- Details
Ketidakstabilan harga bahan api baru-baru ini telah memaksa kerajaan untuk menjanjikan Pengangkutan Awam yang dinaiktaraf dan lebih baik. Tetapi, hakikatnya di akar umbi masih tidak kelihatan.
Jabatan Alam Sekitar telah merekod dalam Laporan Kualiti Alam Sekeliling bahawa sebanyak ---- peratus pelepasan CO2 adalah berpunca daripada sektor pengangkutan. Ini juga bermakna pegurangan besar dalam penggunaan bahan api dapat mengurangkan pelepasan CO2. Keputusan sebegini hanya boleh dicapai melalui pengangkutan awam yang efisyen, mudah serta mesra pengguna yang menggalakkan lebih ramai untuk menggunakannya.
Isu kedua adalah kecekapan kenderaan itu sendiri. Pengguna-pengguna di Malaysia berhak mendapat kenderaan yang cekap dalam penggunaan bahan api serta kenderaan yang menggunakan sumber tenaga alternatif yang dapat mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan CO2. Jika terdapat kereta asing yang lebih cekap dalam pengunaan bahan api dan mesra alam, ia sepatutnya mendapat pelepasan cukai. Kenderaan yang tidak cekap dan mencemar patut dikenakan cukai. Melalui kaedah ini, pengeluar kenderaan akan memastikan kenderaan berkualiti menjadi capaian pengguna di Malaysia. Kita juga bukan pengguna kelas kedua.
Isu ketiga adalah pegurusan trafik. Meletakkan lebih banyak kenderaan di jalan raya hanya akan menyebabkan masalah meletakkan kenderaan (parking), kesesakan trafik dan tidak dilupakan pencemaran. Mengapa perhubungan ini tidak di lihat dahulunya? Apabila pembelian kenderaan bertambah ketumpatan aliran kenderaan bertambah. Ini dapat di lihat di mana-mana. Adakah ini kegagalan dalam perancangan atau penyepaduan atau kedua-duanya sekali?
Akhirnya, Skim Kendaraan Tamat Hayat (End Life Vehicle-ELV) tidak wujud. Skim ini membantu pengguna bertukar kepada kenderaan baru dengan harya yang lebih berpatutan. Banyak negara telah melaksanakan skim ini dan melalui skim ini industry baru telah bertapak di Jepun dan Amerika Syarikat. Industri-industri ini mengitar semula kenderaan guna pakai kepada bahan mentah seperti logam dan resin plastic. Berdasarkan statistik hampir 90 peratus komponen kenderaan dapat dikitar semula berdasarkan berat. Skim ini juga akan membantu dalam pengurangan pencemaran, peningkatan dalam kecekapan penggunaan bahan api, dan lebih-lebih lagi sumbangan kepada alam sekitar.
Sambil kita menanti ketibaan dasar ini, FOMCA berharap penyepaduan yang berkesan dalam pengubalan dasar dapat dilaksanakan supaya tindakan rakyat didahulukan dapat dijalankan. Rakyat mempunyai hak untuk menikmati alam sekitar yang sihat untuk didiami.
Datuk Marimuthu Nadason
Presiden
FOMCA
- Details
Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada emel-emel, panggilan dan surat-surat kepada pegarang yang ditulis oleh semua pihak.
Isu utama projek pengektrakan air bawah tanah ini adalah, Sime Darby menggunakan contoh negara-negara yang mengalami masalah alam sekitar disebabkan pengekstrakan air bawah tanah dan Kajian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment-EIA) mereka laksanakan adalah meragukan.
Sime Darby mendakwa bahawa mereka menggunakan teknologi canggih; dalam pengekstrakan air bawah tanah, kita memerlukan sistem pengepaman yang baik. Ini tidak membuktikan ianya mesra alam kerana teknologi ini digunakan untuk mengalirkan air dari satu lokasi ke lokasi yang lain.
Kenyataan mereka adalah seperti meminta negara menebang hutan kita dan menanam pokok kelapa sawit yang ‘hijau’. Sekiranya pokok kelapa sawit adalah hijau, ia akan menjadi mesra alam dan habitat baru kepada semua. Tetapi, hakikatnya adalah sebaliknya. Lading-ladang kelapa sawit memberikan impak yang serius kepada alam sekitar.
