Gas rumah hijau dan pemanasan global
Kesan rumah hijau berlaku apabila komposisi gas-gas rumah hijau seperti karbon dioksida, karbon monoksida dan nitrogen dioksida meningkat melebihi daripada tahap normal.
Apabila komposisinya meningkat, molekul-molekul gas ini yang bersifat menyimpan haba, akan memerangkap haba lalu melambatkan proses pembebasan haba.
Kesan rumah hijau global berlaku apabila sinaran inframerah matahari yang memasuki ruang atmosfera bumi tidak terpantul secukupnya secara normal disebabkan kesan rumah hijau. Ini akan menyebabkan pemanasan global berlaku secara berperingkat, dan kawasan yang mengalami pencemaran teruk akan mengalami kesan yang lebih teruk lagi.
Apakah kesan-kesan buruk kepada pengguna?
Implikasi daripada pemanasan global akan menyebabkan lapisan ais di kedua-dua kutub bumi akan mengalami pencairan dan menyebabkan peningkatan aras laut. Pencairan lapisan ais juga akan menyebabkan ekosistem terjejas. Peningkatan suhu dan perubahan ekosistem akan menyebabkan sesetengah spesis kehidupan tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan akan mati. Manakala, sesetengah spesis kehidupan pula akan mula migrasi ke tempat lain.
Iklim di sesetengah kawasan pula akan terganggu dan tidak menentu. Ramalan saintis menunjukkan peningkatan 7.0 meter paras laut, yang menyebabkan kawasan rendah seperti Kuala Muda (Kedah) dan Kelantan akan ditenggelami air. Banjir dan ribut yang tidak menentu akan melanda di kebanyakan tempat dan penduduk di sekitar kawasan pantai dan kawasan rendah akan mengalami kesan yang paling buruk.
Selain itu pemanasan global akan turut menjejaskan penghasilan makanan dan rantai makanan. Ini akan menyebabkan berlakunya masalah kekurangan bekalan makanan seperti gula dan beras. Pada tahun 2009, Malaysia telah mengalami masalah kekurangan gula kerana pengeluar gula terbesar di dunia iaitu negara Brazil dan India telah mengalami musim kemarau dan banjir yang menyebabkan tanaman mereka rosak. Keadaan ini telah menyebabkan kekurangan bekalan dan harga yang melambung tinggi.
Apakah kesan perubahan iklim kepada bayi & kanak-kanak?
Kanak-kanak akan lebih cenderung untuk risiko kesihatan kerana mereka akan terdedah kepada cuaca panas yang melampau, pencemaran air, udara dan infeksi . Ini disebabkan oleh tahap keimunan mereka adalah lebih rendah daripada orang dewasa.
Cara pengguna membantu mengatasi perubahan iklim
Antara kaedah untuk mengurangkan kesan rumah hijau ini ialah melalui penjimatan tenaga. Jikalau manusia dapat mengurangkan penggunaan kenderaan dengan banyak, iaitu dengan menggunakan pengangkutan awam, maka pembebasan gas rumah hijau dapat dikurangkan .
Langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan perubahan iklim.
Gunakan barangan yang mempunyai label kecekapan tenaga seperti peti sejuk, televisyen dan penghawa dingin. Apabila penggunaan tenaga dapat dikurangkan, sumber asli yang digunakan untuk menjana tenaga dapat dikurangkan. Pengurangan penggunaan sumber asli akan membantu dalam pengurangan gas rumah hijau dan sumber asli ini juga akan dapat dijimat.
Pengguna juga harus makan makanan dengan sederhana dan tidak melebihi keperluan bagi mengelakkan pembaziran makanan.
Gunakan lebih pengangkutan awam atau berkongsi kereta. Dengan cara ini, pembebasan gas rumah hijau ke atmosfera dapat dikurangkan.
Pengguna juga harus mengamalkan kitar semula untuk mengurangkan sisa pembuangan dan pelupusan.
Elakkan penggunaan barangan seperti polisterena dan plastik. Ini kerana, polisterena dan plastik tidak akan terurai dengan mudah dan mengambil masa yang sangat lama. Penimbunan sisa polisterena dan plastik akan membawa kepada pencemaran.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia