Perlembagaan Persekutuan merupakan dokumen perundangan utama Malaysia yang mana telah didrafkan pada 1955 oleh sesbuah Jawatankuasa kerja yang dianggotai oleh perwakilan British, penasihat-penasihat Majlis Raja-raja dan ketua-ketua ahli politik. Draf itu kemudiannya telah dihalusi oleh Suruhajaya Reid yang membawa kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Hak asasi manusia telah disenaraikan di dalam Bahagian II Perlembagaan Malaysia dan mempunyai sembilan fasal. Antaranya adalah;

Fasal 5: Kebebasan individu
Fasal 6: Larangan perhambaan dan buruh paksa
Fasal 7: Perlindungan dari undang-undang retrospektif and perbicaraan berulang-ulang
Fasal 8: Kesamarataan

 

Fasal 9: Larangan buang negara dan kebebasan bergerak
Fasal 10: Kebebasan bersuara, berhimpun dan berpesatuan
Fasal 11: Kebebasan Beragama
Fasal 12: Hak kepada pendidikan
Fasal 13: Hak Terhadap Harta

Melihat dari senarai di atas, dapat kita sebutkan, secara dasarnya Perlembagaan Persekutuan menyebut mengenai hak asasi manusia dan menjadi rujukan utama kepada hak asasi manusia di Malaysia. Dalam kes-kes mahkamah yang melibatkan perlanggaran atau penafian hak-hak ini, dokumen asas perlembagaan negara inilah yang acapkali digunakan oleh pengamal-pengamal undang-undang.

Keadaan ini seolah-olah negara kita terikat kepada hanya satu dokumen dan menolak tepi dokumen-dokumen antarabangsa yang lain, sedangkan Malaysia merupakan sebuah negara ahli dan menerima pakai dokumen seperti Perisytiharan Universal Hak Asasi Manusia, Konvensyen Anti Diskriminasi terhadap Pendidikan, Konvensyen Hak Kanak-kanak mahupun Konvensyen Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita. (Prof Aziz Bari)

Kewujudan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dilihat sebagai institusi penting dalam mempromosikan pendidikan hak asasi manusia kepada rakyat Malaysia. Badan itu juga perlu lebih proaktif dalam menjalankan program pendidikan hak asasi manusia supaya rakyat, terutamanya masyarakat di luar bandar dapat memahami hak-hak mereka.  

NGO-NGO yang bertunjangkan hak asasi manusia juga perlu memikul tanggungjawab mendidik hak asasi manusia kepada masyarakat. Justeru itu,  ERA Consumer Malaysia, dengan pembiayaan oleh Yayasan Friedrich Nauman, telah menerbitkan sebuah manual bertajuk “Perlembagaan Persekutuan: Buku Panduan Untuk Warga Malaysia” yang memberikan pengetahuan tentang Perlembagaan Persekutuan. Manual ini boleh didapati oleh peserta-peserta program “Bengkel Perlembagaan Persekutuan” yang diadakan di seluruh Semenanjung Malaysia.

 


Azwa Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia, ERA Consumer Malaysia

Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya dan protokol pilihannya telah diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di ibu pejabat di New York pada 13 Disember 2006. Ia telah dibuka untuk ditandatangan dan diratifikasi sejak 30 Mac 2007.

1. Kenapa konvensyen ini diwujudkan?
a. Untuk memupuk, melindungi dan memastikan Orang Kurang Upaya (OKU) menikmati hak secara sama rata dan bebas.

2. Apakah prinsip konvensyen ini?
a. Menghormati maruah setiap individu
b. Tiada diskriminasi
c. Menggalakkan penglibatan sepenuhnya
d. Menghormati perbezaan dan menerima OKU sebagai sebahagian daripada masyarakat
e. Memberi peluang yang sama
f. Kesamaan bagi lelaki dan perempuan
g. Menghormati hak kanak-kanak OKU

3. Apakah hak khusus dalam konvensyen ini?
a. Hak kesamaan dari segi perundangan tanpa diskriminasi
b. Hak untuk kehidupan
c. Hak kebebasan dan keselamatan individu
d. Hak untuk bebas daripada penyeksaan
e. Menghormati integriti fizikal & mental
f. Hak untuk pendidikan, kesihatan dan pekerjaan
g. Hak unutk terlibat dalam politik, aktiviti awam dan kesenian dengan bebas

4. Berapa buah negara yang telah menandatangani dan meratifikasi Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya setakat kini?
a. 147 negara telah menandatangani, contohnya: Australia, Bhutan, China, Thailand (pada tahun 2007)
b. 96 negara telah meratifikasi, contoh: Australia, China, Thailand (pada tahun 2008)

5. Adakah Malaysia telah menandatangani dan meratifikasi Konvensyen ini?
a. Malaysia telah menandatangani konvensyen ini pada 8 April 2008
b. Malaysia telah meratifikasi konvensyen ini pada 19 Julai 2010

