Tindakan peruncit yang bernaung di bawah Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia untuk memboikot menjual tiga barang kawalan merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Tindakan memboikot ini sebagai bantahan kepada tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melaksanakan lesen penjualan barang kawalan kepada peruncit.


Pada awalnya, lesen tersebut dikenakan bayaran sebanyak RM10.00 bagi setiap permohonan, namun kemudiannya bayaran tersebut dimansuhkan. Kerajaan juga telah memberikan jaminan bahawa proses memperolehi lesen tersebut akan dipermudahkan bagi membantu peruncit mendapatkan lesen itu.

Perlaksanaan lesen runcit bagi barang kawalan dibuat ekoran daripada masalah bekalan barang kawalan, khususnya gula yang sedang melanda beberapa negeri di negara ini. Bagi tujuan memantau bekalan gula di peringkat runcit bagi memastikan gula yang dibekalkan tidak diselewengkan, seperti kegiatan menyorok atau menyeludup ke negara jiran, maka lesen runcit ini dilaksanakan.

FOMCA menyokong langkah KPDNKK melaksanakan lesen runcit bagi barang kawalan sebagai langkah untuk memastikan bekalan barang kawalan ini sentiasa mencukupi dipasaran. Namun begitu, langkah tersebut perlu dilaksanakan dengan berkesan bagi memastikan pengguna tidak berhadapan masalah untuk mendapatkan barang kawalan tersebut yang merupakan barang keperluan harian. Ia mungkin menjadi alasan untuk penjual tidak menjual barang tersebut kerana tidak mempunyai lesen runcit barang kawalan.

Dalam pada itu, pengguna diharap dapat menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna bagi menghadapi peruncit yang memboikot menjual barang kawalan ini. Jangan membeli barang yang dijual di kedai-kedai yang terlibat dengan boikot ini. Tindakan peruncit ini seolah-olah mereka turut bersekongkol dengan masalah bekalan gula yang berlaku pada masa ini.

Sewajarnya mereka bekerjasama dengan KPDNKK bagi mengatasi masalah bekalan gula yang sedang meruncing ini. Jika masalah ini disebabkan oleh pemborong yang membekalkan gula yang kurang daripada yang sepatutnya, laporkan kepada KPDNKK supaya tindakan dilakukan terhadap mereka.

Pada masa ini tiada pihak yang tampil untuk memberikan gambaran sebenar mengapakan masalah bekalan gula berlaku. KPDNKK, pengeluar, pemborong dan peruncit hanya mendiamkan diri sahaja. Pengguna yang menjadi mangsa kepada keadaan yang berlaku ini.

FOMCA berharap pihak-pihak yang berkenaan ini mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan bekalan gula kembali kepada sediakala.

Pengguna telah menerima hakikat tentang kenaikan gula sebanyak 20 sen pada awal tahun ini. Biarpun harga gula telah dinaikkan, masalah bekalan gula masih berlaku. Siapa yang menjadi `dalang’ krisis gula ini?

MOHD YUSOF BIN ABDUL RAHMAN
8 Jun 2010