FOMCA, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) dan Forum Air Malaysia telah menerbitkan laporan kami dalam bentuk buku dan akan dimuatnaikkan ke laman-laman web kami untuk makluman umum tidak lama lagi. Buku-buku ini juga akan diberikan kepada semua 222 Ahli Parlimen, ahli Senat, Exco negeri dan agensi-agensi serta kementerian-kementerian yang berkaitan. Ini adalah bagi memberikan peringatan kepada negara akan dakwaan-dakwaan yang dilakukan oleh Sime Darby.
Kami berharap kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri akan mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi hak rakyat. Persoalan yang masih timbul adalah, mengapa satu Syarikat Milik Kerajaan (GLC) tida mengikut Dasar Teknologi Hijau yang digubal oleh kerajaan?
Datuk Marimuthu Nadason
Presiden
FOMCA
- Details
Penduduk Taman Garing di Rawang telah mengalami masalah banjir di kawasan perumahan mereka apabila projek perumahan baru “Emerald” mulai dalam pembinaan.
Projek perumahan oleh Hong Leong Bhd yang terletak berhampiran Taman Garing ini berkedudukan lebih tinggi. Ini menyebabkan pengaliran air permukaan yang meningkat secara mendedak apabila hujan
Menurut seorang penghuni Taman Garing, Dr Mano, apabila hujan turun, air akan mengalir keluar dariapda mangkuk tandas rumah beliau sehingga menyebabkan banjir.
‘Saya sendiri tidak tahu apa akan berlaku apabila balik dari kerja. Saya sekeluarga hidup dalam keadaan trauma’, ujar beliau.
Penduduk Taman Garing telah meminta bantuan daripada FOMCA untuk membantu menyelesaikan masalah ini. Bahagian Alam Sekitar FOMCA (kini dikenali sebagai Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)) telah membuat kajian mengenai kejadian banjir tersebut.
Satu laporan teperinci telah disediakan dan disampaikan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan pada bulan Jun 2008. Selepas satu tahun laporan kajian tersebut diserahkan, satu perjumpaan dianjurkan oleh Biro Pengaduan Awam di pejabat MPS, iaitu pada bulan Julai 2009. Perjumpaan tersebut diadakan selepas WECAM merujuk status laporan tersebut kepada pejabat Ketua Setiausaha Negara.
Dalam perjumpaan tersebut. Wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memaklumkan pihak WECAM dan wakil penduduk bahawa syor yang dikemukakan oleh WECAM untuk menyelesaikan masalah banjir itu adalah syarat yang dikenakan oleh JPS kepada pemaju pada tahun 2000 sebagai syarat kelulusan projek perumahan. Masalah banjir bermula setelah pembinaan bermula sekitar tahun 2003.
Malangnya sehingga kini, pihak MPS, Hong Leong mahupun Biro Pengaduan Awam gagal memberikan maklum balas tentang masalah banjir tersebut. Persoalannya ialah pemaju, iaitu Hong Leong telah melanggar syarat kelulusan yang diberikan oleh MPS, namun tidak ada sebarang tindakan dilakukan oleh MPS dalam hal ini. Masalah status laporan ini juga telah dimajukan kepada Kerajaan Negeri Selangor pada bulan Disember 2009. Tetapi tidak ada sebarang jawapan. Mengapakah semua pihak mendiamkan diri tentang masalah ini?
Klik disini untuk muat turun GAMBAR-GAMBAR KAJIAN BANJIR DI TAMAN GARING
Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
8 Februari 2008
- Details
Petaling Jaya, 10hb Februari 2010 - Makluman pengguna kepada Persatuan Pengguna Air dan Tenaga (WECAM) menunjukkan terdapat agen dari syarikat penapis air yang telah menggunakan cara halus dan tersirat untuk memperdayakan pengguna bagi membeli penapis air.
Cik Syarina Mohd Yusof, Jurutera Eksekutif WECAM berkata, “tujuan utama pemasangan penapis air dilakukan adalah disebabkan masalah kualiti air, tetapi hal ini tidak dinyatakan secara jelas oleh pihak agen malahan mereka lebih gemar menggunakan faktor kesihatan keluarga yang akan bertambah baik jika menggunakannnya. Pengadu yang berasal dari golongan sederhana berkata, pihaknya mudah terpedaya disebabkan kurang mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai penapis air dan menganggap pembelian penapis air tersebut dapat membantu meningkatkan kesihatan dan mengelakkan penyakit terhadap ahli keluarga dengan hanya meminum air dari penapis air tersebut. Ini samalah juga seperti “air ajaib”.”