6. Apakah erti ratifikasi ini?
a. Kerajaan yang telah meratifikasi konvensyen ini bersetuju untuk berusaha dengan sedaya yang boleh untuk menguatkuasakan artikel yang tersirat dalam konvensyen ini, contoh: artikel 7 – kanak-kanak OKU & artikel 9 – kebolehaksesan

7. Apakah tanggungjawab Malaysia selapas ini?

a. Kerajaan Malaysia perlu memastikan artikel yang tersenarai dalam konvensyen dipatuhi. Sebagai contoh, artikel 9 – kebolehaksesan → bagi membolehkan golongan OKU hidup secara berdikari dan terlibat sepenuhnya dalam masyarakat, pihak kerajaan perlu memastikan akses OKU kepada alam sekitar, pengangkutan awam, informasi dan komunikasi, kemudahan dan perkhidmatan awam di bandar dan luar bandar adalah pada hak yang sama dengan orang lain.

8. Bagaimanakah konvensyen ini dipantau?
a. Konvensyen ini dipantau dalam konteks kebangsaan dan antarabangsa.
b. Dalam negara, satu rangka kerja perlu diwujudkan bagi mengukuhkan promosi serta implementasi konvensyen ini.
c. Di arena antarabangsa, satu Jawatankuasa Hak OKU akan ditubuhkan, yang akan akan mengkaji laporan yang dihantar tentang perlaksanaan konvensyen dan berhak menyoal berdasarkan status yang dibentang.

9. Bolehkah orang awam membuat cadangan tentang pelaksaan konvensyen ini?

a. Orang awam boleh membuat cadangan atau mengadu
b. Dalam protokol pilihan konvensyen ini, orang awam boleh mengadu kepada Jawatankuasa Hak OKU sekiranya negara itu tidak melaksanakan tanggungjawab yang tertakluk kepada konvensyen.
c. Selepas aduan atau cadangan diterima dan dikaji, negara tersebut akan diminta untuk memberikan penjelasan dan bertindak atas cadangan yang diterima

10.  Siapakah yang akan bermanfaat selepas ratifikasi konvensyen ini?
a. Ia akan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
b. Semua orang akan menjadi tua dan berkemungkinan menjadi kurang upaya satu hari kelak. Oleh itu ia adalah untuk kebaikan semua orang.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Parlimen Malaysia telah meluluskan Rang Undang-undang Perlindungan Pemberi Maklumat yang bakal berkuatkuasa pada 15 Disember ini. Akta yang digubal berdasarkan kepada akta yang sama terdapat di United Kingdom dan Amerika Syarikat ini telah dibentangkan pada awal Mei tahun ini. Akta ini juga merupakan inisiatif perundangan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam memerangi rasuah dan salah laku penyelewengan.   

Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan sebagai pemberi maklumat atau ‘whistle blower’. ‘Whistle blower’ diambil daripada perbuatan polis Inggeris yang meniup wiselnya apabila melihat sesuatu kejadian jenyah. ‘Whistle blower’ kini lebih dikenali sebagai pemberi maklumat; individu yang melaporkan salah laku, memberi maklumat tentang rasuah dan penyelewangan di dalam mana-mana organisasi atau agensi.

Perlaksanaan akta ini bererti Malaysia memenuhi satu lagi konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani rasuah. Akta ini memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat daripada diambil tindakan undang-undang sivil atau jenayah terhadapnya berdasarkan tuduhan yang dibuatnya. Ia juga memberi perlindungan daripada kecaman pihak-pihak tertentu. Tuduhan yang dibuat akan dinilai dan disiasat mengikut prosedur yang berkenaan.

Walau bagaimanapun, perlindungan dalam akta ini masih terhad apabila pemberi maklumat hanya akan dilindungi sekiranya mereka tidak menyampaikan maklumat kepada media. Datuk Liew Vui Kong, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga menyebut, pemberi maklumat yang mengeluarkan kenyataan kepada media tidak terlindung di bawah akta ini. Pada hakikatnya, medialah yang bakal ‘memaksa’ pihak berwajib untuk mengambil peduli kes tersebut dan menyelesaikannya.   

Pada awal Disember lalu, saya telah menyertai 4th Human Rights Defender Forum anjuran FORUM-Asia di Manila, Filipina dan bertemu dengan Rodolfo Noel Lozada Jr., seorang pemberi maklumat yang telah berani melaporkan salah laku Jose Miguel Arroyo yang telah memberikan sejumlah besar kontrak kepada ZTE, sebuah firma telekomunikasi dari China. Rodolfo atau lebih dikenali sebagai Jun Lozada merupakan mantan presiden Philipines Forest Corporation di bawah Bahagian Alam Sekitar dan Sumber Alam Filipina.

Beliau telah berkongsi pengalamannya semasa mendapatkan perlindungan daripada pihak-pihak tertentu yang lebih menginginkan beliau ‘hilang’. Mujurlah, ada teman yang sudi membantunya dan menyembunyikan beliau sekeluarga di sebuah bilik kecil. Tidak tahan dengan penderitaan keluarganya, Jun Lozada telah menghubungi pihak media dan menceritakan segala-galanya. Beliau menyebut, sekiranya beliau tidak menghubungi media pada waktu itu, mungkin telah terlambat baginya dan keluarga. Menurutnya, media Filipina memainkan peranan penting bagi keselamatannya.


Azwa Abd Rahman
ERA Consumer Malaysia

Hari ini, 10 Disember 2010 merupakan tarikh keramat yang telah dipilih bagi menyambut Hari Hak Asasi Manusia Sedunia. Pada hari yang sama, 62 tahun yang lalu, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menggunapakai Deklarasi Hak Asasi Manusia (UDHR) yang mana merupakan perjanjian pertama dunia mengenai hak asasi manusia dalam melindungi dan mempromosikan hak asasi. Dan mukadimah Deklarasi tersebut:  "Semua manusia dilahirkan saksama dan mempunyai hak serta kebebasan tersendiri" dipegang utuh sehingga kini.

Tahun ini, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu memilih tema "Pejuang Hak Asasi Manusia dan  Diskriminasi: Nyatakan dan Hentikan Diskriminasi' bagi meraikan mereka yang berjuang menentang diskriminasi di seluruh dunia.

 

Kebanyakan mereka ini tidak dikenali tetapi berjiwa kental dalam memerangi penafian hak asasi manusia, melindungi mangsa-mangsa dan mendapatkan keadilan bagi mereka dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.


Kita sebenarnya boleh mengenali pejuang-pejuang hak asasi ini, hatta di jalanan, yang lantang melaungkan keadilan dan kebebasan. Dan yang pasti, setiap dari kita yang menyuarakan hak masing-masing - tidak kiralah dalam apa isu sekalipun - adalah juga merupakan seorang pejuang hak asasi.

Salam Hari Hak Asasi Manusia, Malaysia!

Saya telah menyertai Sesi Konsultasi Wanita bersama Pelapor Khas (Special Rapporteur) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Keganasan terhadap Wanita, Rashida Manjoo pada 13 Januari 2011.

Program anjuran Women’s Aid Organization itu dihadiri lebih daripada 30 wakil NGO hak asasi manusia seluruh Malaysia. Program sehari itu membincangkan beberapa topik menarik termasuklah mengenai cabaran wanita dalam permasalahan keganasan rumah tangga.

Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan berlaku di mana sahaja, tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan atau taraf pendidikan.

Dalam milenium yang memasuki tahun kesebelas ini, masih ramai yang beranggapan bahawa tugas wanita lebih tertumpu kepada rumah tangga dan anak-anak. Anggapan ini masih menebal dalam minda sesetengah individu yang menyebabkan keganasan terhadap wanita masih berleluasa, walaupun di negara membangun seperti Malaysia.

Sehingga Julai 2010, jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia sebanyak 1,871 kes. Ini tidak termasuk kes-kes keganasan yang tidak dilaporkan.

Akta Keganasan Rumah Tangga telah diluluskan pada 1994 dan berkuatkuasa pada 1996. Keganasan rumah tangga diklasifikasikan di bawah bidang kuasa jenayah dan dibaca bersama-sama Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah. Akta ini menyediakan perlindungan bagi wanita yang didera oleh suaminya untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) serta berlindung di rumah-rumah perlindungan.    

Namun masih ramai pihak yang tidak memahami konsep IPO atau menerangkan kepada wanita keperluan untuk mendapatkannya. Apatah lagi melihat keganasan rumah tangga itu sebagai satu isu hak asasi manusia. Hak untuk hidup dan hak kepada kehormatan diri adalah hak dasar yang diakui oleh undang-undang antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengguna pakai Konvensyen Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW). Malaysia merupakan negara ahli konvensyen tersebut.

Oleh itu, pemikiran dangkal seperti seorang wanita adalah milik sepenuhnya seorang pasangan dan apapun boleh dilakukan terhadapnya; adalah satu pelanggaran hak asasi manusia. Harus juga diingatkan bahawa usaha untuk menentang keganasan terhadap wanita, terutamanya keganasan rumah tangga, bukan hanya terletak di bahu wanita atau badan bukan kerajaan, tetapi juga tanggungjawab setiap kita.


Azwa Abdul Rahman
ERA Consumer Malaysia

Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini mengumumkan bahawa banduan yang melakukan kesalahan ringan akan dipindahkan di kem-kem tentera terpilih di seluruh negara mulai bulan depan. Pada masa ini banduan tersebut bercampur dengan banduan yang melakukan kesalahan berat.

