Pada 28 Mac 2009, sebanyak 88 buah negara telah melibatkan diri dalam menjayakan satu usaha peringkat sejagat, kempen Earth Hour. Kempen ini menjadikan simbol menutup lampu selama satu jam bagi mengatasi masalah perubahan iklim.

Selain itu, pelbagai institusi dan organisasi di Malaysia turut menyertai inisiatif ini. Menurut laporan, seramai 6 juta rakyat Malaysia telah terlibat dalam kempen ini. Ini dibuktikan lagi dengan kenyataan Tenaga Nasional Berhad bahawa dalam tempoh tersebut, penggunaan tenaga elektrik telah berkurangan sebanyak 550 megawatt elektrik. Ini bersamaan dengan 14 juta lampu fluorescent yang menggunakan 40 watt.


Namun begitu, kempen EARTH Hour pada tahun agak suram berbanding pada tahun lepas. Adakah anda menyedari bahawa EARTH HOUR pada tahun ini jatuh pada 27 Mac, iaitu anda patut menutup lampu selama sejam?

EARTH HOUR bukan hanya membawa maksud bagi simbolik menutup lampu selama sejam dalam setahun itu sahaja. Ia sebenarnya satu langkah untuk menyedarkan orang ramai tentang isu perubahan iklim dan kesannya ke atas manusia. Oleh itu, manusia perlu melakukan perubahan gaya hidup untuk mengurangkan kesan tersebut.

Pada bulan Oktober 2009, Kerajaan Maldives telah mengadakan mesyuarat kabinat di dalam laut bagi menunjukkan bahawa mereka memberikan perhatian terhadap kesan pemanasan global di atas negara mereka. Tahap air laut yang kian meningkat akan menyebabkan negara tersebut tidak lagi sesuai untuk didiami.

Satu lagi laporan mengatakan bahawa ais di kutub utara akan cair dalam tempoh 10 hingga 20 tahun. Apabila ini berlaku, ia akan mengakibatkan  banjir yang memberikan kesan kepada satu perempat penduduk dunia.

Keadaan yang berlaku ini merupakan satu petanda bahawa pemanasan global dan perubahan iklim semakin membawa kesan yang besar terhadap manusia dan bumi.

Pemanasan global bukan sesuatu yang mustahil untuk ditangani. Cara untuk mengatasinya telah sedia ada di dalam pasaran. Ia bukan sesuatu yang baru atau sesuatu yang susah untuk dijalankan.

Kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah yang baik, iaitu menggantikan semua lampu pijar yang digunakan pada masa ini dengan lampu yang cekap tenaga pada tahun 2014.

Walau bagaimanapun, peranan ini juga perlu dilakukan oleh rakyat dan sektor perusahaan bagi mengurangkan pelepasan karbon. Sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat dan juga pengguna, anda boleh memainkan peranan yang lebih penting. Anda boleh bertukar kepada produk yang cekap tenaga, mengurangkan penggunaan beg plastik dan bekas polistrena, menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, dan mengamalkan penggunaan berhemat.

Generasi pada masa ini beranggapan bahawa golongan generasi akan datang  lebih bernasib baik kerana mereka dapat menikmati kemudahan dan keselesaan yang dibawa oleh kemodenan teknologi dan sains. Namun begitu, sebenarnya mereka ini perlu memikul cabaran yang lebih besar pada masa depan, umpamanya masalah pemanasan global yang perlu mereka hadapi disebabkan oleh aktiviti manusia pada masa ini yang tidak bertanggungjawab.

Bertindaklah sekarang demi bumi kita, demi masyarakat kita, demi anak-anak kita dan demi diri kita sendiri. Berubahlah untuk menghentikan perubahan iklim.

Yu Kin Len
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)
26 Mac 2010