Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan membentangkan Dasar Pengguna Negara yang baru pada akhir tahun ini bagi menggantikan Dasar Pengguna Negara yang sedia ada.
Demikian diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) baru-baru ini.
Langkah kerajaan itu amat dialu-alukan kerana Dasar Pengguna Negara merupakan dokumen yang penting dalam menentukan hala tuju kerajaan dalam bidang kepenggunaan di negara ini.
Namun begitu, persoalannya ialah apa yang telah terjadi dengan Dasar Pengguna Negara yang ada sekarang. Semenjak dilancarkan pada tahun 2002, semasa sambutan Hari Pengguna Malaysia, dasar tersebut hanya sekadar di atas kertas sahaja. Tiada ada sebarang usaha KPDNKK khususnya, dan kerajaan umumnya untuk melaksanakan dasar tersebut.
Pelbagai aspek berkaitan kepenggunaan dalam dasar tersebut, yang sekiranya dilaksanakan akan membuahkan hasil yang baik, terutama berkaitan pergerakan kepenggunaan dan perlindungan pengguna.
Semenjak dilancarkan sehingga kini, tidak ada sebarang berita tentang Dasar Pengguna Negara, sehinggalah Dato’ Sri Ismail Sabri mengumumkan tentang Dasar Pengguna Negara yang baru ini.
Nasib yang sama juga berlaku kepada Rukuniaga Malaysia yang dilancarkan pada 15 Januari 2002 dan Pelan Induk Pengguna, yang telah dirangka untuk dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun, iaitu bermula pada 2003 hingga 2013.
Semua dasar ini telah diwujudkan, tetapi gagal dilaksanakan. Kini kerajaan memperkatakan pula dengan Dasar Pengguna Negara yang baru dan Pelan Induk Pengguna yang baru bagi tempoh 2010 hingga 2020.
Dikhuatiri kedua-duanya akan mengulangi nasib yang menimpa Dasar Pengguna Negara dan Pelan Induk Pengguna yang telah diwujudkan sebelum ini. Rukuniaga Malaysia pula hanya menunggu masa untuk diwujudkan Rukuniaga yang baru!
Mohd Yusof Abdul Rahman