Kenaikan kadar faedah pinjaman sewa beli menjadi amaran meningkatnya jumlah penarikan semula kereta. Ini sudah pasti akan memberi kesan buruk kepada pengguna dan sosioekonomi!

Bank dan penjual kereta memaklumkan bahawa kadar faedah bagi pinjaman sewa beli telah meningkat lebih daripada 4% dan akan terus meningkat. Jika dibandingkan dengan tahun lalu, faedah pinjaman sewa beli hanya berada di sekitar 2% dan kini meningkat dengan lebih dua kali ganda tanpa disedari.

Peningkatan kadar faedah ini sudah pasti memberikan kesan negatif kepada rakyat dan sosio ekonomi negara. Berdasarkan aduan yang diterima, menunjukkan jumlah aduan terhadap penarikan semula semakin meningkat. Ini adalah kesan langsung kepada pengguna.

Berikut diperjelaskan kesan daripada kenaikan kadar faedah pembelian sewa beli ini.

Pertama, kita perlu memahami bahawa mungkin terdapat peningkatan kecil dalam ekonomi negara, tetapi tiada peningkatan dalam ekonomi rakyat (aliran kewangan). Gaji pengguna masih sama, manakala kos hidup di Malaysia sangat tinggi berbanding dengan luar negeri. Pada masa kini, kereta merupakan salah satu keperluan asas, lebih-lebih lagi kepada mereka yang bekerja, kaum wanita dan mereka yang mempunyai keluarga. Dalam keadaan yang sukar dengan cadangan kerajaan menarik semula subsidi, maka kenaikan faedah pinjaman sewa beli akan membebankan rakyat.

Kedua, kenaikan kadar faedah akan menambahkan beban kepada pembeli kereta. Mereka terpaksa membayar lebih, misalnya orang yang membeli kereta pada tahun 2009 hanya membayar RM 530,00 sebulan, tetapi orang-orang yang membeli kereta pada sekarang harus membayar hampir RM 650,00 untuk kereta yang sama.

Setiap orang akan menghabiskan lebih banyak masa untuk urusan kereta mereka. Disebabkan kadar bayaran yang lebih tinggi, menyebabkan mereka mungkin tidak mampu untuk menjelaskan bayaran ansuran bulanan, yang akhirnya menyebabkan kereta mereka akan ditarik balik. Penarikan balik kereta juga memberikan kesan yang buruk kepada ekonomi dan rakyat, kerana mereka perlu membayar kos penyimpanan dan tarik kereta dengan kos yang begitu mahal. Berapa banyak orang yang mampu menebus kereta mereka secepat mungkin?

Selain daripada kadar tunggakan baki yang kian meningkat, pengguna juga akan terpaksa mengeluarkan wang yang lebih kerana terpaksa mengunakan perkhidmatan pengangkutan lain.

1. Aktiviti harian akan terganggu tanpa kereta
2. Mengalami perasaan malu apabila berdepan dengan rakan, jiran dan keluarga.
3. Terpaksa berhutang lebih dengan bank kerana bayaran akan dikenakan untuk “storage fees” dan kos tarik kereta
4. Mempengaruhi kebahagiaan di dalam keluarga
5. Disenarai hitam oleh bank dan sebagainya

Ramai pengguna yang tidak sedar tentang pindaan Akta Sewa Beli yang akan membawa perubahan dalam proses penarikan semula kereta. Antara pindaan utama Akta ini ialah peluang yang diberikan kepada peminjam yang telah membayar pinjaman lebih daripada satu pertiga pinjaman. Bank diwajibkan untuk mendapatkan perintah mahkamah untuk proses penarikan semula. Namun secara realitinya, kebanyakan peminjam sewa beli yang bermasalah adalah di bawah kategori peminjam yang menjelaskan kurang daripada satu pertiga, pembeli kereta yang baru dan golongan muda yang baru menjejaki alam perkerjaan. ini.

Oleh itu, kerajaan dan Bank Negara Malaysia perlu mengkaji secara mendalam kesan yang bakal dihadapi oleh pengguna akibat daripada kenaikan kadar faedah sewa beli. Kadar faedah perlu diturunkan sehingga kepada tahap minimum bagi menjaga kebajikan dan masa depan rakyat. Jika ini dilakukan, lebih ramai lagi rakyat yang akan membeli kereta, yang seterusnya akan meningkatkan ekonomi dan aliran kewangan negara.

 

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)