Penggunaan kad kredit sudah menjadi kelaziman dalam kalangan masyarakat kini. Kad kredit merupakan satu kaedah pembayaran yang membolehkan pengguna membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai. Kad plastik ‘ajaib’ ini membolehkan kita membeli secara kredit dengan had maksimum yang boleh dicaj.

Apabila seseorang pengguna menggunakan kad kredit, pengeluar kad kredit akan membayar kepada peniaga terlebih dahulu bagi pihak pengguna dan kemudiannya meminta bayaran daripada pemegang kad kredit dalam bentuk penyata bulanan.


Frank MacNamara memperkenalkan konsep kad kredit ini pada tahun 1950 dengan tujuan untuk memudahkan pembayaran. Pada ketika itu hanya golongan kelas atasan sahaja yang mampu menggunakan kad kredit. Tetapi pada masa sekarang semua golongan memiliki sekurang-kurangnya satu kad kredit untuk kegunaan mereka.

Ramai orang berpendapat bahawa kad kredit adalah simbol kemewahan dan harus dimiliki oleh mereka. Sebaliknya, kini kad kredit ini telah menjadi seolah-olah ”ceti teknologi” kerana ia boleh menyebabkan pemegangnya terjebak dalam masalah hutang.

Menurut sumber yang dipetik daripada Bank Negara Malaysia(BNM), sebanyak 8.8 juta kad kredit dikeluarkan oleh institusi kewangan di seluruh negara dengan purata setiap pemilik mempunyai 3 kad kredit. Memang jumlah ini agak lebih daripada keadaan biasa. Pada hakikatnya, kira-kira 30 peratus kes muflis melibatkan pemegang kad kredit. Hampir kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis ialah eksekutif muda yang berusia bawah 30 tahun.

Menurut statistik yang diperolehi oleh BNM, jumlah hutang kad kredit ini bertambah 20 peratus pada setiap tahun. Dengan kadar faedah 1.5 peratus sebulan. Bank-bank Malaysia dengan mudah mendapat keuntungan faedah berjumlah RM159 juta setiap tahun tidak termasuk caj-caj untuk perkhidmatan lain seperti caj pengeluaran tunai (5%) dan caj lambat bayar (RM5).

Kita perlu berfikir kenapa keadaan sedemikian berlaku dalam masyarakat kita terutama dalam kalangan golongan muda. Antara faktor yang utama adalah sikap mengambil mudah terhadap hutang. Ramai orang berbelanja sesuka hati dan melepasi had yang ditetapkan.

Sikap keangkuhan dan berlebih-lebihan inilah yang menjerat diri sendiri dalam kancah hutang yang berpanjangan dan tidak berkesudahan. Disebabkan ingin menunjuk-nunjuk, ramai pemilik kad kredit berbelanja tanpa ada sebarang tujuan atau bajet. Sebenarnya mereka yang memiliki sifat seperti ini akan berbelanja kepada perkara yang tidak penting.

Kelonggaran dan galakan yang diberikan oleh pihak kerajaan serta institusi perbankan telah membolehkan semakin ramai rakyat negara ini memilik kad kredit. Mengikut peraturan yang dikuatkuasakan, seseorang yang berpendapatan RM1,500 sebulan layak untuk memiliki kad kredit. Tujuannya adalah untuk menggalakkan pertumbuhan sektor kredit yang terjejas teruk ekoran daripada kegawatan ekonomi yang sedang melanda negara kita.

Di samping itu, Bank Negara Malaysia juga telah menurunkan kadar caj minimum kad kredit daripada 2% kepada 1.5% sebulan menjadikannya tidak lebih 18% setahun. Caj bayaran lewat pula ditetapkan tidak lebih daripada 1% dikira atas jumlah yang tertunggak. Fenomena ini menyebabkan ramai orang membuat permohonan untuk mendapatkan kad plastik ini. Dengan adanya kad kredit mereka boleh berbelanja tanpa menggunakan wang saku mereka.

Masyarakat harus mengambil langkah yang berkesan untuk mengatasi masalah ini kerana status muflis dan hutang dipandang hina dalam masyarakat dan hilang kelayakan dalam hal-hal tertentu. Pihak kerajaan harus mengawal pengeluaran kad kredit dan mengawasi penawaran agensi-agensi perbankan terhadap kad kredit.

