Cadangan Kabinet untuk memindahkan Parlimen dari Jalan Parlimen ke Putrajaya adalah satu tindakan yang tidak perlu. Menurut Datuk Nazri Abd Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Kabinet masih dalam perbincangan sama ada menaik taraf/menambah baik bangunan bersejarah itu pada RM150 juta ataupun memindahkan ke Putrajaya yang menelan kos pembinaan sebanyak RM800 juta.
Tujuan pemindahan tersebut disebabkan jumlah wakil rakyat yang semakin bertambah dan keadaan bangunan sedia ada yang telah usang. Walau bagaimanapun, bangunan itu tersebut akan diperbaiki dan dipelihara sebagai bangunan bersejarah.
Bangunan Parlimen ini telah diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan telah dirasmikan oleh Yang Dipertuan Agong yang ketiga, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, Syed Putra Al-Haj ibni Syed Hassan Jamalullail pada November 1963. Ia telah menjadi lambang demokrasi sejak itu.
Jika dilihat kepada angka RM800 juta berbanding RM150 juta, jelas amat ketara. Perbezaan sebanyak RM650 juta itu sudah tentu amat bermakna kepada rakyat sekiranya ia disalurkan kepada penambahbaikan sistem perkhidmatan pengangkutan awam, penjagaan kesihatan, jalan raya dan sebagainya. Bukankah itu yang sepatutnya dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri?
Putrajaya adalah simbol pentadbiran negara, manakala Parlimen sebagai simbol demokrasi dan keistimewaan Malaysia sebagai sebuah negara yang mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan dan keharmonian masyarakat majmuk.
Oleh itu cadangan ini perlulah dipertimbangkan dengan sebaiknya dengan harapan rakyat dapat memperolehi kebaikan daripada setiap keputusan kerajaan. Sesungguhnya negara yang hebat itu didukung oleh pemimpinnya yang hebat.
Azwa Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia, ERA Consumer Malaysia
16 Jun 2010