NCCC sering menerima aduan tentang perkhidmatan pengeluar kereta tempatan dan kualiti kereta keluaran mereka. Aduan yang dibuat oleh pengguna pengguna terhadap kereta tempatan amat membimbangkan kerana ia boleh memberi kesan kesan negatif kepada industri automotif tempatan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pengeluaran kereta dijangka merosot kepada 480,000 unit pada tahun 2010, berbanding dengan pengeluaran pada tahun 2009 sebanyak 550,000 unit – yang merupakan pengurangan kira-kira 20 peratus. Menurut beliau kemerosotan itu berpunca daripada jangkaan keyakinan pengguna yang semakin menurun dan kawalan kredit bank yang semakin ketat.

Keyakinan pengguna adalah kunci paling utama kejayaan bagi pengeluar dan penjual. Jumlah aduan yang tinggi diterima oleh NCCC, dan ulasan pengguna di dalam blog, forum serta media massa lain secara terus akan mengurangkan prestasi dan pengeluaran kereta tempatan. Tindakan dan perubahan serta-merta harus dilakukan daripada pihak pengeluar agar meraihkan balik sokongan pengguna tempatan. Masalah utama seperti kerosakan enjin, “overheating” dan sebagainya dalam tempoh masa awal penggunaan lagi seperti dalam minggu pertama selepas menerima kereta tersebut, menyebabkan pengguna tidak berpuas hati dengan kereta tempatan.

Selain itu, harga kereta tempatan yang kian meningkat, yang hampir menyamai kereta import dan juga kadar faedah yang tinggi untuk kereta tempatan membuatkan semua pihak untuk berfikir lagi untuk membelinya kerana kepentingan utama juga diberikan untuk komitmen dan bajet masing-masing.

Komitmen dan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik disediakan pengedar kereta import, menyulitkan pengguna untuk memberikan sokongan kepada kereta tempatan.

Industri kereta tempatan disarankan supaya meningkatkan KUALITI, mengurangkan HARGA dan memberi keutamaan KUALITI PERKHIDMATAN agar ia dapat meningkatkan sokongan dan keyakinan pengguna. Sekiranya suatu aduan dikemukakan, pihak yang dipertanggungjawab perlu menyediakan kaedah penyelesaian yang baik dan cepat. Sebelum kereta diberikan kepada pembeli, kereta tersebut dipastikan dupaya “SIFAR KEROSAKAN”. Jangan menyerahkan kereta yang tidak sempurna kepada pembeli kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada semua pihak dan merosakkan nama industri kereta itu sendiri.

NCCC juga turut berharap agar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Industri Automotif Tempatan bekerjasama dalam meneliti langkah-langkah pemulihan dan pembaharuan agar meningkatkan sokongan dan keyakinan pengguna. Sekadar promosi tidak memadai, apa yang diharapkan adalah perubahan dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

NCCC yakin sekiranya industri kereta tempatan dan kerajaan tampil hadapan untuk memberikan jaminan kualiti dan pengurangan harga dan kadar faedah yang bersesuaian, ia akan meningkatkan pengeluaran dan sokongan pengguna terhadap pengeluar dan kereta tempatan.

Kerajaan kini dalam proses untuk menyemak semula Dasar Automotif Negara. Perundingan sedang dilakukan dalam kalangan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta persatuan industri berkenaan, bagi memastikan Dasar Automotif Negara dapat menyumbang secara berkesan ke arah pembangunan industri itu. Semakan semula Dasar itu akan menambahbaik lagi garis panduan, dasar dan insentif sedia ada, dengan mengambil kira impak keadaan ekonomi global dan serantau.


Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)