Cadangan Kementerian Kesihatan untuk menaikkan harga rokok bagi pek 20 batang sehingga RM50.00 memang wajar diberikan pertimbangan.

Langkah ini bagi memastikan golongan seperti pelajar sekolah dan remaja tidak mampu membelinya dan diharapkan secara beransur-ansur akan menghentikan tabiat merokok jika mereka telah menghisap rokok.


Namun begitu, di pasaran masih dijual rokok dalam pek kurang daripada 20 batang. Harga bagi pek tersebut juga perlu dikaji supaya harganya juga tinggi. Jika ini tidak dilakukan, mungkin ada  syarikat rokok yang sengaja mengeluarkan pek di bawah 20 batang yang mungkin tidak termasuk dalam peraturan harga minimum rokok.

Dalam masa yang sama, kerajaan perlu bersikap tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan di kawasan zon larangan merokok, yang pada masa ini berjumlah 22 tempat, antaranya semua kaki lima kompleks beli-belah, restoran dan kafe terbuka di luar premis berkenaan, pekarangan bangunan kerajaan, dalam pejabat, hospital, hotel, sekolah, pusat beli-belah dan stesen bas dan sebagainya.

Tindakan penguatkuasaan perlu disepadukan oleh semua pihak penguatkuasa yang ada, seperti polis, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain.

Pengguna juga perlu bersikap tegas terhadap penghisap rokok yang tidak mematuhi zon larangan merokok dengan menegur mereka. Lebih banyak papan tanda diletakkan di kawasan zon larangan merokok.
 
Mohd Yusof Abdul Rahman
21 Januari 2010


Harga rokok mungkin RM50

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Kementerian Kesihatan sedia mengkaji cadangan untuk menetapkan harga rokok pada kadar yang lebih tinggi sehingga RM50 bagi pek 20 batang rokok.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pada prinsipnya, harga yang mahal memang diharapkan dapat mengurangkan keupayaan orang ramai untuk membeli dan seterusnya merokok.

''Sebelum ini Kementerian Kesihatan telah berusaha melakukan pelbagai cara supaya perokok tegar dapat meninggalkan tabiat buruk itu selain mengajak kanak-kanak dan remaja supaya benci kepada tabiat itu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan orang ramai supaya sekotak rokok yang mengandungi 20 batang dijual pada harga RM30 hingga RM50 supaya tidak mampu dibeli terutama golongan remaja.

Rosnah berkata, pihaknya juga bersedia mengkaji cadangan supaya kotak rokok dilitupi sepenuhnya dengan paparan amaran kesihatan manakala jenama rokok hanya dicetak pada saiz yang kecil pada sisi kotak.

Bagaimanapun, jelas Rosnah, sebelum itu kementerian terlebih dahulu terpaksa mengambil kira peraturan yang ditetapkan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata, sebab itu apa yang lebih penting ialah penyertaan masyarakat dalam usaha mengurangkan tabiat merokok kerana penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak cukup untuk atasi tabiat ini.

''Peranan yang dimainkan oleh media seperti Utusan Malaysia dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu merokok sangat kami hargai,'' katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, adalah kurang tepat untuk menyimpulkan yang kementerian gagal dalam usaha mengurangkan tabiat merokok.

Katanya, lebih-lebih lagi jika pandangan itu dibuat selepas hanya beberapa pemerhatian mudah dan bukannya melalui penyelidikan saintifik yang berwibawa.

''Hasil dua tinjauan besar yang dijalankan oleh pada tahun 1996 dan 2006, iaitu Tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan 2 & 3, kadar merokok sebenarnya telah menurun sebanyak lebih dua peratus.

''Justeru kementerian juga tidak bercadang untuk menutup atau memansuhkan kesemua 270 Klinik Berhenti Merokok di seluruh negara yang dikatakan gagal mencapai matlamatnya.

''Malah dalam perancangan kementerian di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), klinik itu akan diintegrasikan ke dalam perkhidmatan lain yang disediakan oleh klinik-klinik kesihatan di seluruh negara,'' katanya.

Sumber berita: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm