Hampir semua negara di dunia ini berkembang pesat dalam era sains dan teknologi. Saban hari banyak bangunan mahupun lebuh raya telah dibina bagi menambah baik kehidupan manusia. Namun, dalam kesibukan mengejar kemajuan dunia, secara tidak sedar manusia alpa akan kepentingan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar.
Umpamanya di Malaysia, salah satu usaha yang telah diambil oleh kerajaan untuk memelihara alam sekitar ialah projek membersihkan Sungai Raja di Alor Setar. Usaha ini sememangnya harus dipandang serius dan dikembangkan ke sungai yang tercemar yang lain. Namun usaha ini tidak akan berjaya jika hanya satu pihak sahaja yang terlibat. Justeru itu, kerajaan dan masyarakat seharusnya melibatkan diri dalam usaha untuk menjaga alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama.
Sebagai masyarakat yang prihatin, pelbagai beberapa langkah boleh dilakukan, antaranya tidak membuang sampah sarap ke dalam sungai, di samping melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan jika terdapat sebarang kecuaian mana-mana pihak yang melupuskan sampah ke dalam sungai.
Selain itu juga, masyarakat boleh memantau aliran sungai seharian dan mengadakan gotong-royong membersihkan sungai jika terdapat sampah sarap yang boleh menggugat eko-sistem sungai. Antara aspek-aspek yang boleh dipantau ialah secara fizikalnya ialah bau yang kurang menyenangkan. Manakala secara biologi pula, perhatikan hidupan di dalam sungai, contohnya ikan, udang dan organisma yang lain.
Dengan usaha dan kesedaran yang berterusan oleh pihak kerajaan dan masyarakat, maka pemuliharaan dan pemeliharaan warisan alam sekitar pasti tidak menjadi isu yang kronik. Ia juga dapat membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan untuk menjaga alam sekitar.
Syed Mubashir Bin Syed Mohammad
Forum Air Malaysia
25 Mei 2010