Sambutan Hari Air Sedunia peringkat kebangsaan tahun ini akan diadakan di perkarangan Dataran Tanjong Emas, Muar, Johor. Acara sambutan akan dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Hari Air Sedunia diraikan setiap 22 Mac untuk menekankan peri pentingnya air untuk kehidupan.  Pada tahun ini, tema sambutan adalah ‘Air Bersih untuk Kesihatan Sejagat’.


Menurut Encik Piarapakaran, Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), pihak beliau juga akan terlibat dalam acara tersebut. WECAM akan mengadakan pameran tentang isu-isu kepenggunaan yang berkaitan dengan air dan tenaga.

Hari Air Sedunia 2010 memberikan tumpuan terhadap keperluan kualiti air kepada manusia dan alam sekitar. Kualiti air yang rendah akan memudaratkan alam sekitar. Begitu juga kesannya kepada manusia kerana makanan yang dimakan mungkin menggunakan air tercemar.

Pada masa yang sama, kualiti air juga memberikan kesan yang tinggi kepada kos rawatan air. Apabila kualiti air mulai berkurangan, kos rawatan akan meningkat. Ini menyebabkan tarif yang dikenakan kepada pengguna juga akan meningkat.

”WECAM sering memaklumkan perkara ini kepada pengguna tentang kesan pencemaran air, khususnya air permukaan kerana sebahagian besar sumber air yang digunakan di rumah berpunca daripada air ini. Namun mereka seolah-olah tidak mengendahkannya,” kata Piara dengan kesalnya.

WECAM berharap lebih ramai pengguna akan memberikan perhatian terhadap isu ini dan membantu dalam menjaga sumber air agar generasi akan datang dapat menikmati air yang bersih, ujar Piara lagi.

Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung, Persatuan Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
26 Mac 2010