Langkah ini ini menurut beliau bagi mengelakkan kedua-dua kategori banduan ini bergaul dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan, terutamanya tentang pelbagai taktik jenayah sepanjang menjalani hukuman. Katanya lagi, jika kedua-dua kategori banduan ini dibenarkan bercampur, banduan yang melakukan kesalahan berat akan mempengaruhi banduan yang melakukan kesalahan ringan.

Datuk Hishammudin juga mengatakan bahawa langkah ini diambil bagi mengurangkan masalah kesesakan penghuni di beberapa penjara di seluruh negara. Selain daripada itu, kerajaan akan menjimatkan hampir RM30 juta hingga RM60 juta untuk membina sebuah penjara baru. Tambahan pula, banduan-banduan tersebut akan digunakan sebagai tukang cuci di kem-kem tentera. Ini sekaligus akan mengurangkan pekerja-pekerja asing bagi sektor tersebut.  Banduan-banduan ini juga akan dilengkapkan dengan pelbagai program kemahiran dan aktiviti masyarakat.

Langkah Kementerian Dalam Negeri ini merupakan cadangan yang baik kerana, selain daripada menjimatkan wang kerajaan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, ia juga meningkatkan kesedaran kepada banduan-banduan untuk insaf. 

Walau bagaimanapun, selain daripada membantu dalam memulihkan banduan-bandaun tersebut dengan program kemahiran, Kementerian Dalam Negeri harus juga memikirkan cara-cara lain untuk memulihkan banduan-banduan tersebut. Kebanyakan penjenayah kecil-kecilan ini melakukan jenayah seperti mencuri disebabkan oleh masalah sosio-ekonomi yang dihadapi oleh mereka. Dengan mengenakan hukuman yang berat, penjenayah-penjenayah ini mungkin akan menjadi lebih teruk kerana mereka rasa bahawa mereka ditindas.

Satu rancangan televisyen di saluran Star Sports boleh dijadikan contoh yang baik. Dalam rancangan tersebut, Jabatan Penjara Thailand telah mengadakan kejohanan boxing di dalam penjara untuk mengenal pasti peninju-peninju berbakat dalam kalangan banduan. Malah, kejohanan ini pernah mengenal pasti beberapa peninju hebat. Salah seorang daripadanya adalah peninju bernama Amnat Ruenroeng yang telah memenangi pingat gangsa di Kejohanan Tinju Dunia 2007 dan sekaligus melayakkan diri ke kejohanan Olimpik 2008 di Beijing.

Kerajaan Malaysia perlu mempertimbangkan untuk memperkenalkan kejohanan seperti ini bagi banduan-banduan yang bakal menjalani hukuman ringan di kem-kem tentera. Jabatan Penjara Malaysia juga boleh mempertimbangkan untuk menganjurkan kejohanan sukan intra-penjara dan inter-penjara. Banduan berbakat yang dikenal pasti ini boleh diberi latihan yang serius dan profesional supaya mereka boleh mendapat satu kehidupan yang baru setelah dibebaskan dari penjara.

Sering juga berlaku kebanyakan bekas banduan akan mengulangi jenayah kerana mereka tidak diterima bekerja untuk syarikat swasta mahupun jabatan kerajaan. Kekurangan peluang pekerjaan menyebabkan mereka mengulangi perbuatan jenayah untuk memenuhi keperluan asas mereka. Sekurang-kurangnya dengan mengadakan kejohanan sukan dalam penjara, ia membuka peluang kepada bekas banduan ini untuk menjalani kehidupan yang baru melalui sukan.

Jika bekas banduan ini diberi peluang untuk mewakili pasukan negeri ataupun sekurang-kurangnya sesuatu kelab, peluang untuk mereka mengulangi jenayah akan berkurangan. Mereka akan memberikan tumpuan kepada latihan mereka dan latihan-latihan ini akan mendisiplinkan bekas banduan ini. Lebih-lebih lagi, seseorang yang diberi peluang untuk insaf dengan melakukan sesuatu yang digemari

Baru-baru ini Pengarah Jabatan Penjara Thailand mengumumkan bahawa satu kejohanan baru akan diadakan di seluruh Penjara Thailand untuk mengenal pasti atlit-atlit berbakat untuk pasukan tinju Thailand yang akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Olimpik 2012 di London dan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro. Jika orang Thailand rela mengambil langkah yang besar ini dalam memberi peluang kepada banduan mereka untuk menjalani kehidupan baru, tidak ada sebab bagi kerajaan Malaysia untuk tidak melakukan perkara yang sama.

Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Dalam Negeri disyorkan supaya mewujudkan perbincangan bagi melaksanakan usaha ini dan membuat satu keputusan yang akan memanfaatkan masa depan sukan negara dan juga masa depan banduan-banduan muda dan mereka yang melakukan jenayah ringan ini.

Ravin Karunanidhi
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia

 

Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) telah menganjurkan satu bengkel berkenaan dengan Sistem Perundangan Orang Asli pada 23 Mac 2011. Bengkel ini telah dihadiri oleh hampir 100 orang. Kebanyakan para hadirin pada hari tersebut merupakan Tok Batin (Ketua Kampung Orang Asli). Banyak perbincangan tentang pelbagai isu antara mereka dengan SUHAKAM.

Perbincangan kumpulan dan pembentangan merupakan bahagian paling menarik dalam bengkel tersebut kerana pelbagai isu penting ditimbulkan. Agak mengejut juga apabila mendapati hampir semua orang asli yang hadir mempunyai pengetahuan yang luas tentang isu-isu semasa tempatan dan luar negara. Malah, sesetengah daripada mereka pandai menggunakan komputer apabila dapat menyediakan ‘slideshow’ dengan serta-merta untuk pembentangan mereka, manakala ada pula yang sibuk menghantar e-mel. Ini menafikan tanggapan bahawa bahawa orang asli tidak mengetahui apa-apa dan ketinggalan zaman.

Peserta-peserta telah dibahagikan kepada 5 kumpulan untuk membincangkan lima soalan yang berlainan. Namun, perbincangan kelima-lima kumpulan tersebut menyentuh perkara yang sama iaitu hak orang asli terhadap tanah adat mereka, pencerobohan oleh pembalak dan kerajaan ke dalam tanah orang asli, agama dan adat orang asli.

Orang Asli mempunyai hubungan istimewa dengan tanah adat mereka, tidak seperti komuniti lain di Malaysia yang hanya melihat tanah mereka sebagai suatu aset yang bernilai. Adat, kebiasaan dan aktiviti orang asli selalunya dikaitkan dengan tanah adat mereka. Puak Semai (salah satu daripada 18 puak orang asli di Semenanjung Malaysia) selalu menggunakan pepatah “walah tik walah sinnui”  yang memberi maksud, “Tiada tanah tiada nyawa”. Pepatah ini mencerminkan kaitan tanah adat dengan identiti dan adat orang asli.

Seorang Tok Batin daripada puak Temiar memaklumkan bahawa mereka tinggal dalam sempadan kampong mereka tanpa menceroboh masuk ke kampong bersebelahan. Beliau juga dengan bangganya memberitahu bahawa mereka tidak mempunyai pagar atau dinding untuk menetapkan sempadan kampung. Mereka hanya bergantung kepada naluri dan hubungan istimewa mereka dengan alam semula jadi untuk mengenal pasti sempadan antara dua kampong.

Beliau juga menyangkal kepercayaan lazim bahawa orang asli adalah puak yang asyik berpindah (nomad). Menurut beliau, orang asli memang selalu berpindah 2 atau 3 kali setahun, tetapi mereka hanya berbuat demikian dalam sempadan kawasan mereka. Mereka tidak akan sesekali menceroboh ke dalam tanah orang lain. Selepas berpindah beberapa kali, mereka akan pulang ke tempat asal, yang kebiasaannya 14 atau 15 tahun kemudian. Mereka berbuat demikian untuk memastikan bahawa tanah tersebut sentiasa subur dan memulihara hutan.

Walau bagaimanapun, pembalak haram dan pencorobohan kerajaan dalam nama pembangunan telah menggugat habitat semula jadi orang asli. Tanah mereka dirampas dan diteroka menyebabkan sempadan tanah-tanah mereka semakin menngecil saban hari. Selain daripada menggugat habitat mereka, penerokaan ini juga telah mengganggu adat orang asli. Kini mereka tidak boleh berpindah berapa banyak yang boleh seperti dahulu. Mereka akan pulang ke tempat asal mereka dalam masa 7 atau 8 tahun sekali dan bukan lagi 13 atau 14 tahun sekali seperti dahulu.

Seorang lagi Tok Batin daripada puak Semai juga memberitahu tentang kerajaan yang mengambil kesempatan terhadap orang asli yang buta huruf. Kebanyakan orang asli masih mengamalkan agama purba mereka, Animisme, iaitu agama menyembah alam semula jadi dan roh moyang mereka. Tetapi, kini ramai orang asli yang mendaftarkan diri mereka sebagai orang Islam dalam sijil kelahiran dan kad pengenalan, mereka bukanlah penganut agama Islam.

Tiada sebarang bantahan dibuat kerana mereka tidak tahu membaca dan tidak peka terhadap apa yang berlaku. Ini juga menjejaskan adat resam mereka. Contohnya, orang asli mempunyai undang-undang dan adat tersendiri untuk hal ehwal perkahwinan, penceraian, pengebumian dan pengagihan harta benda. Bagi penganut agama Islam, semua perkara ini tertakluk kepada undang-undang Syariah. Ini telah menimbulkan banyak masalah dan kekeliruan kepada masyarakat orang asli kerana mereka tidak akan tahu sama ada ingin mengikut adat resam ataupun undang-undang Syariah.

Rungutan terakhir yang dihadapi masyarakt orang asli adalah tentang campur tangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam pemilihan Tok Batin. Dahulu, pangkat Tok Batin secara turun temurun, iaitu seseorang Tok Batin yang telah meninggal dunia ataupun uzur, akan diganti oleh ahli keluarganya. Tok Batin zaman dahulu selalunya orang yang serba tahu tentang adat resam, tradisi dan undang-undang orang asli, sedangkan Tok Batin moden merupakan orang yang berpelajaran dan diundi oleh masyarakat kampung (dengan sokongan kuat kerajaan). Namun mereka langsung tidak mengetahui tentang adat resam, tradisi dan undang-undang orang asli.

Peranan Tok Batin sekarang hanya menjadi mata dan telinga kerajaan di kampung mereka. Malah dimaklumkan juga bahawa Tok Batin dipaksa menandatangani perakuan menyokong kerajaan. Jika mereka enggan berbuat demikian, mereka akan dilucutkan jawatan Tok Batin. Selepas berbuat demikian, mereka secara tidak rasminya dijadikan ejen untuk memastikan bahawa semua orang kampung mereka hanya mengundi calon kerajaan dalam pilihan raya. Orang asli diugut oleh Tok Batin bahawa sesiapa yang tidak mengundi calon kerajaan akan dihukum kerana mengingkar arahan Tok Batin.    

Pada akhir bengkel tersebut, Janine Lasimbang, Pesuruhjaya SUHAKAM, memberikan jaminan kepada semua peserta bahawa SUHAKAM akan meneliti hal perbincangan dalam bengkel dan membentangkan laporan mereka kepada kabinet dan Parlimen. Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa Parlimen tidak pernah membahaskan  tentang  laporan tahunan SUHAKAM sejak ia ditubuhkan 12 tahun yang lalu. Malah, Janine Lasimbang mengatakan bahwa SUHAKAM hanya boleh membuat cadangan kepada Parlimen dan kabinet. Ia tidak boleh membuat dasar tersendiri berkenaan hak asasi manusia.

Justeru, untuk memperbaiki keadaan orang asli dan hak asasi manusia secara amnya, SUHAKAM harus diberi lebih kuasa. Segala laporan SUHAKAM mesti dibentang dan dibahaskan di Parlimen. Malah ia juga perlu diberi kuasa untuk membuat dasar yang berdasarkan kepada laporannya. Jika laporan SUHAKAM tidak diberikan perhatian yang serius, maka ia merupakan satu pembaziran wang rakyat.

Ravin Karunanidhi
Bahagian Hak Asasi Manusia

 

Apakah keganasan rumahtangga?
Keganasan rumahtangga bermaksud perlakuan keganasan terhadap pasangan atau bekas pasangan. Ia terdiri daripada fizikal dan ganguan seksual, keganasan pertuturan (maki hamun dan cacian), ugutan, gangguan/pengabaian emosi dan kewangan. Keganasan rumahtangga ,kebiasaannya berulang dan menjadi mangsa lebih teruk dan berterusan walaupun selepas penceraian.

Ini adalah disebabkan pendera ingin terus berkuasa dan mahu mengawal mangsa. Kebanyakkan pendera adalah gulungan lelaki dan mangsa adalah wanita atau kanak-kanak.

Apakah bentuk keganasan rumahtangga?
Bentuk-bentuk keganasan rumahtangga :

  1. Fizikal
  2. Pertuturan
  3. Psikologi
  4. Emosi / perasaan

Apakah kesan kesihatan akibat keganasan rumahtangga?
Berikut adalah beberapa kesan-kesan kesihatan disebabkan keganasan rumahtangga -

Kecederaan pada anggota badan : Seperti, lebam, luka, patah tulang yang menyebabkan kecacatan kekal dan kematian.

Kesan psikologi / mental : Wanita yang didera oleh pasangan akan mengalami lebih kemurungan, cemas dan ketakutan dibanding dengan wanita yang tidak didera. Mereka juga lebih cenderung untuk mencederakan diri sendiri atau menbunuh diri. Mangsa juga lebih dikaitkan dengan tabiat merokok, pengambilan alkohol berlebihan dan penyalahgunaan dadah.

Adakah saya dikalangan mangsa keganasan?
Berikut adalah soalan-soalan sama ada anda dan pasangan anda berada dalam masalah keganasan rumahtangga. Jika kebanyakan jawapan "YA", anda adalah golongan mangsa dera.

