Sebagai pengguna kita sememangnya menerima hakikat kenaikan kos bahan api fosil berterusan disebabkan kewujudannya yang terhad. Tambahan pula, kecekapan industry tenaga dari segi pengstrukturan, ekonomi dan operasi memainkan peranan yang sangat penting.
Dalam keadaan yang tidak jelas bagi proses penetapan tariff di Malaysia, pelbagai pihak akan mewujudkan suasana yang kelam-kabut dan mengelirukan. Perkara paling asas yang perlu dilakukan adalah penggabungan sektor-sektor yang berkaitan tenaga sebagai satu agensi. Ini dengan jelasnya akan memastikan agensi ini mengambil tanggungjawab sepenuhnya. Ini merupakan perkara penting untuk memastikan Jaminan Tenaga (Energy Security) di Malaysia. Sabah dan Sarawak mesti termasuk dalam proses ini.
Keduanya, Ketua Audit Negara mesti mengaudit TNB dan penjana bebas (IPP). Proses audit ini mesti dilakukan untuk setiap pengajian semula tariff dan keputusan audit perlu dimaklumkan kepada semua. Ini akan memastikan industri adalah cekap dan pengguna memainkan peranan dalam proses pengajian semula tarif.
Ketiga, undang-undang perlu diperketatkan dan digabungkan untuk melindungi kepentingan pengguna dan industri. Apabila kita melihat kepada contoh di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, ia mempunyai proses pengajian tarif yang jelas, tetapi sektor tenaga tidak mempunyai proses sebegini. Proses juga akan memastikan Perbelanjaan Modal (Capital Expenditure - Capex) dan Perbelanjaan Operasi (Operational Expenditure - Opex) yang lebih telus. Penguatkuasaan dari segi teknikal dan ekonomi adalah penting untuk memastikan kesinambungan industri tenaga yang menjadi tulang belakang negara.
Keempat, margin simpanan (reserve margin) sepatutnya dipastikan berada di antara 25 hingga 35 %. Ini juga akan menyebabkan penutupan loji-loji yang tidak efisyen dan keperluan untuk pelaburan semula untuk meningkatkan kecekapan. Margin simpanan sekarang adalah melebihi 50% dan ini akan menyebabkan pembaziran. Pembaziran ini seterusnya disalurkan kepada pengguna sebagai tarif. Di samping kita ‘menggunakan’ model penyelesaian negara luar, kita perlu memastikan ia dapat berfungsi di Malaysia.
Sebagai langkah terakhir, kumpulan pertama Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement - PPA) akan tamat tidak lama lagi. Ini merupakan peluang kepada kerajaan untuk memperbaiki kesilapan terdahulu. Industri tidak akan melakukan perniagaan tanpa keuntungan, kebolehan mereka untuk mendapatkan keuntungan tidak sepatutnya menjadi kerisauan agensi-agensi kerajaan. Kerisauan mereka adalah sepatutnya dalam memastikan tarif yang berpatutan dan melindungi kepentingan pengguna.
Malaysia juga akan menjadi pengimport sepenuhnya bahan api dengan kadar penggunaan sekarang. Agensi-agensi kerajaan sepatutnya berganding bahu untuk menggabungkan sektor tenaga untuk melindungi pertumbuhan negara san rakyat.
Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)