PETALING JAYA, 5 FEB – Kerajaan gagal memberikan penjelasan tentang ketirisan yang berlaku dalam perbelanjaan kerajaan sebanyak RM28 bilion. Ini ditegaskan oleh Datuk Seri Shahrir Abdul Samad, Ahli Parlimen Johor Bahru ketika berucap merasmikan portal berita KonsumerKINI, pada hari ini di Petaling Jaya.

Beliau, yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, seterusnya menyatakan, ketirisan perbelanjaan ini telah dilaporkan oleh akhbar berbahasa Inggeris pada bulan Oktober 2009, dengan memetik kenyataan daripada Menteri Kewangan Kedua dan Laporan Ketua Audit Negara.


Kerajaan, ujar beliau, perlu menggunakan semua saluran komunikasi yang ada untuk menjelaskan kepada  rakyat tentang ketirisan atau pembaziran tersebut agar tidak wujud kekeliruan atau ia boleh digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan politik.

Dalam hal ini kerajaan perlu mempunyai dasar tertentu dalam menyebarkan sesuatu maklumat tentang dasar dan peraturan yang dilaksanakan. 

”Kerajaan sudah tentu mempunyai maklumat sebelum sesuatu dasar atau peraturan itu dibuat. Maklumat itu perlu dikongsi bersama-sama oleh rakyat, termasuk pegawai kerajaan, penghulu dan ketua kampung. Apabila mereka mempunyai maklumat yang cukup, mereka dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya tentang dasar kerajaan,” tambah beliau lagi.

Begitu juga penjelasan tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada tahun 2011 dan penstukturan subsidi petrol pada Mei 2010. Rakyat perlu diberikan maklumat tentang perlaksanaan dasar-dasar ini supaya mereka tahu apa yang sebenarnya hala tuju kerajaan.

Beliau selanjutnya berkata, usaha FOMCA mewujudkan KonsumerKINI sesuatu yang amat baik bagi menyalurkan maklumat dan kesedaran kepenggunaan agar pengguna dapat membuat keputusan yang bijak dalam perbelanjaan mereka.

Mohd Yusof Abdul Rahman
5 Februari 2010