Walaupun pelbagai siaran dan usaha penerangan dilakukan untuk memberikan gambaran jelas kepada rakyat mengenai Rancangan Malaysia ke 10, namun masih ramai yang kabur mengenai apakah kepentingannya dan perubahannya kepada diri kita sebagai pengguna.

Apabila kita melihat kepada RMK-10, Kerajaan bertekad untuk mempertingkat infrastruktur asas luar bandar dan menambah baik sistem pengangkutan awam bandar.

1. Membina Infrastruktur Bertaraf Dunia

i. Pelaksanaan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi

Pelaksanaan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi akan meliputi bandar-bandar besar, kawasan pertumbuhan ekonomi utama dan kawasan industri. Usaha ini, akan dilengkapi dengan Jalur Lebar untuk orang awam yang akan memberi liputan ke kawasan pinggiran bandar dan luar bandar. Bagi penduduk di luar bandar, perkhidmatan rangkaian akses kepada jalur lebar akan disediakan melalui prasarana tanpa wayar dengan pakej mampu langgan yang pelbagai.

ii. Liputan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, serta jaringan komunikasi kepada kawasan luar bandar

Jalan
Kerajaan mensasarkan pembinaan sepanjang 6,300 kilometer jalan berturap di Semenanjung Malaysia, 2,500 kilometer di Sabah dan 2,800 kilometer di Sarawak yang akan memberi faedah kepada 3.3 juta 49 penduduk.

Bekalan air
Liputan bekalan air luar bandar yang lebih berkualiti dan berterusan dengan sasaran liputan sebanyak 99 peratus di Semenanjung Malaysia, 98 peratus di Sabah dan 95 peratus di Sarawak juga sedang diusahakan. Ini melibatkan penyambungan bekalan air kepada sebanyak 117,000 rumah di Semenanjung Malaysia, 112,700 di Sabah dan 87,400 di Sarawak.

Kemudahan elektrik
Kemudahan elektrik di kawasan luar bandar akan diperluaskan untuk meliputi penyambungan bekalannya ke 6,000 buah rumah di Semenanjung Malaysia, 59,000 di Sabah dan 76,000 di Sarawak. Selain daripada infrastruktur dan utiliti asas, Kerajaan juga akan menyediakan kemudahan ameniti sosial serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada masyarakat luar bandar.

2. Meningkatkan kecekapan pengangkutan awam

i. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah ditubuhkan sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab bagi merancang, mengawal selia dan menguatkuasa sistem serta operasi pengangkutan awam darat. SPAD bertanggungjawab untuk menyediakan pengangkutan awam yang selamat, anjal dan dengan tambang yang berpatutan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.

ii. Mass Rapid Transit

Kerajaan akan memperkemas lagi juraian dan rangkaian perhubungan awam di Kuala Lumpur dengan pelaksanaan projek mega Mass Rapid Transit berkapasiti tinggi membolehkan dua juta perjalanan sehari berbanding dengan 480,000 perjalanan bagi sistem pengangkutan bandar masa kini.

iii. Sistem Bas Rapid Transit akan diperkenalkan di lebih banyak kawasan lagi

Langkah-langkah untuk meningkatkan peratus penggunaan pengangkutan awam dengan ketara di Greater Kuala Lumpur, iaitu daripada 12 peratus pada tahun 2009 kepada 30 peratus pada tahun 2015. Selain itu, usaha mempertingkatkan sistem pengangkutan awam darat akan diperluaskan kepada bandaraya lain. Untuk tujuan ini, sistem Bas Rapid Transit akan diperkenalkan di Wilayah Iskandar, Johor manakala bilangan bas awam akan ditambah sebanyak 200 buah di Pulau Pinang, untuk menampung 26 laluan dengan penambahan kapasiti sebanyak 75,000 penumpang sehari.

3. Perumahan asas kepada kesejahteraan hidup rakyat

i. Memperbanyakkan rumah mampu milik

Menyediakan perumahan mampu milik mencukupi bagi setiap segmen masyarakat, terutamanya yang berpendapatan rendah. Kerana itu, 78,000 buah rumah mampu milik akan dibina di bawah Rancangan ini.

ii. Undang-undang berkaitan akan diketatkan dan penguatkuasaan ditingkatkan ke arah memastikan rumah mampu milik dibina dengan kualiti yang sewajarnya.

iii. Satu dana berjumlah 500 juta ringgit akan diperuntukkan bagi tujuan membiayai kerja-kerja baikpulih dan penyelenggaraan rumah mampu milik awam mahupun swasta. Dana ini didasarkan kepada kaedah geran sepadan, di mana separuh daripada kos akan disumbang oleh Kerajaan, manakala separuh lagi oleh pihak pengurusan atau persatuan penduduk rumah berkenaan.

4. Alam sekitar tanggungjawab kita

i. Penekanan akan diberi kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharu dan peningkatan kecekapan tenaga. Antara lain, Kerajaan akan memperkenalkan Feed in Tariff dan Dana Tenaga Boleh Diperbaharu bagi menggalakkan perkembangan aplikasi tenaga boleh diperbaharu. Garis panduan, piawaian dan undang-undang berkaitan akan diperkenal bagi memastikan kecekapan penggunaan tenaga, termasuk penurunan tahap pelepasan gas rumah hijau.

ii. Pihak industri diseru untuk mengambil peluang dan menggunakan insentif yang telah disediakan oleh Kerajaan melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sebanyak RM1.5 bilion bagi mempertingkatkan aplikasi teknologi hijau dalam pengeluaran produk dan penyediaan perkhidmatan. Kerajaan akan menggalakkan pewujudan perumahan mesra alam dengan memperkenalkan Garispanduan serta sistem penarafan hijau. Putrajaya dan Cyberjaya akan dijadikan model perintis bagi bandar hijau contoh. Kerajaan juga akan menerajui usaha melaksanakan piawaian bangunan hijau. Bangunan baru Kerajaan akan direkabina untuk mematuhi piawaian ini. Kecekapan tenaga bangunan sedia ada Kerajaan juga akan ditambahbaik, dan, sebagai contoh suri tauladan, bangunan Pejabat Perdana Menteri akan dinaiktaraf untuk mematuhi penarafan hijau yang bertaraf Gold Standard.

 

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)