Sektor industri dan komersial merupakan salah satu sektor yang paling banyak menggunakan tenaga di Malaysia. Menurut Pusat Teknologi Hijau Nasional, sektor perindustrian mencatatkan jualan yang tertinggi berbanding dengan sektor lain, iaitu 47.4% daripada keseluruhan jumlah jualan tenaga elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada tahun 2008.
Sementara itu, sektor kedua tertinggi adalah sektor komersial dengan peratusan sebanyak 32.2%. Pola kenaikan tarif tenaga dan persaingan yang hebat meningkatkan permintaan dan desakan untuk menggalakkan amalan penjimatan dan kecekapan tenaga dalam kalangan pengguna industri. Antara pemain-pemain industri yang terlibat secara langsung adalah industri logam, pembuatan makanan dan minuman, kimia dan tekstil.
Terdapat banyak kajian menunjukkan bahawa negara-negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia, yang telah mengenal pasti pelbagai langkah ke arah cekap tenaga. Daripada langkah-langkah ini, ada di antaranya yang sektor-spesifik, manakala yang lain adalah merentasi banyak sektor (cross-sectorial).
Namun begitu, wujud beberapa halangan yang menjadi rintangan untuk merealisasikan perkara ini. Halangan-halangan ini mungkin berbentuk fizikal, teknologi, sosio-ekonomi, ekonomi dan tidak ketinggalan, pasaran.
Walaupun daya ekonomi adalah faktor yang penting untuk pelaburan dalam bidang kecekapan tenaga, faktor organisasi dan institusi juga memainkan peranan yang besar. Kekurangan pengetahuan tentang kecekapan tenaga oleh pembuat keputusan (decision makers) dan bahagian operasi dalam sektor industri adalah salah satu sebab utama kegagalan usaha-usaha ini.
Terdapat sesetengah pihak pengurusan industri yang bimbang terhadap jumlah pelaburan yang perlu dibuat, dalam bentuk wang dan masa, untuk langkah-langkah untuk menjadi cekap tenaga.
Ada juga yang berpendapat bahawa pembuatan / pengeluaran (production) adalah jauh lebih penting. Mereka tidak mahu mengambil masa untuk menggantikan alat-alat dan mesin-mesin yang lama kerana tidak mahu mengganggu proses pengeluaran. Ini menyebabkan mereka tidak mahu memberi komitmen apabila timbulnya isu-isu berkaitan penjimatan dan kecekapan tenaga.
Bagi kebanyakan kilang pembuatan, pengurus pengeluaran biasanya mempunyai lebih kuasa dan pengaruh berbanding pengurus tenaga atau alam sekitar disebabkan kepentingan yang diberikan oleh pihak atasan kilang tersebut.
Ramai juga berpendapat bahawa insentif kewangan dan bantuan yang diberikan kepada mereka supaya menjadi cekap tenaga adalah tidak setimpal dengan usaha yang perlu mereka lakukan. Disebabkan kekurangan ini, pemain-pemain industri terutamanya daripada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sentiasa berhati-hati untuk melabur dalam teknologi yang cekap tenaga.
Ada di antara mereka yang berpendapat bahawa teknologi-teknologi ini berkemungkinan untuk berkurangan kosnya pada masa hadapan. Mereka juga bimbang sekiranya teknologi sekarang ini tidak akan mematuhi peraturan alam sekitar dan tenaga pada masa hadapan. Ini menyebabkan mereka tidak atau kurang berminat untuk memulakan inisiatif untuk menjadi cekap tenaga. Ini adalah dijangkakan kerana IKS selalunya mempunyai sumber kewangan yang terhad untuk melabur dalam jumlah yang banyak.
Di samping itu, di bahagian operasi pula, terutamanya staf seperti operator dan pekerja am, perubahan yang perlu dilakukan adalah lebih tertumpu kepada perubahan sikap dan amalan. Pekerja-pekerja di bahagian ini selalunya keberatan untuk mengubah cara kerja mereka yang telah diamalkan sejak sekian lama. Hal ini berlaku kerana pihak atasan gagal untuk berkomunikasi dengan baik dengan pekerja-pekerja, terutamanya di syarikat-syarikat yang tidak mempunyai visi yang jelas tentang kecekapan tenaga.
Oleh itu, semua pihak yang bertanggungjawab, seperti kerajaan, badan bukan kerajaan perlu menyelaraskan usaha untuk mendidik sektor industri supaya menjadi lebih cekap tenaga. Informasi dan latihan perlu disampaikan kepada pemain-pemain sektor industri, terutamanya kepada pengurus-pengurus atasan.
AHMAD FAIZ ABDUL RAZAK
Jurutera Eksekutif
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
16 Jun 2010