Laporan Kajian Ke-Empat (AR4) oleh Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (Intergovernental Panel on Climate Change, IPCC) telah menggariskan deklarasi bahawa peningkatan suhu global adalah disebabkan oleh pengaruh antropogenik, iaitu peningkatan gas rumah hijau yang berasal daripada aktiviti manusia.
Berdasarkan kadar perubahan dalam pembebasan gas rumah hijau, maka suhu purata global akan meningkat sebanyak 1 hingga 6 darjah Celcius pada dekad ini ,jika dibandingkan pada tahun 1990 hingga 2000. Selain IPCC AR4, terdapat juga kajian-kajian lain yang memberi amaran bahawa peningkatan ini boleh menyebabkan kerosakan kepada ekologi, ekonomi dan sosial.
Menurut sebuah kajian oleh Worrell, sektor industri menyumbang sebanyak 37% kepada pembebasan gas rumah hijau (GHG) global. Dalam masa terdekat ini, kecekapan tenaga boleh dikatakan cara paling penting dan berkecekapan kos dalam mengehadkan pembebasan gas rumah hijau daripada sektor industri. Worrell juga menerangkan potensi kecekapan tenaga di sektor industri dalam bentuk teknologi dan polisi untuk mengurangkan penggunaan tenaga.
Beliau menyimpulkan bahawa sehingga tahun 2030, pembebasan gas rumah hijau oleh sektor industri berpotensi untuk dikurangkan sebanyak 10-40%. Namun begitu, beliau mengakui bahawa terdapat beberapa faktor yang tidak dapat dipastikan yang menyukarkan anggaran ini dibuat secara lebih komprehensif.
Satu lagi sektor yang membebaskan gas rumah hijau yang banyak adalah sektor pengangkutan. Kobayashi menerangkan potensi untuk meningkatkan kecekapan bahan api dan menyimpulkan bahawa kemajuan teknologi boleh meningkatkan kecekapan enjin petrol dan diesel sebanyak 50% antara tahun 2035 hingga 2050.
Dalam keadaan trafik yang sesak seperti di Kuala Lumpur, kenderaan membebaskan lebih banyak gas rumah hijau berbanding dengan pergerakan biasa kenderaan. Oleh itu langkah bagi mengurangkan kesesakan lalu-lintas merupakan sumbangan yang besar terhadap mencapai kecekapan bahan api yang lebih tinggi. Tambahan pula, peningkatan kecekapan sebanyak 5-20% dapat dicapai dengan operasi kenderaan yang baik seperti penggunaan tayar yang sesuai, angin tayar yang mencukupi dan perancangan perjalanan yang baik.
Untuk sektor domestik pula, Murakami dan lain-lain telah menunjukkan bahawa terdapat banyak cara yang murah dan mudah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pembebasan gas karbon dioksida. Di Jepun, perubahan sikap untuk mengurangkan penggunaan tenaga seperti menetapkan suhu penyaman udara pada 26°C di pejabat dan mencadangkan pekerja pejabat tidak memakai kot dan tali leher pada musim panas, dapat mengurangkan pembebasan karbon dioksida sehingga 60% dibandingkan pada tahun 1990.
Namun begitu, tidak banyak kajian yang dijalankan ke atas potensi sektor pertanian. Namun begitu, penggunaan tenaga yang paling banyak dalam sektor ini dikenal pasti sebagai motor yang digunakan untuk proses pengairan tanaman atau proses pengepaman yang lain, mesin-mesin seperti traktor dan sebagainya, dan penetapan keadaan simpanan seperti suhu kandang haiwan dan tanaman. Kajian yang lain juga mendapati bahawa sekiranya teknologi yang baru dapat digunakan, 500 juta tan karbon dioksida akan dapat dikurangkan.
Ahmad Faiz Abdul Razak
Jurutera Eksekutif, WECAM
1 Jun 2010