“Bukan itu sahaja, bagi memastikan pengguna memberikan wang deposit sebagai tanda setuju untuk pembelian penapis air, agen tersebut akan kerap kali melakukan “lawatan mesra” dari rumah ke rumah dan tidak lupa untuk mengirimkan kad raya. Disebabkan itu, pengguna tidak dapat menolak dan membiarkan sahaja pemasangan penapis air dipasang di rumah mereka walaupun pada dasarnya bayaran bulanan yang perlu dibuat adalah agak tinggi untuk golongan seperti mereka” kata beliau lagi.
Disebabkan itu, pihak WECAM menasihati para pengguna untuk mengetahui dahulu masalah kualiti air seperti warna dan bau di kawasan penempatan anda bagi memastikan kesesuaian penapis air yang perlu digunakan. Selain itu, pihak pengguna juga diharapkan dapat melakukan pembersihan atau penyelenggaraan terhadap tangki simpanan air bagi memastikan sedimen-sedimen yang terenap di dalam tangki tidak memberi kesan terhadap bekalan air yang disalurkan ke rumah.
- Details
Pihak kerajaan negeri Perak berangan-angan dapat mengaut keuntungan melalui aliran pelancong yang meningkat. Kebanyakan kawasan tadahan air di Malaysia kian di nodai oleh keputusan kerajaan-kerajaan negeri sebegini. Mass tourism atau perlancongan lambak telah menyebabkan kebanyakan kawasan pelancongan rosak dan kian tercemar.
Menurut S. Piarapakaran, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), pihak WECAM dan Forum Air Malaysia telah melakukan pemantauan perterusan kepada Bukit Larut semenjak tahun lalu. Pelbagai isu telah timbul dan sedang menyediakan laporan lengkap kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab.
Antara isu yang dipantau adalah hakisan, tanah runtuh, perubahan peredaran air, aktiviti pembersihan hutan sekitar kawasan tadahan air dan pemusnahan bangunan bersejarah (warisan).
Piarapakaran juga menegaskan bahawa isu kawasan tadahan air berkait rapat dengan tarif air. Apabila kualiti air merosot disebabkan keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri, sepatutnya, kenaikan tarif tidak dibenarkan. Pihak kerajaan negeri yang sepatutnya dipertanggungjawabkan. Rakyat perlu memastikan kerajaan negeri memainkan peranan mereka dengan betul dan melindungi bekalan air kepada rakyat.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak memberikan sebarang ulasan ke atas projek ini berpandukan Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment-EIA). Piarapakaran berkata, ”Bagaimana projek di kawasan Hutan Simpanan boleh berjalan tanpa EIA? JAS tidak boleh memberikan komen atau ulasan tanpa sebarang kajian terperinci.”
Isu Bukit Larut tidak terhenti-henti walaupun perubahan dalam pemerintahan kerajaan negeri telah berlaku. Ada pula pihak yang menegaskan projek ini sama dengan Gunung Mat Cincang di Langkawi. Akan tetapi, struktur tanah dan komposis hutan adalah jauh berbeza.
Di Malaysia, keutamaan tidak diberikan kepada pengwartaan kawasan tadahan air sebagai kawasan simpanan tetap. Pelbagai contoh lagi dapat kita rujuk di setiap negeri dan akhirnya apabila kualiti air menjadi teruk, tarif akan dinaikkan.
Layari www.bukitlarut.com.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu Bukit Larut (Maxwell Hill).
- Details
Amalan memberikan subsidi bahan api adalah bertujuan untuk mengurangkan kesan peningkatan kos harian. Biarpun begitu, amalan ini mendapat reaksi yang berbagai-bagai daripada beberapa pihak. Walau bagaimanapun, keadaan sebenarnya masih belum diperjelaskan.
Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), S. Piarapakaran berkata tumpuan perlu diberikan kepada krisis bahan api dan sumber tenaga masa hadapan. Ini bagi memastikan pembangunan lestari yang berterusan. Bahan api dan tenaga adalah perkara yang berkaitan dan tidak boleh dipisahkan.