Had minimum kelayakan perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM3500 ke atas. Kelayakan yang ditetapkan sekarang ini terlalu rendah dan tidak sejajar dengan peningkatan kos hidup rakyat negara ini. Membenarkan golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kad kredit hanya akan mendedahkan mereka kepada beban hutang yang melampau.

Pemilik kad kredit perlu menyedari kesan penggunaan kad kredit tanpa batasan akan membawa banyak masalah yang tidak diingini. Bagi mengelakkan masalah hutang ini, pemilik kad kredit ini hendaklah berbelanja dengan bijak dan sentiasa berhati-hati dalam perbelanjaan harian yang melibatkan kad kredit.

SHANMUGAPRIYA MOHAN
ERA Consumer Malaysia
6 Jun 2010

 

Perubahan iklim boleh memudaratkan kesihatan, menggugat kewujudan negara-negara berada pada berparas laut yang rendah dan keselamatan makanan seperti sumber perikanan. 

Ikan membekalkan sumber protein yang diperlukan oleh penduduk dunia. Ia juga merupakan makanan utama bagi penduduk negara-negara di pesisiran pantai yang mempunyai makanan dan peluang pekerjaan yang terhad. Kesan-kesan akan berlaku adalah terlalu besar sehingga menyebabkan nelayan dan sektor akuakultur tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyesuaikan diri kepada perubahan ini.

Laporan Kajian Ke-Empat (AR4) oleh Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (Intergovernental Panel on Climate Change, IPCC) telah menggariskan deklarasi bahawa peningkatan suhu global adalah disebabkan oleh pengaruh antropogenik, iaitu peningkatan gas rumah hijau yang berasal daripada aktiviti manusia.

Berdasarkan kadar perubahan dalam pembebasan gas rumah hijau, maka suhu purata global akan meningkat sebanyak 1 hingga 6 darjah Celcius pada dekad ini ,jika dibandingkan pada tahun 1990 hingga 2000. Selain IPCC AR4, terdapat juga kajian-kajian lain yang memberi amaran bahawa peningkatan ini boleh menyebabkan kerosakan kepada ekologi, ekonomi dan sosial.

Rekod sampel teras dari kutub selatan, jadual pasang-surut laut, dan kebelakangan ini, pengukuran satelit telah menunjukkan kenaikan purata paras laut dunia sebanyak 10 hingga 20 sentimeter dalam abad ini. Tetapi, sejak 20 tahun kebelakangan ini, kadar peningkatan tahunan telah mencecah 3.2 milimeter setahun, hampir dua kali ganda purata kelajuan untuk baki 80 tahun sebelum itu.

Pada abad yang lalu, pembakaran bahan api fosil, aktiviti-aktiviti manusia dan semula jadi telah melepaskan banyak gas yang memerangkap haba ke dalam atmosfera. Pelepasan gas-gas ini telah menyebabkan suhu permukaan Bumi semakin meningkat. Lautan memainkan peranan dengan memerangkap dan menyimpan 80 peratus daripada haba-haba yang berlebihan ini.


Kenaikan paras laut dikaitkan kepada tiga faktor utama, yang semuanya disebabkan oleh perubahan iklim dunia dan pemanasan global:

Pengembangan haba: Apabila air dipanaskan, ia akan mengembang. Hampir separuh daripada kenaikan paras laut dalam beberapa abad yang lalu disebabkan oleh suhu laut yang lebih panas dan memerlukan lebih banyak ruang. Apabila ini berlaku, ia menyebabkan paras laut meningkat.

Kecairan Glasier dan Litupan Ais di Kutub: Biasanya glasier dan litupan ais akan cair pada kadar yang tetap pada musim panas. Apabila tiba musim sejuk, salji yang dihasilkan daripada air laut yang menguap, akan mengimbangi kembali kadar kecairan. Semenjak kebelakangan ini, suhu tinggi yang berpanjangan hasil daripada pemanasan global telah menyaksikan kadar kecairan salji yang lebih cepat dan tinggi. Selain itu kecairan salji juga disebabkan oleh musim sejuk yang lewat dan musim bunga yang tiba lebih awal. Ketidakseimbangan ini telah memberi kesan kepada pengaliran lawan penguapan di laut, dan kesannya ialah kenaikan paras laut.

