Saya telah menyertai Sesi Konsultasi Wanita bersama Pelapor Khas (Special Rapporteur) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Keganasan terhadap Wanita, Rashida Manjoo pada 13 Januari 2011.

Program anjuran Women’s Aid Organization itu dihadiri lebih daripada 30 wakil NGO hak asasi manusia seluruh Malaysia. Program sehari itu membincangkan beberapa topik menarik termasuklah mengenai cabaran wanita dalam permasalahan keganasan rumah tangga.

Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan berlaku di mana sahaja, tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan atau taraf pendidikan.

Dalam milenium yang memasuki tahun kesebelas ini, masih ramai yang beranggapan bahawa tugas wanita lebih tertumpu kepada rumah tangga dan anak-anak. Anggapan ini masih menebal dalam minda sesetengah individu yang menyebabkan keganasan terhadap wanita masih berleluasa, walaupun di negara membangun seperti Malaysia.

Sehingga Julai 2010, jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia sebanyak 1,871 kes. Ini tidak termasuk kes-kes keganasan yang tidak dilaporkan.

Akta Keganasan Rumah Tangga telah diluluskan pada 1994 dan berkuatkuasa pada 1996. Keganasan rumah tangga diklasifikasikan di bawah bidang kuasa jenayah dan dibaca bersama-sama Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah. Akta ini menyediakan perlindungan bagi wanita yang didera oleh suaminya untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) serta berlindung di rumah-rumah perlindungan.    

Namun masih ramai pihak yang tidak memahami konsep IPO atau menerangkan kepada wanita keperluan untuk mendapatkannya. Apatah lagi melihat keganasan rumah tangga itu sebagai satu isu hak asasi manusia. Hak untuk hidup dan hak kepada kehormatan diri adalah hak dasar yang diakui oleh undang-undang antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengguna pakai Konvensyen Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW). Malaysia merupakan negara ahli konvensyen tersebut.

Oleh itu, pemikiran dangkal seperti seorang wanita adalah milik sepenuhnya seorang pasangan dan apapun boleh dilakukan terhadapnya; adalah satu pelanggaran hak asasi manusia. Harus juga diingatkan bahawa usaha untuk menentang keganasan terhadap wanita, terutamanya keganasan rumah tangga, bukan hanya terletak di bahu wanita atau badan bukan kerajaan, tetapi juga tanggungjawab setiap kita.


Azwa Abdul Rahman
ERA Consumer Malaysia