Malaysia merupakan sebuah negara beriklim tropika yang dilimpahi dengan purata taburan hujan tahunan di antara 2000 – 5000 mm. Faktor ini menyebabkan negara lebih banyak bergantung kepada sumber air permukaan untuk mendapatkan bekalan air terawat. Kemudahan untuk mendapatkan sumber air terawat bagi menjalankan aktiviti harian memberi tanggapan atau persepsi kepada masyarakat di negara ini bahawa Malaysia tidak akan mengalami masalah kekurangan air pada masa akan datang.

Pada tahun 2008, Pulau Pinang Dan Melaka mencatatkan jumlah penggunaan air yang paling tinggi di negara ini iaitu 285 liter/kapita/Hari Dan 268 liter/kapita/Hari. (Sumber : Malaysia Water Industrial Guide Dan SPAN). Angka ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan penggunaan air di Singapura iaitu sebanyak 156 liter/kapita/Hari.

Apakah yang menyebabkan penggunaan air di negara ini agak tinggi Dan dikategorikan sebagai membazir ? Pertama, mentaliti masyarakat di negara ini yang masih beranggapan bahawa Kita tidak akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan air terawat. Kedua, tarif air yang rendah disebabkan bantuan subsidi daripada kerajaan menyebabkan pengguna mengambil kesempatan Dan tidak menghargai air.

Pada masa ini, rakyat Malaysia cuma membayar serendah RM 0.31/m3 sehingga RM 0.98/m3.  Dengan nilai serendah ini, ia mendorong masyarakat lupa untuk melakukan penjimatan air Dan terakhir, tiada hukuman atau penalti yang dikenakan ke atas pihak atau individu yang banyak menggunakan air sebaliknya diberi diskaun atau bantuan subsidi.

Pengguna di negara ini perlu lebih sedar bahawa masalah kekurangan air terawat akan berlaku sekiranya tabiat penggunaan air pada masa ini masih berterusan. Pengguna perlu mengamalkan langkah-langkah menjimatkan air. Banyak cara yang boleh dilakukan untuk menjimatan air seperti menuai air hujan, mengguna Dan mengitar semula air sisa Dan menggunakan peralatan penjimatan air seperti Pam tandas dwi fungsi Dan alat pancuran yang jimat air.

Jika setiap masyarakat menyedari tentang kepentingan air dan bersama-sama berusaha untuk menjimatkan air, maka ia sudah pasti dapat meminimumkan masalah kekurangan bekalan air terawat pada masa akan datang. 

SYARINA MOHD YUSOF
Forum Air Malaysia
21 Mei 2010