Kelesapan Ais di Greenland dan Antartika Barat: Untuk glasier dan litupan ais, kenaikan suhu telah mempercepatkan kecairan litupan ais yang besar di Greenland dan Antartika. Ahli sains juga percaya bahawa ais yang cair di permukaan dan lautan di bawah litupan ais sedang mengalami kecairan pada kadar yang lebih cepat.

Akibat-akibat

Semasa paras laut meningkat pada kadar yang cepat, penambahan yang sedikit akan mendatangkan kesan yang buruk kepaa habitat di pesisiran pantai. Jika air laut memasuki kawasan yang lebih dalam di pedalaman, ia akan menyebabkan hakisan, pembanjiran kawasan seperti kawasan paya bakau dan tumbuhan di tepi sungai, pencemaran di kawasan tadahan air tawar dan kawasan penanaman, kehilangan habitat burung, ikan dan juga tumbuh-tumbuhan.

Apabila ribut besar melanda dan air laut berada yang paras lebih tinggi, maka ia akan menyebabkan ribut yang lebih besar dan berkemampuan untuk memusnahkan apa sahaja yang berada di laluannya.

Selain itu, berjuta-juta orang yang tinggal di kawasan tersebut akan terdedah kepada banjir kilat. Kenaikan paras laut yang tidak terkawal akan memaksa mereka meninggal tempat tinggal mereka dan berpindah ke tempat yang lain. Pulau-pulau kecil seperti Maldives dan Tuvalu akan ditenggelami air sepenuhnya.

Apakah tahap ketinggian yang mungkin berlaku jika pemanasan global berlarutan?

Kebanyakan ramalan dan kajian telah mengesahkan bahawa pemanasan global akan berlarutan dan kian memberi kesan yang buruk. Paras laut dijangka akan terus meningkat, tetapi kadar peningkatannya sukar untuk diramal. Dalam satu kajian yang telah dijalankan, paras laut akan naik sebanyak 0.8 hingga 2 meter pada tahun 2100, yang cukup untuk menenggelamkan banyak bandar di pesisiran pantai di seluruh dunia. Di samping itu, sekiranya litupan ais di Greenland telah cair sepenuhnya, maka paras laut dunia akan naik sebanyak 7 meter. Keadaan ini boleh menyebabkan bandar-bandar besar seperti New York, London, Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain ditenggelami air sepenuhnya.

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia
19 Mei 2010

Dalam beberapa dekad ini, Malaysia telah menyaksikan pembangunan yang pesat dalam sektor pengangkutan berbanding dengan negara-negara ASEAN yang lain. Di Kuala Lumpur dan Lembah Klang, kadar peningkatan kereta adalah paling tinggi berbanding dengan kawasan-kawasan yang lain. 

Berdasarkan laporan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, hanya 20 peratus penduduk Kuala Lumpur yang menggunakan pengangkutan awam. Keadaan ini telah menyumbang kepada penambahan jumlah kereta di jalan raya dan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran.

“Walaupun hanya berbeza beberapa darjah sahaja, namun itu pun sudah sangat serius, tetapi kita boleh menyesuaikan diri. Hakikatnya, proses pemanasan mungkin berlarutan dan menjadi tidak stabil. Kita mungkin akan hidup bagaikan berada di atas permukaan planet Venus, diselubungi oleh awan dan suhu permukaan yang mencecah sehingga 400 darjah celsius. Sudah terlambat jika kita menunggu sehingga kesan-kesan pemanasan global semakin nyata. Kita perlu bertindak segera untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida.” Professor Stephen Hawking, Lucasian Professor of Mathematics, Cambridge University

Karbon dioksida (CO2) merupakan gas rumah hijau (GHG) yang menyumbang kepada perubahan ilkim yang disebabkan oleh pelepasan karbon yang tidak terkawal ke atmosfera sejak revolusi perindustrian dan penemuan minyak petrol. Kesan rumah hijau berlaku disebabkan oleh penebalan atau peningkatan kandungan GHG di atmosfera yang menghalang haba-haba meresap ke luar angkasa. Tatkala kesan rumah hijau ini telah menjadi satu lapisan ‘selimut’, ini menyebabkan purata suhu Bumi meningkat.


Dari mana datangnya gas rumah hijau (GHG)?

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Australia Greenhouse Office, didapati bahawa penyumbang utama pelepasan gas rumah hijau adalah pengguna sendiri, yang menyumbang sebanyak 30 peratus daripada jumlah pelepasan karbon. Selain itu, negara yang menduduki tempat teratas dalam pelepasan karbon per kapita adalah Qatar yang melepaskan sebanyak 60 ton GHG dalam setahun. Malaysia pula menduduki tempat ke-56.

Apakah yang kita boleh lakukan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menuju ke arah tanpa karbon?

Untuk mencapai tujuan ini, kunci kejayaan ialah mengurangkan dari segi penggunaan dan meningkatkan kecekapan. Antara cara-cara itu ialah:

a) Alat-alat

 

Gunakan peralatan elektrik daripada model yang jimat tenaga yang berkecekapan tinggi. Semak penarafan bintang dan kecekapan dalam label peralatan elektrik.
Basuh pakaian. Hanya menggunakan mesin basuh apabila telah dipenuhi dengan pakaian. Basuh dengan menggunakan air sejuk dan mesin daripada jenis yang jimat air dan tenaga.
Sidai pakaian. Gunakan ampaian kain jika boleh.
Tutupkan televisyen apabila tidak ada orang menonton.

b) Pemanasan dan penyejukan

Pasang penebat haba pada siling dan dinding.
Menyediakan penggelapan luaran dan dalaman untuk cermin.
Memaksimumkan penggunaan kipas dan kurangkan penggunaan pendingin hawa.
Mengurangkan masa dan penggunaan air panas semasa mandi. Gunakan pancuran yang beraliran rendah.
c) Lampu

Gunakan mentol lampu kelimantang (CFLs) dan lampu LED.
Tutupkan bila tidak menggunakan lampu.

d) Perjalanan

Setiap kilometer perjalanan menggunakan kereta, melepaskan GHG sebanyak 500g. Berjalan, mengayuh basikal dan menggunakan pengangkutan awam adalah lebih mesra alam berbanding daripada kereta.
Beli jenis kereta yang mesra alam.
Memandu dengan cekap.
Mengurangkan bilangan menaiki kapal terbang.

e) Beli kredit karbon untuk GHG sendiri.

Kredit karbon merupakan pasaran baru dan tidak dikawal dengan berkesan lagi. Soalan-soalan yang perlu dituju kepada penyedia atau pemborong karbon kredit (carbon offset):
Apakah projek-projek atau aktiviti yang saya perlu bayar?
Adakah skema ini diaudit secara berdikari dan disahkan?
Adakah pelepasan GHG akan berkurang walaupun saya tidak beli karbon kredit?
Berapakah harga seton karbon yang dijimatkan?
Apakah kebaikan alam sekitar atau sosial yang skema anda boleh tawarkan?

(Sumber: CHOICE, November 2007)

Di Malaysia, karbon kredit (carbon offset) masih sukar didapati dan syarikat-syarikat yang menawarkan tawaran ini ialah Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan juga Firefly. Kedua-dua syarikat penerbangan ini menawarkan pengurangan karbon secara sukarela berdasarkan jarak perjalanan. Semua dana yang diperolehi menerusi sistem ini akan digunakan untuk menolong program-program di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelamatkan hutan hujan tropika di Malaysia. Program-program diurus oleh Institusi Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) di bawah pengawasan Kementerian Sumber Alam and Alam Sekitar (NRE).

Kesimpulannya, sikap dan amalan pengguna-pengguna di Malaysia mahupun di dunia perlu berubah dalam aktiviti harian mereka. Dengan mengurangkan pelepasan karbon dan jejak karbon, satu kehidupan tanpa karbon akan tercapai untuk generasi akan datang.

(Diedit dan diterjemahkan daripada artikel dalam majalah CHOICE, Australia isu November 2007)

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia
29 April 2010

Pada tahun 2007, Laporan Ke-empat Panel Antara Kerajaan Untuk Perubahan Iklim (Intergovernmental Panel on Climate Change, IPCC) telah mengesahkan bahawa iklim sedang berubah dan pemanasan buatan manusia telah mempengaruhi sistem fisikal dan biologi dunia. Semasa abad ke-20, purata suhu sedunia telah meningkat sebanyak 0.6 ± 0.2 darjah Celcius, litupan salji berkurang sebanyak 10 peratus dan paras laut meningkat pada purata kadar sebanyak 1 hingga 2 millimeters setiap tahun.