Penduduk Bandar Warisan Taiping baru-baru ini dikejutkan dengan berita tentang pembinaan Kilang Peleburan Magnesium (Magnesium Smelter Plant) di Medan Raya Kamunting, Taiping, Perak. Malah, menurut penduduk-penduduk di sekitar, kilang ini dikatakan hampir siap dibina pada Mac 2010.

Medan Raya Kamunting ini dikelilingi oleh beberapa buah penempatan seperti Taman Saujana, Taman Saujana Permai, Taman Panglima, Taman Yayasan, Taman Palma dan Kampung Rahmat. Malahan, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) yang menempatkan seramai lebih daripada 200 orang pelajar turut berada di kawasan berhampiran kilang tersebut.


Kilang ini akan menggunakan proses haba yang dikenali sebagai Proses Pidgeon yang dicipta di Kanada pada tahun 1940-an. Bahan mentah utama yang digunakan dikenali sebagai Dolomite.

Bahan ini dilombong di sekitar kawasan Sungai Siput, Perak. Dolomite akan melalui proses calcine, dan kemudian akan ditukar menjadi ‘mahkota’ Magnesium asli melalui proses penurunan.

Semasa proses penurunan, ferosilikon dan tenaga haba banyak digunakan untuk menghasilkan ‘mahkota’ Magnesium. ‘Mahkota’ Magnesium ini akan dilebur dan dibentuk menjadi jongkong-jongkong, yang kebanyakannya akan dieksport ke luar negara, untuk memenuhi permintaan magnesium global yang semakin meningkat.

Perusahaan Magnesium merupakan industri yang memerlukan banyak tenaga, sama ada dalam bentuk tenaga haba atau elektrik. Justeru, ia akan memberikan kesan yang signifikan kepada alam sekitar

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), proses Pidgeon memerlukan lebih kurang 5.2 meter padu gas asli yang dibakar untuk membekalkan tenaga haba yang hanya menghasilkan 1 kilogram jongkong magnesium.

Apabila kilang ini beroperasi dengan kapasiti penuh dengan pengeluaran 83 tan jongkong setiap hari, ia akan membakar 431 ribu meter padu gas asli setiap hari untuk membekalkan haba.

Bagi menghasilkan satu kilogram jongkong magnesium, sebanyak 562 megajoule tenaga digunakan. Oleh itu, dalam tempoh sebulan, kilang di Kamunting Raya ini akan menggunakan 652 Terajoule tenaga.

Kebanyakan saintis dan jurutera bersetuju bahawa proses Pidgeon adalah proses yang paling tidak lestari, kerana ia memberi impak yang sangat besar ke arah penyusutan bahan api yang tidak boleh diperbaharui, di samping tahap kecekapan yang sangat rendah.

Jelas bahawa pembinaan kilang yang menggunakan proses tersebut tidak melambangkan pengurusan sumber yang lestari. Kilang ini menggunakan terlalu banyak bahan api dan haba.

Kesan kilang ini terhadap kawasan di persekitarannya perlu dikaji dengan mendalam. Kajian Impak Alam Sekitar Terperinci (Detailed Environment Impact Assessment) perlu dijalankan sebagai satu langkah untuk menjangka, mengurangkan dan mengelakkan impak-impak yang tidak diingini terhadap rakyat di Taiping.

Ahmad Faiz Abdul Razak
Jurutera Eksekutif, WECAM
7 April 2010