Penggunaan kad kredit sudah menjadi kelaziman dalam kalangan masyarakat kini. Kad kredit merupakan satu kaedah pembayaran yang membolehkan pengguna membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai. Kad plastik ‘ajaib’ ini membolehkan kita membeli secara kredit dengan had maksimum yang boleh dicaj.
Apabila seseorang pengguna menggunakan kad kredit, pengeluar kad kredit akan membayar kepada peniaga terlebih dahulu bagi pihak pengguna dan kemudiannya meminta bayaran daripada pemegang kad kredit dalam bentuk penyata bulanan.
Frank MacNamara memperkenalkan konsep kad kredit ini pada tahun 1950 dengan tujuan untuk memudahkan pembayaran. Pada ketika itu hanya golongan kelas atasan sahaja yang mampu menggunakan kad kredit. Tetapi pada masa sekarang semua golongan memiliki sekurang-kurangnya satu kad kredit untuk kegunaan mereka.
Ramai orang berpendapat bahawa kad kredit adalah simbol kemewahan dan harus dimiliki oleh mereka. Sebaliknya, kini kad kredit ini telah menjadi seolah-olah ”ceti teknologi” kerana ia boleh menyebabkan pemegangnya terjebak dalam masalah hutang.
Menurut sumber yang dipetik daripada Bank Negara Malaysia(BNM), sebanyak 8.8 juta kad kredit dikeluarkan oleh institusi kewangan di seluruh negara dengan purata setiap pemilik mempunyai 3 kad kredit. Memang jumlah ini agak lebih daripada keadaan biasa. Pada hakikatnya, kira-kira 30 peratus kes muflis melibatkan pemegang kad kredit. Hampir kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis ialah eksekutif muda yang berusia bawah 30 tahun.
Menurut statistik yang diperolehi oleh BNM, jumlah hutang kad kredit ini bertambah 20 peratus pada setiap tahun. Dengan kadar faedah 1.5 peratus sebulan. Bank-bank Malaysia dengan mudah mendapat keuntungan faedah berjumlah RM159 juta setiap tahun tidak termasuk caj-caj untuk perkhidmatan lain seperti caj pengeluaran tunai (5%) dan caj lambat bayar (RM5).
Kita perlu berfikir kenapa keadaan sedemikian berlaku dalam masyarakat kita terutama dalam kalangan golongan muda. Antara faktor yang utama adalah sikap mengambil mudah terhadap hutang. Ramai orang berbelanja sesuka hati dan melepasi had yang ditetapkan.
Sikap keangkuhan dan berlebih-lebihan inilah yang menjerat diri sendiri dalam kancah hutang yang berpanjangan dan tidak berkesudahan. Disebabkan ingin menunjuk-nunjuk, ramai pemilik kad kredit berbelanja tanpa ada sebarang tujuan atau bajet. Sebenarnya mereka yang memiliki sifat seperti ini akan berbelanja kepada perkara yang tidak penting.
Kelonggaran dan galakan yang diberikan oleh pihak kerajaan serta institusi perbankan telah membolehkan semakin ramai rakyat negara ini memilik kad kredit. Mengikut peraturan yang dikuatkuasakan, seseorang yang berpendapatan RM1,500 sebulan layak untuk memiliki kad kredit. Tujuannya adalah untuk menggalakkan pertumbuhan sektor kredit yang terjejas teruk ekoran daripada kegawatan ekonomi yang sedang melanda negara kita.
Di samping itu, Bank Negara Malaysia juga telah menurunkan kadar caj minimum kad kredit daripada 2% kepada 1.5% sebulan menjadikannya tidak lebih 18% setahun. Caj bayaran lewat pula ditetapkan tidak lebih daripada 1% dikira atas jumlah yang tertunggak. Fenomena ini menyebabkan ramai orang membuat permohonan untuk mendapatkan kad plastik ini. Dengan adanya kad kredit mereka boleh berbelanja tanpa menggunakan wang saku mereka.
Masyarakat harus mengambil langkah yang berkesan untuk mengatasi masalah ini kerana status muflis dan hutang dipandang hina dalam masyarakat dan hilang kelayakan dalam hal-hal tertentu. Pihak kerajaan harus mengawal pengeluaran kad kredit dan mengawasi penawaran agensi-agensi perbankan terhadap kad kredit.
Had minimum kelayakan perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM3500 ke atas. Kelayakan yang ditetapkan sekarang ini terlalu rendah dan tidak sejajar dengan peningkatan kos hidup rakyat negara ini. Membenarkan golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kad kredit hanya akan mendedahkan mereka kepada beban hutang yang melampau.
Pemilik kad kredit perlu menyedari kesan penggunaan kad kredit tanpa batasan akan membawa banyak masalah yang tidak diingini. Bagi mengelakkan masalah hutang ini, pemilik kad kredit ini hendaklah berbelanja dengan bijak dan sentiasa berhati-hati dalam perbelanjaan harian yang melibatkan kad kredit.
SHANMUGAPRIYA MOHAN
ERA Consumer Malaysia
6 Jun 2010