Usaha Kerajaan Malaysia untuk menutup beberapa kawasan selam skuba yang terjejas oleh pemutihan batu karang amat dialu-alukan.

Kawasan batu karang merupakan salah satu ekosistem yang paling kompleks di dunia ini dan merupakan habitat yang penting untuk hidupan laut.

Pemutihan batu karang adalah berpunca daripada peningkatan suhu air laut ataupun pencemaran air laut. Sejenis hidupan yang bernama Zooxanthellae hidup secara simbiosis dengan batu karang akan meninggalkan batu karang apabila peningkatan suhu atau pencemaran berlaku. Batu karang yang kehilangan sumber nutrisi sekiranya Zooxanthellae tersebut meninggalkannya terlalu lama dan akan mengalami pemutihan.

 

Namun, sekiranya keadaan air laut kembali menjadi normal, Zooxanthellae akan kembali ke batu karang tetapi memerlukan masa yang lama untuk pulih.

Tujuan menutup kawasan selam skuba yang tertentu adalah untuk mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh penyelam skuba dan juga aktiviti snorkeling. Dengan itu, kawasan batu karang akan mempunyai masa yang mencukupi untuk pulih.

Selain menutup kawasan selam skuba, kerajaan juga harus memperuntukkan lebih dana bagi melindungi sumber-sumber asli seperti batu karang, menyekat pencemaran kawasan pesisiran pantai dan juga mengaplikasikan aktiviti-aktiviti perikanan yang lestari.

Di samping itu, World Wildlife Fund (WWF) Malaysia juga mencadangkan kerajaan untuk melaksanakan “Ecosystem Based Management of Fisheries” dan menguatkan lagi pengurusan kawasan marin seperti di taman marin. 

Kualiti air laut yang baik, liputan batu karang yang tinggi dan kepelbagaian komuniti ikan yang herbivor merupakan factor-faktor yang penting untuk menggalakkan pemulihan batu karang.

Kawasan-kawasan batu karang yang telah tutup akan dibuka semula pada penghujung bulan Oktober.

 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia