KERAJAAN akan memperjelaskan lagi definisi pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dan skim piramid dalam pindaan akta Jualan Langsung 1993. Pindaan ini amat wajar sekali kerana pengguna masih terus-menerus diperdaya oleh skim ini.

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewajibkan semua syarikat jualan langsung mendapatkan lesen sebelum menjalankan menjalan operasi jualan langsung. Namun begitu, biasanya pelan pemasaran yang dilaksanakan tidak sama seperti yang diserahkan semasa memohon lesen.

 

Justeru, banyak syarikat ini yang memperdaya orang ramai untuk menjadi ejen mereka dengan dakwaan lesen mereka telah diluluskan oleh KPDNKK.

Akhirnya mereka ini terjebak dengan menjadi ejen syarikat dengan terpaksa membeli sejumlah stok bagi memastikan mereka terus mendapat komisen atau poin tertentu pada setiap bulan. Mereka juga perlu menaja orang lain untuk menjadi ejen syarikat dengan menghadiri sesi penerangan yang diadakan secara berkala. 

Demikian juga dengan skim gores dan menang yang dijalankan oleh syarikat jualan langsung. Walaupun kerajaan telah mengharamkan pada 3 Disember 2007, namun skim ini masih berterusan sehingga kini dengan pelbagai taktik yang mengelirukan pengguna. 

Kebanyakan syarikat yang menjalankan perniagaan ala skim piramid dan gores dan menang ini beroperasi tanpa mempunyai lesen jualan langsung daripada KPDNKK. Ini diakui oleh pihak Kementerian yang menyebabkan mereka terpaksa meminda akta ini kerana kesukaran mengambil tindakan di bawah akta sendiri terhadap syarikat tersebut.

Begitu juga dengan kewujudan skim cepat kaya yang masih berleluasa, walaupun umum mengetahui skim ini diharamkan oleh kerajaan. Masih banyak risalah yang diedarkan melalui tempat-tempat awam, termasuk tempat-tempat ibadat, untuk menarik orang ramai menyertai skim ini. 

Tindakan tegas bukan sahaja dikenakan kepada mereka yang menganjurkan skim ini, tetapi juga kepada mereka yang aktif memasarkan dan memujuk orang ramai untuk menyertai skim ini.

Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terperdaya dengan skim seperti ini. Nasib mereka mungkin tidak sebaik sebagaimana yang dialami oleh pelabur SwissCash yang mendapat balik sebahagian daripada wang pelaburan mereka, disebabkan penganjur skim pelaburan tersebut bersedia untuk membayar balik sebanyak RM31 juta hasil daripada tindakan Suruhanjaya Sekuriti. 

Biasanya wang mereka akan lebur begitu sahaja apabila penganjur dikenakan tindakan undang-undang atau menghilangkan diri.

Justeru, kerajaan perlu mewujudkan peraturan yang tegas dalam Akta Jualan Langsung bagi memastikan tidak ada lompang (loopholes) yang boleh digunakan oleh syarikat jualan langsung untuk terus memperdayakan pengguna.

MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN
1 Februari 2010