Cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengenakan denda yang berat bagi kesalahan jualan langsung dan gores dan menang amat dialu-alukan. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, cadangan itu akan dimasukkan dalam pindaan Akta Jualan langsung 1993 dalam persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.
Dalam pindaan tersebut, pihak yang disabitkan kesalahan melakukan aktiviti jualan langsung secara haram, akan dikenakan hukuman denda sehingga RM5 juta.
Selain itu, pihak yang terlibat dengan kegiatan gores dan menang pula boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta apabila disabitkan kesalahan.
Kedua-dua kegiatan ini memang berleluasa dan didapati menipu pengguna sehingga melibatkan kerugian yang berjumlah beribu-ribu ringgit.
Banyak perniagaan yang bertopengkan perniagaan jualan langsung atau perniagaan pelbagai tingkat (MLM) untuk mengelirukan pengguna agar masuk ke dalam perangkap penipuan mereka.
Syarikat MLM lebih berminat untuk mendapatkan ahli melalui penajaan bukannya untuk menjual produk. Ahli baru yang diminta menghadiri sesi penerangan lebih banyak diterangkan tentang kaedah mendapatkan penajaan, berbanding dengan pengetahuan mengenai produk yang dijual oleh syarikat tersebut. Ahli baru dikehendaki membeli sejumlah tertentu produk bagi membolehkan mereka mendapatkan mata yang melayakkan untuk mendapatkan bonus bulanan.
Begitu juga mereka akan menikmati mata sekiranya dapat menarik lebih ramai menjadi ahli baru. Jelas bahawa peniagaan ini menjadi ahli sebagai pembeli produk mereka secara tetap tanpa perlu memikirkan untuk mencari pembeli akhir untuk membeli produk tersebut.
Begitu juga dengan kegiatan gores dan menang yang telah diharamkan oleh kerajaan pada akhir tahun 2007. Namun sehingga kini kegiatan tersebut masih berleluasa.
Tindakan mengenakan denda yang lebih berat ini diharap dapat membendung gejala perniagaan yang tidak sihat ini. Dalam pada itu penguatkuasaan juga perlu diterus agar kegiatan pihak-pihak ini dalam dikekang.
Pengguna perlu memainkan peranan dan tanggungjawab mereka. Mereka tidak sewajarnya terlibat dalam kedua-dua kegiatan ini dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya dihubungi atau didekati oleh pihak-pihak yang menjalankan kegiatan ini. Mereka boleh menghubungi hotline 1-300-888-25 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di 03-7877 9000.
Mohd Yusof Abdul Rahman
5 April 2010