Usaha kerajaan untuk melarang penjualan rokok paket 14 batang amat wajar dilakukan.  Langkah ini bertujuan untuk membendung tabiat merokok, khususnya golongan pelajar dan remaja. 

Walaupun sebelum ini kerajaan telah meletakkan harga minimum bagi rokok berpaket 20 batang sebanyak RM6.40 pada 1 Januari 2010, namun begitu dengan adanya penjualan rokok berpaket 14 batang, yang tidak ditetapkan harga minimum, maka golongan ini beralih kepada rokok berpaket ini.


Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan untuk mengekang tabiat merokok rakyat Malaysia, namun sehingga kini masih gagal dilakukan. Malahan jumlah penghisap rokok semakin bertambah saban tahun.

Kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mengadakan kempen ”Tak Nak Merokok”. Begitu juga penggunaan grafik bahaya merokok pada pembungkusan rokok, turut tidak banyak membantu mengurangkan jumlah penghisap rokok.

Memang diakui agak sukar untuk menghentikan tabiat merokok, terutama mereka yang telah menjadi penghisap rokok tegar. Walau berapapun harga yang ditetapkan, pelbagai kempen diadakan dan apa jua grafik yang menakutkan digunakan, tetapi tidak dapat mengubah tabiat ketagihan tersebut.

Hanya apabila mereka menghidap penyakit yang disebabkan oleh menghisap rokok ini, seperti radang paru-paru, kanser, baharulah mereka hendak berhenti merokok. Pada masa itu semuanya sudah terlambat!.

Selain itu, kerajaan juga telah menetapkan 21 zon larangan merokok, namun bagi tidak diendahkan oleh penghisap rokok. Dalam hal ini masalahnya ialah kurangnya penguatkuasaan yang dilakukan. Usaha untuk melibatkan semua pihak penguatkuasa perlu dilakukan bagi mengatasi masalah ini, tidak hanya melibatkan penguatkuasa Kementerian Kesihatan sahaja.

Semua pihak perlu memainkan peranan dalam hal ini. Guru sekolah perlu diberi kuasa untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar sekolah mereka yang menghisap rokok di luar kawasan sekolah. 

Begitu juga promosi yang dilakukan oleh syarikat rokok, terutamanya pesta akhir tahun, yang telah menarik ramai golongan muda remaja menyertainya. Pemberian rokok secara percuma semasa pesta seumpama itu hendaklah diharamkan. 

Kerajaan perlu mempunyai perancangan agar pada satu peringkat rokok dianggap sebagai barang mewah kerana harganya yang terlalu tinggi. Hanya mereka yang berkemampuan sahaja boleh membelinya.

MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN
8 April 2010