Kejadian tumpahan minyak yang sering berlaku menunjukkan perlunya suatu langkah yang konkrit bagi melindungi kawasan tadahan air. Banyak kawasan pembangunan dilakukan sebelum kawasan tadahan air dikenal pasti. Lebih buruk lagi, pembangunan telah dilakukan di kawasan tadahan air dibangunkan.

Mengikut statistik, lebih daripada 90 % sumber air mentah yang dirawat untuk kegunaan air minuman adalah dari sumber air sungai ataupun empangan yang dibina di sekeliling kawasan tadahan air. Ini menunjukkan nilai air daripada sungai dan empangan amat tinggi sekali dan sebarang gangguan kepada aliran semula jadi sungai boleh menjejaskan jaminan tentang kedudukan air mentah ini sebagai sumber air minuman.


Berdasarkan pemerhatian dan kajian yang dilakukan terhadap perkara ini, FOMCA ingin mengutarakan beberapa pandangan bagi memastikan sumber air mentah ini terjamin kedudukannya.

Pertama, kawasan tadahan air hendaklah diwartakan sebagai kawasan simpanan tetap. Langkah ini tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri kerana hak terhadap hutan dan sumber air terletak di bawah kerajaan negeri. Melalui langkah ini, pembangunan tidak boleh dilakukan di kawasan ini. Sebagai contoh, jika terdapat sebuah lebuh raya terletak di kawasan tadahan air dan satu kemalangan terlalu berlaku yang menyebabkan sejumlah minyak atau bahan berbahaya tertentu telah mengalir ke dalam sungai ini, maka ia akan memberikan kesan secara serta-merta terhadap air dalam sungai tersebut.

Bagaimana pula, jika kemalangan ini tidak dilaporkan dan tumpahan ini tidak dapat dikesan oleh loji rawatan air minuman? Untuk menambahkan risiko, jika bahan kimia yang tumpah itu boleh memberikan kesan kepada kesihatan manusia, kemudian masuk ke dalam loji rawatan air dan seterusnya dialirkan ke dalam sistem perpaipan pengguna. Ini beberapa gambaran yang menunjukkan risiko yang bakal berlaku jika kawasan tadahan air tidak dilindungi.

Kedua, pada mulanya, jumlah industri dan air sisa yang dibuang ke dalam sungai adalah sedikit. Namun begitu keadaan telah berubah. Kepesatan sektor industri telah menyebabkan jumlah sisa yang dibuang ke dalam sungai telah meningkat dengan banyaknya, walaupun air sisa yang dibuang itu mematuhi standard yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Oleh itu, JAS hendaklah menyemak semula standard ini bagi memastikan standard ini lebih ketat lagi, yang juga akan merangkumi langkah pemantauan dan penguatkuasaan yang ketat.

Ketiganya, perlu diwujudkan satu pelan integrasi industri supaya sisa yang berguna dapat digunakan sebagai sumber. Melalui kaedah ini, keperluan untuk bahan mentah dapat dikurangkan dan juga meningkatkan pendapatan. Model-model seperti ini telah berjaya dilaksanakan di negara Eropah dan Jepun. Sebagai contoh, sisa kumbahan boleh dijadikan sebagai sumber untuk menghasilkan gas metana, baja dan bahan tambah dalam industri simen.

Akhirnya, kejadian yang berlaku seperti di Lebuhraya Karak dapat dielakkan jika halangan fizikal atau zon penampan (buffer) diwujudkan sebagai langkah keselamatan. Bagi tujuan ini, analisis risiko perlu dilakukan di kawasan-kawasan tadahan air. Langkah ini dimulai dengan kawasan tadahan air yang mempunyai risiko yang tinggi. Ini kerana, penutupan loji secara berterusan dan pembersihan yang terpaksa dilakukan akan meningkatkan kos pengendalian loji. Ia juga merupakan pembaziran yang ketara jika loji ini ditutup dan dipindahkan ke kawasan hulu sungai disebabkan oleh pencemaran.

Salah satu hak yang dituntut oleh pengguna adalah hak untuk mendapatkan persekitaran yang sihat dan selamat. Bagi melindungi sumber air mentah ini, kerjasama yang erat diperlukan di antara agensi kerajaan, industri dan rakyat.

Masa depan di tangan anda.

PIARAPAKARAN SUBRAMANIAM
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
26 Mei 2010