Beliau berkata bahawa bahan api fosil di Malaysia akan kehabisan dalam masa yang singkat. Jika ini berlaku, apakah sumber bahan api untuk kegunaan masa hadapan?
Dalam Memorandum Tenaga dan Pengguna yang dihantar pada 28 September 2007 kepada Pejabat Perdana Menteri dan beberapa kementerian yang berkaitan, WECAM (yang dahulunya dikenali sebagai Bahagian Alam Sekitar FOMCA) telah mengutarakan beberapa kaedah penyelesaian isu bahan api dan tenaga.
WECAM menekankan bahawa keutamaan perlu diberikan kepada keperluan untuk mencari bahan api dan tenaga alternatif. Kajian terhadap perkara ini perlu dilakukan yang teliti. Beliau juga meminta kerajaan berhati-hati bagi mengelakkan berlakunya monopoli, di samping mewujudkan mekanisme penguatkuasaan yang cekap dan berkesan.
Di kebanyakan negara maju, langkah awal yang dilakukan adalah mengurangkan peratus penggunaan bahan api yang besar bagi kenderaan persendirian. Ini dilakukan dengan mewujudkan perkhidmatan pengangkutan awam yang efisyen, yang menyepadukan semua jenis pengangkutan sebagai satu entiti.
S. Piarapakaran berkata, “Kita perlu memastikan bahan api pada masa hadapan memberikan impak yang minimum kepada alam sekitar. Tenaga solar dan bahan biojisim merupakan antara sumber yang boleh dikaji dan dibangunkan. Adalah penting untuk kita meningkatkan pengetahuan dalam bidang ini supaya perkembangan dalam bidang ini tidak terputus di tengah jalan.”
WECAM juga mendapati bahawa teknologi kereta yang mesra alam tidak dibangunkan secara terbuka di dalam negara. Terdapat teknologi seperti kereta hibrid yang menggunakan separuh bahan api serta separuh lagi tenaga elektrik, kereta solar dan banyak lagi. Pembuat kereta tempatan sewajarnya berusaha untuk ‘menghijaukan’ teknologi mereka dan mempersiapkan rakyat Malaysia serta institusi mereka ke arah ‘masa hadapan yang hijau’.
Beliau juga berkata, “Kita boleh mengambil contoh beberapa buah Negara yang telah mencuba penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui. Umpamanya di Brazil, gas daripada biomas juga digunakan untuk kenderaan berat. Bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, sistem pengekstrakkan biogas daripada sisa pertanian, penternakan dan kumbahan perlu diceburi. Enjin yang cekap juga akan memastikan kecekapan dalam penggunaan bahan api.”
Ujar S. Piarapakaran lagi, ”Walaupun negara kita mempunyai minyak mentah sendiri, namun kita tidak sepatutnya lupa bahawa menjadi tanggungjawab kita sepenuhnya untuk memastikan adanya masa hadapan untuk generasi akan datang. Jangan habis semua sumber yang ada itu sekarang.”
S. Piarapakaran
Setiausaha Agung WECAM
14 Februari 2010
- Details
Sejak kebelakangan ini, paras air di empangan-empangan utama telah dilaporkan merosot akibat daripada cuaca panas. Walaupun masih dalam keadaan terkawal, namun langkah penjimatan perlu dipertingkatkan oleh pengguna domestik dan industri. Demikian menurut Jurutera Eksekutif, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), Cik Syarina Mohd Yusof.
Pengguna bukan sahaja perlu berjimat tetapi perlu menitikberatkan tentang kecekapan dalam penjimatan air. Ini bermaksud pengguna perlu bijak menggunakan atau mengitar semula air.
Beliau selanjutnya berkata, apabila berlakunya cuaca panas, penuaian air hujan juga tidak dapat dilakukan. Oleh itu pengguna perlu melakukan penjimatan dengan menggunakan semula air.
Umpamanya di rumah, air basuhan sayur-sayuran boleh digunakan semula untuk menyiram pokok bunga. Begitu juga air daripada mesin basuh boleh diguna semula untuk mencuci lantai.