Perasaan dalaman anda : Perasaan takut, benci diri sendiri dan keadaan terdesak

  1. Adakah anda sentiasa ketakutan terhadap pasangan anda?
  2. Adakah anda mengelak suatu perkara meransang pasangan anda menjadi marah?
  3. Adakah anda merasa anda tidak dapat melakukan sesuatu yang betul atau disukai oleh pasangan anda?
  4. Adakah anda merasa tidak berguna dan patut di hukum?
  5. Adakah anda merasa tidak lagi menyayangi pasangan anda?
  6. Adakah anda rasa tidak lagi menghormati pasangan anda?
  7. Adalah anda rasa anda yang tidak waras dan bersikap keterlaluan terhadap pasangan anda?
  8. Pernahkah anda merasa ingin menyingkirkan pasangan hidup anda?
  9. Pernahkah anda mengharapkan pasangan anda mati?
  10. Adakah anda terasa terancam?
  11. Adakah anda bimbang pasangan mengambil anak-anak anda?
  12. Adakah anda merasa perbuatan keganasan rumahtangga adalah biasa dalam perkahwinan?

Tingkahlaku pasangan anda

  1. Adakah pasangan anda sukar di fahami ?
  2. Adakah pasangan anda mempamerkan kelakuan baik diantara kejadian keganasan ?
  3. Adakah pasangan anda seorang pemarah ?
  4. Pernahkah pasangan anda mengugut anda ? Secara lisan atau fizikal? Untuk mencederakan atau membunuh anda?
  5. Pernahkah pasangan anda mengugut mengambil anak-anak anda ?
  6. Pernahkah dia mencederakan anda secara fizikal?
  7. Pernahkah pasangan anda mengugut di tempat kerja ?
  8. Adakah pasangan anda merosakkan harta / peralatan rumah ?
  9. Adakah pasangan anda memisahkan anda daripada keluarga dan kawan kawan anda ?
  10. Pernahkah pasangan anda mengawal perbelanjaan penggunaan telefon atau kereta ?
  11. Adakah pasangan anda suka mengongkong dan cemburu, selalu mengesyaki anda mempunyai perhubungan lain ?
  12. Adakah pasangan anda melarang anda dari keluar rumah ?
  13. Adakah pasangan anda mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anda ?
  14. Adakah pasangan anda memalukan dan mengutuk anda dihadapan orang lain ?
  15. Adakah pasangan anda tidak mengindahkan atau merendahkan pandangan dan pendapat yang anda beri ?
  16. Adakah pasangan anda menyalahkan anda diatas keganasannya ?
  17. Adakah pasangan anda tidak menghormati wanita ?
  18. Adakah pasangan anda menganggap anda sebagai objek seks ?

Apakah tanda seseorang itu mungkin menjadi mangsa keganasan rumahtangga?
Anda atau sesiapa sahaja boleh mengesyaki keganasan berlaku sekiranya anda menyaksikan kawan-kawan anda mempunyai tanda-tanda berikut :-

  1. Lebam, luka atau bengkak dibadan dengan alasan disebabkan "kemalangan"
  2. Kemurungan dan kerap menangis
  3. Kerap menghilang diri
  4. Kerap datang lambat
  5. Kerap menerima gangguan panggilan telefon semasa bekerja
  6. Takut terhadap pasangan
  7. Tumpuan dan prestasi kerja merosot
  8. Menyisihkan diri
  9. Mempunyai masalah kewangan


Jika anda mangsa keganasan rumahtangga, atau mengetahui seseorang itu menjadi mangsa keganasan, dimana anda boleh dapatkan bantuan?
Jangan berdiam diri dan kongsi masalah anda dengan orang lain, anda mesti hentikan keganasan ini. Sayangi diri dan kehidupan anda. Anda berhak menikmati kehidupan yang bahagia.
INGAT anda tidak keseorangan; apa yang perlu anda buat adalah untuk mendapatkan bantuan, kami disini untuk membantu anda : -

  1. Ibu dan ayah anda
  2. Kakak dan abang anda
  3. Jiran anda
  4. Rakan taulan anda
  5. Kaunselor anda
  6. Guru anda
  7. Atau Hubungi DHRRA Malaysia untuk sesi kaunseling - 03 - 78747680 / 78747681

Sekiranya anda merasakan diri dalam keadaan berbahaya atau telah di dera hubungi 999 segera!

Bagaimana saya melaporkan masalah keganasan rumahtangga

Membuat laporan kes yang disyaki keganasan rumahtangga adalah PENTING dan SULIT. Tindakan segera anda boleh melindungi mangsa dari keganasan lebih teruk dan KEMATIAN. Sila buat laporan segera di Balai Polis atau Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berhampiran kediaman anda.

Bagaimana saya mendapat bantuan jika saya pendera
Sekiranya anda telah mencederakan seseorang dan inginkan bantuan, sila hubungi 999. Sekiranya anda mahu menghentikan penderaan keganasan, sila datang berjumpa doktor untuk mendapatkan kaunseling dan bantuan yang diperlukan.

