Kini terdapat banyak mesin (vending machine) yang menjual air yang diletakkan di serata tempat, khususnya di kaki lima, pasar raya, hentian bas dan sebagainya. 

Biarpun begitu, banyak aduan diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) tentang mesin air ini seperti mesin tidak disenggara dengan baik, air tidak bersih, air tidak keluar walaupun bayaran telah dibuat dan lain-lainnya.


Seseorang yang ingin menjalankan perniagaan menjual air kepada orang awam mempunyai tanggungjawab yang berat, terutamanya berkaitan dengan isu keselamatan produk. Justeru, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (AIPA) mewajibkan seseorang yang ingin menjalankan perniagaan ini perlu memiliki lesen.

Isu lain yang timbul daripada perkhidmatan mesin air ini ialah air yang digunakan bukan sumber air yang sah. Biasanya mesin air tersebut menggunakan sumber air daripada pemilik premis, iaitu tempat mesin air itu terletak.

Pemilik premis pula mendapatkan air daripada pembekal air berlesen sebagainya contoh, SYABAS di Selangor), air hujan, perigi dan sebagainya. Dalam hal ini , pengumpulan air sendiri ataupun dikenali sebagai sistem bekalan air persendirian oleh pemilik premis hanya boleh digunakan untuk tujuan kegunaan persendirian sahaja. Apabila pemilik premis menjual air kepada orang awam, dalam kes ini, kepada pemilik mesin air, maka pemilik premis telah melakukan satu kesalahan di bawah AIPA kerana tidak memiliki satu lesen individu untuk pembekalan dan penjualan air kepada awam. 

Begitu juga, pemilik mesin tidak memiliki satu lesen kelas untuk pembekal dan pengagihan air kepada awam. Oleh itu, kedua-dua pihak telah pun melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4, AIPA.

Menurut Seksyen 121, AIPA pula, jika ada kematian yang disebabkan oleh sesuatu perkhidmatan air, maka orang yang bertanggungjawab dan disabitkan kesalahan, akan dikenakan hukuman mati.

Ketika proses penggubalan akta ini, perhatian yang serius diberikan terhadap perkara ini sehingga meletakkan hukuman yang begitu berat bagi kesalahan ini. 

Dalam hal ini, pihak-pihak yang berkaitan dengan pengawalseliaan bekalan air tidak begitu jelas tentang kewujudan masalah ini. Oleh itu, mereka telah membiarkan mesin air ini tumbuh dengan berleluasa, dengan memberikan lesen yang membolehkan ia beroperasi, terutamanya di kawasan bandar. 

NCCC dengan tegasnya mengesyorkan pihak berkuasa yang berkaitan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, supaya mengambil tindakan segera sebelum terlambat. Mesin-mesin air ini tidak sewajarnya beroperasi dan perlu ditutup dengan segera.

Walaupun, ada kemungkinan pihak-pihak tertentu yang akan terus  mengeluarkan lesen untuk mesin air ini, namun adakah terdapat jaminan bahawa keselamatan bekalan air daripada mesin ini terpelihara? Dalam hal ini, pihak berkuasa perlu memantau sumber air ini dan mengawalnya dengan ketat bagi mengelak daripada wujudnya pencerobohan daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Keprihatinan terhadap keselamatan bekalan air oleh pihak berkuasa menyebabkan Seksyen 121, AIPA digubal sedemikian rupa, iaitu mengenakan hukuman mati bagi pihak yang disabitkan kesalahan kerana menyebabkan kematian akibat penyediaan bekalan air yang tidak bersih! 

VASUDAVAN PERUMAL
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
1 April 2010