Semua aktiviti ini dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sumber air terawat. Air jenis ini dikenali sebagai air kelabu dan tidak boleh digunakan untuk tujuan memasak, minuman dan kebersihan diri.
Beliau menasihati pengguna industri supaya pengitaran semula air sisa daripada proses pengilangan mereka. Sektor pembuatan biasanya menggunakan air semasa proses penyejukan dan pemprosesan produk. Selain dapat mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat, langkah mengitar semula air sisa dapat mengurangkan jumlah air sisa dan sekali gus meminimumkan kadar pencemaran terhadap sumber air mentah.
25 Februari 2010
- Details
Sebarang perubahan yang berlaku kepada ekosistem di tanah tinggi akan menjejaskan ekosistem lain yang bergantung kepadanya di kawasan kaki tanah tinggi. Perubahan ini juga akan menyebabkan lebih banyak flora dan fauna kehilangan habitatnya. Pembangunan kawasan tanah tinggi sering dikaitkan dengan hakisan tanah dan tanah runtuh. Tambahan pula, ini akan mengakibatkan penambahan sedimen yang tinggi di hilir sungai dan seterusnya menyebabkan banjir berlaku.
Mengapa kita perlu memelihara kawasan tanah tinggi?
Tanah tinggi bagi kebanyakan negara merupakan sumber air. Anak-anak sungai akan menjadi sungai dan menjadi sumber air kepada satu kawasan berpendudukan yang besar. Kebanyakan empangan didirikan di kawasan tanah tinggi. Air yang diperoleh di kawasan ini biasanya lebih bersih daripada air dari sungai di kawasan hilir.
Industri perladangan membersihkan kawasan tanah tinggi yang besar untuk tujuan perladangan. Untuk mendapatkan lebih banyak kawasan penanaman, kawasan paya di sekeliling tanah tinggi akan dikeringkan melalui pengaliran air paya. Pengeringan seperti ini akan menyebabkan pengurangan aras air bawah tanah bagi kawasan tanah tinggi dan menyebabkan hasil yang kurang. Jika kita lihat kawasan perladangan dari Negeri Sembilan ke Johor, kita dapati wujudnya kesan daripada aktiviti ini. Adalah ini yang dikatakan Pembangunan Lestari?
Tanah tinggi yang dibangunkan senantiasa memerlukan perlindungan cerun tanah tinggi. Cerun-cerun menjadi lebih berat dan menakung banyak air dalam strukturnya. Tanpa adanya akar-akar pokok untuk memegang struktur ini ataupun saliran yang baik, cerun ini akan menyebabkan tanah runtuh. Insiden seperti ini semakin berleluasa pada masa kini.
Melihat kepada isu-isu berkaitan tanah tinggi yang kian meruncing, WECAM meminta agar Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan, Unit Perancang Ekonomi dan agensi-agensi kerajaan lain yang berkaitan untuk mewujudkan peraturan pembangunan tanah tinggi yang lebih ketat dan diikuti dengan perlaksanaan yang cekap. Peraturan ini juga perlu mengambil kira kelulusan daripada pihak-pihak berkepentingan yang mungkin mengalami kesan daripada pembangunan ini.
Laporan Impak kepada Alam Sekitar yang Terperinci (Detailed Environment Impact Assessment-DEIA) mesti melihat kepada skop yang lebih luas sehingga ke kawasan hilir. Tanah tinggi adalah warisan kepelbagaian bio dan menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menjaganya. Masa depan di tangan anda. Layari www.bukitlarut.com.my untuk melihat karenah Kerajaan Negeri Perak yang ingin menodai Bukit Larut (Maxwell Hill), Taiping, Perak. Bukit ini merupakan kawasan tadahan yang mempunyai keluasan kawasan tadahan primer melebihi 20 kilometer persegi. Projek pembangunan yang dicadangkan juga tanpa melalui proses DEIA.
Adakah anda ingin membayar tarif air yang tinggi kerana kegagalan Kerajaan Negeri menjaga kawasan tadahan air?
PIARAPAKARAN SUBRAMANIAM
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
10 Mac 2010
- Details
FOMCA akan meneliti laporan Impak Alam Sekitar (EIA) kilang Magnesium yang terletak di Taiping, Perak. Demikian menurut Datuk N. Marimuthu, Presiden FOMCA, ketika mengulas rungutan penduduk yang mendiami di kawasan persekitaran kilang tersebut, yang didakwa mengeluarkan bahan cemar yang berbahaya. Satu laporan akan dikeluarkan selepas penelitian EIA telah dilakukan.
Kilang magnesium tersebut, Commerce Venture Magnesium Sdn. Bhd, yang merupakan kilang yang pertama seumpama itu di Malaysia, terletak di Kawasan Perindustrian Kamunting Raya 111, Taiping, seluas 26 hektar. Majlis pecah tanah kilang tersebut telah dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali pada 26 Februari 2008.
Menurut Datuk Marimuthu lagi, kebimbangan penduduk adalah berasas kerana kedudukan kilang tersebut yang berdekatan dengan kawasan kediaman dan Pusat Latihan Teknologi Maju (Adtec), iaitu sebuah pusat latihan di bawah Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia. Kilang tersebut sepatutnya terletak jauh daripada kawasan berpenduduk kerana ia mengeluarkan bahan kimia yang boleh membahayakan kesihatan.
Antara bahan kimia tersebut ialah Dioxin, Furan, Hexaclorobenzene (HCB) dan Poly Chlorinated Biphenyls (PCB). Mereka yang terdedah kepada bahan kimia ini bakal menghadapi risiko kanser kerana bahan-bahan kimia ini akan berkumpul dalam badan dan memasuki badan melalui pernafasan, air dan bahan makanan.
Kerajaan sewajarnya mengadakan sesi perundingan dengan penduduk dan agensi yang berkaitan terlebih dahulu sebelum meluluskan projek yang berisiko tinggi, ujar Datuk Marimuthu lagi.
Datuk Marimuthu Nadason
Presiden FOMCA
12 Mac 2010
- Details
Ramai pengguna di Malaysia yang belum mempunyai kesedaran tentang pentingnya rawatan air sisa kumbahan yang mereka hasilkan. Sering kali mereka tidak mengendahkan tanggungjawab yang perlu dilakukan terutamanya perkhidmatan pembentungan tangki septik secara individu.
Di Malaysia, dianggarkan seramai 1.2 juta pengguna (Sumber : MWIG, 2009) telah menggunakan perkhidmatan pembentungan tangki septik individu. Tangki septik individu (ITS) ini merupakan perkhidmatan pembentungan yang paling ringkas. Oleh sebab itu, pengguna lazimnya akan mengambil sikap tidak peduli untuk tidak melakukan pengenyahan enap cemar.
Bagi pengguna perkhidmatan pembentungan ITS, pengenyahan enap cemar bermaksud bahawa mereka mereka pelu mengosongkan tangki septik sekurang-kurangnya dua tahun sekali bagi memastikan tangki septik individu dapat berfungsi dengan sempurna. Demikian menurut Cik Syarina Mohd Yusof, Pengurus, Forum Air Malaysia.
Tambah beliau lagi, sekiranya proses pengenyahan enap cemar itu tidak dilakukan, ia akan menyebabkan enap cemar itu tidak boleh mendak ke dalam tangki septik, dan seterusnya akan mengalir terus ke longkang atau saliran. Enap cemar ini kemudiannya akan bercampur dengan sumber air sehingga boleh menjejaskan kualiti air. Selain itu, kegagalan pengguna untuk melakukan pengenyahan enap cemar juga akan menyebabkan masalah kesihatan dan bau.
Cik Syarina seterusnya berkata, pengguna yang gagal mengenyahkan enap cemar sebenarnya telah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Jika disabit kesalahan, maka mereka boleh didenda sebanyak RM 50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya akan dilaksanakan.
Sehubungan itu, Cik Syarina menasihatkan agar para pengguna, khususnya yang menggunakan perkhidmatan pembentungan tangki septik individu, yang merupakan 19% daripada pengguna perkhidmatan pembentungan di Malaysia (Sumber : MWIG, 2009), supaya melakukan penyelenggaraan atau pengenyahan enap cemar secara berkala bagi memastikan air sisa kumbahan tidak mencemarkan sumber air. Pencemaran sumber air ini bukan hanya akan menjejaskan kualiti air tetapi memerlukan kos yang tinggi untuk merawatnya.
Syarina Mohd Yusof
Forum Air Malaysia
18 Mac 2010
Subcategories
Page 136 of 232