiti fotovoltaik daripada 6MW pada 2009 ke 96MW pada 2010.

China dan Taiwan masih merupakan pembekal teknologi fotovoltaik terbesar di dunia. Kadar pertumbuhannya dijangka akan mencecah melebihi 50% pada 2010.

Pada tahun 2011, pemasangan fotovoltaik di dunia akan mencapai 20.3GW, hampir tiga kali ganda berbanding dengan tahun 2009. Semua ini menunjukkan bahawa pasaran dunia fotovoltaik mempunyai masa depan yang cerah.


Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia