Cadangan Polis Diraja Malaysia agar peminjam ceti haram dikenakan tindakan perlu diberikan perhatian yang serius oleh pihakj kerajaan. Langkah ini merupakan salah satu usaha bagi membanteras kegiatan ceti haram ini. Ini memandangkan kesukaran untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap ceti haram ini yang sebahagiannya berlindung di sebalik syarikat pemberi pinjam wang berlesen. Apatah lagi peminjam yang menggunakan khidmat ceti ini sedia maklum tentang kadar faedah tinggi yang dikenakan, di samping tindakan yang bakal diambil sekiranya mereka gagal menjelaskan pinjaman tersebut.

Dalam masa yang sama juga pihak berkuasa perlu terus memantau dan mengambil tindakan terhadap ceti haram ini. Ini termasuklah permantauan terhadap syarikat pemberi pinjam wang yang berlesen yang turut beroperasi seperti ceti haram.  Ini kerana mereka boleh mengenakan kadar faedah yang tinggi. Menurut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, kaedar faedah yang boleh dikenakan adalah 12 peratus setahun bagi pinjaman berjaminan, atau 18 peratus setahun bagi pinjaman tanpa jaminan. 


Memang tidak dinafikan ada dalam kalangan peminjam wang ini terdiri daripada mereka yang amat terdesak untuk mendapatkan sejumlah wang tertentu, telah mendapatkan khidmat ceti haram ini. Ini disebabkan kesukaran mereka mendapatkan wang melalui saluran yang sedia ada, seperti syarikat kewangan, koperasi dan sebagainya.

FOMCA mencadangkan agar syarikat-syarikat kewangan, koperasi atau badan-badan tertentu seperti Bank Islam, Bank Rakyat, YPEIM dan sebagainya mewujudkan tabung pinjaman tanpa faedah atau Qardhul Hassan untuk membantu golongan yang terdesak ini.

Selain daripada itu, bagi memastikan pemberian lesen dan penguatkuasa terhadap pemberi pinjaman yang berlesen ini dilakukan secara terkawal, FOMCA mencadangkan agar Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 ini, yang sekarang ini di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dipindahkan kepada Kementerian Kewangan, ataupun disepadukan di bawah akta baru yang perlu diwujudkan, iaitu Akta Kredit Pengguna, yang menggabungkan dua akta yang berkaitan kewangan yang lain seperti Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 Dan Akta Sewa Beli 1967. Akta ini diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Sebenarnya cadangan mewujudkan Akta Kredit Pengguna ini telah lama diutarakan oleh FOMCA, namun masih belum mendapatkan maklum balas yang baik daripada pihak kerajaan.

FOMCA merasakan cadangan ini perlu diberikan perhatian memandangkan kegagalan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengendalikan akta-akta di bawah bidang kuasanya seperti Akta Pemegang Pajak Gadai Dan Akta Pemberi Pinjam Wang di samping kelemahan penguatkuasaan oleh Kementerian tersebut.