Saravanan Thambirajah
ERA CONSUMER MALAYSIA

“60 TAHUN PENGGERAK KEMAJUAN NEGARA” adalah slogan Tenaga Nasional Bhd (TNB). Namun begitu, slogan itu memberi makna kepada seorang warga tua, berumur 82 tahun, yang merasakan dirinya dibuli oleh TNB. Akibat masalahnya tidak dapat diselesaikan oleh TNB, menyebabkan beliau datang ke Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) untuk mendapatkan bantuan. NCCC telah memajukan masalah ini kepada Suruhanjaya Tenaga untuk melakukan siasatan.

Penggadu telah tinggal di dalam kegelapan sejak bulan Julai 2010 kerana pihak TNB telah menanggalkan meter elektrik di dalam rumahnya, dengan tujuan untuk meletakkannya di bahagian luar rumah pengadu untuk memudahkan bacaan meter elektrik. Namun begitu, pihak TNB telah gagal untuk tidak memasang semula meter tersebut ke luar rumah pengadu sehingga menyebabkan rumahnya tidak mempunyai bekalan elektrik.

Pengadu telah beberapa kali pergi ke pejabat TNB, tetapi masalahnya tidak dapat diselesaikan sehingga menyebabkan pengadu cuba mencapatkan khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri untukmeminta pertolongan untuk penyambungan semula bekalan elektrik. Namun masih tidak tindakan diambil oleh pihak TNB.

Persoalannya. mengapakah pihak TNB perlu tunggu sehingga begitu lama sehingga pihak ketiga seperti NCCC campur tangan untuk menyelesaikan masalah pelanggan mereka sendiri? Adakah ini caranya melayan pengguna mereka yang berumur 82 tahun itu? Ke manakah perginya tanggungjawab sosial TNB?

Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Semua orang inginkan kehidupan yang bahagia dan aman di muka bumi ini. Rumah, air yang bersih, pakaian, makanan yang mencukupi, perubatan, pendidikan dan lain-lain merupakan antara satu keperluan asas bagi setiap insan untuk menikmati kehidupannya. Sebagai pengguna, terdapat lapan hak untuk dinikmati, iaitu:-

  1. a. Hak untuk mendapat keperluan asas
  2. b. Hak untuk mendapat keselamatan
  3. c. Hak untuk membuat pilihan
  4. d. Hak untuk mendapat maklumat
  5. e. Hak untuk menyuarakan pendapat
  6. f. Hak untuk mendapat ganti rugi
  7. g. Hak untuk mendapat pendidikan pengguna
  8. h. Hak untuk mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat.

Jikalau penduduk atau pengguna bandar berasa tidak berpuas hati terhadap mana-mana hak yang berkaitan dengan situasi mereka, maka mereka hendaklah membuat aduan dan mengambil tindakan.

Tetapi, jika dilihat situasi yang berlaku kepada penduduk orang asli, keadaan yang sebaliknya berlaku.  Sebenarnya, terdapat banyak pusat dan saluran untuk menerima aduan dan menegakkan hak mereka.

Tetapi, apabila penduduk orang asli menghadapi sebarang masalah, tiada mana-mana pihak yang sanggup mengambil tanggungjawab terhadap masalah itu.

Contohnya, ada rumah orang asli ini yang mempunyai saluran paip, tangki dan lain-lain, tetapi tiada bekalan air. Bayangkan jika tiada air selama seminggu. Apa yang akan berlaku? Ini boleh dilihat setiap hari di dada surat khabar, radio, televisyen dan lain-lain sehingga masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin. Tetapi keadaan seperti ini tidak berlaku kepada masyarakat orang asli. Mereka tidak ada tempat yang membuat aduan dan tindakan susulan yang perlu ambil dan sebagainya. Apabila membuat aduan pula, tiada mana-mana pihak cuba mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah itu.

Ketiadaan tenaga elektrik, tiada sumber pendapatan, masalah kesihatan yang teruk, tiada pendidikan dan lain-lain menjadi masalah utama dalam kehidupan orang asli. Kehidupan mereka seumpama orang yang buta huruf. Diberi komputer tetapi tidak pernah diberi tunjuk ajar bagaimana untuk menggunakan. Begitulah kisah sebenar yang berlaku kepada masyarakat orang asli. Jika mereka diberikan bekalan pula, mereka tidak mempunyai sumber pendapatan untuk membayar bil. Keadaan-keadaan seumpama ini merungsingkan kehidupan mereka.

Sebagai rakyat yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain, perlu memikirkan cara untuk membangunkan masyarakat orang asli. Jumlah masyarakat orang asli hanya satu peratus, daripada keseluruhan rakyat Malaysia, iaitu kira-kira 150,000 ribu sahaja.  Jikalau ada hasrat hendak membantu golongan yang miskin, cuba hulurkan tenaga dan sumber untuk membangunkan masyarakat orang asli yang masih dalam kemiskinan.

Mageswaran Senderal
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga MalaysiaPERKASAKAN HAK ORANG ASLI