Air adalah unsur terpenting mengimbangi kehidupan manusia. Tiga perempat muka bumi diliputi air, iaitu 97% adalah air masin dan hanya kira-kira 0.3% air yang boleh digunakan (sumber air tawar).
Malaysia merupakan antara negara yang paling banyak menggunakan air di Asia Tenggara dengan purata 205 liter air sehari untuk setiap individu. Dalam banyak hal, air juga menjadi penyumbang besar kepada pembangunan tetapi kesejahteraannya berterusan disanggah dan dianiayai. Salah urus dan sifat haloba manusia mencetuskan padah kekurangan air serta pencemaran. Natijahnya, seluruh dunia kini berdepan dengan krisis air.
Sungai adalah elemen alam sekitar yang penting kepada manusia. Sejak dahulu lagi, manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan sungai kerana sungai berfungsi sebagai alat pengangkutan dan perhubungan, sumber bekalan air untuk domestik dan pertanian serta sumber protein kepada manusia. Fungsi sungai yang paling utama kepada manusia adalah sebagai sumber bekalan air sama ada untuk kegunaan domestik atau komersil.
Hasil kajian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan kira-kira 20 sungai mengalami pencemaran serius seperti Sungai Klang dan Sungai Sepang di Selangor, Sungai Juru di Pulau Pinang, Sungai Jimah di Negeri Sembilan dan Sungai Skudai di Johor. Sungai Pinang dan Sungai Juru di Pulau Pinang kekal sebagai sungai paling tercemar di Malaysia. Perkembangan ini memang dijangka selaras dengan pembangunan pesat yang dialami oleh negara selain mentaliti masyarakat yang masih rendah dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.
Lebih 1,000 sungai di seluruh negara dipantau secara berkala oleh Jabatan Alam Sekitar. Kajian Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati air daripada sungai ini mengandungi logam berat seperti arsenik, raksa, kadmium, kromium, plumbum dan zink yang berbahaya kepada habitat dan manusia. Sebanyak 16 batang sungai terutama di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor dikategorikan sebagai tercemar dan hampir mati yang memerlukan kos antara RM100 juta dan RM400 juta untuk memulihkan setiap sungai.
Antara punca berlakunya pencemaran sungai adalah aktiviti pembangunan tanah dan pelepasan sisa daripada kilang serta sisa dan najis daripada ladang ternakan babi, selain sikap pendatang tanpa izin termasuk pekerja asing yang menjadikan kawasan tebing sungai sebagai tempat penempatan.
Tahap kesedaran masyarakat perlu ditingkatkan kerana manusia sendiri adalah penyebab utama berlakunya pencemaran sungai. Minda dan sikap pihak berkuasa dan orang ramai yang kurang mempunyai kesedaran untuk memulihara alam sekitar. Selain itu, pengguna juga suka membazir air dengan penggunaan air yang melebihi keperluan.
Kesedaran dan sifat tanggungjawab adalah tonggak utama kepada penjagaan sejagat, di samping sikap berani bertindak dan mengambil tindakan menghentikan pencerobohan kawasan tadahan air. Program pendidikan dan penghayatan etika alam sekitar perlu didedahkan kepada generasi muda untuk membentuk kecintaan, sikap dan perilaku bagi memelihara, memulihara dan menghayati kepentingan alam.
Masyarakat setempat masih berkesempatan untuk mengubah sikap sambil lewa mereka terhadap penjagaan alam sekitar dan mengambil langkah untuk memastikan sumber bekalan air mentah terus dipelihara dan dijaga.
Nurul Aina Ibrahim Istar
Forum Air Malaysia