Cadangan Bank Negara memperketatkan peraturan kad kredit amat wajar sekali, khususnya kepada golongan muda. Kelonggaran yang wujud pada masa ini menyebabkan banyak masalah wujud dalam kalangan golongan muda yang memiliki kad kredit ini, sehingga ada antara mereka yang telah diisytiharkan muflis dalam usia masih muda.

Bank Negara baru-baru ini dilaporkan akan menetapkan had maksimum kad kredit bagi pemohon, khususnya golongan muda, yang berpendapatan RM1,500 hingga RM3,000 berdasarkan satu kali ganda gaji dan daripada dua buah bank sahaja. Ini bertujuan supaya mereka berbelanja menggunakan kad kredit secara terkawal. dan berhemah. Pada masa ini pengeluar kad kredit memberikan had maksimum berbeza mengikut jenis kad kredit yang dipohon oleh pemegang kad kredit. Begitu juga, had maksimum tersebut boleh dinaikkan sekiranya pemegang kad kredit membuat permohonan berdasarkan rekod pembayaran kad kredit.

Selain mengehadkan hak maksimum kad kredit bagi golongan muda ini, Bank Negara juga perlu mengkaji semula beberapa hal lain berkaitan kad kredit. Antaranya gaji minimum yang perlu bagi pemohon kad kredit dan aktiviti pemasaran yang agresif oleh institusi kewangan yang mengeluarkan kad kredit.

Kini pemegang kad kredit yang bergaji RM1,500 pun boleh memohon kad kredit dengan had minimum sehingga RM6,000 bergantung kepada jenis kad kredit dan institusi kewangan. Bank Negara perlu mengenakan peraturan hanya mereka yang berpendapatan RM30,000 setahun ke atas sahaja yang boleh memohon kad kredit.

Institusi kewangan yang mengeluarkan kad kredit juga begitu agresif memasarkan kad kredit yang dikeluarkan oleh mereka sehingga ada wakil mereka yang menggunakan pelbagai taktik untuk mempengaruhi pengguna untuk menggunakan kad kredit mereka. Malah ada yang merayu agar pengguna memohon kad kredit mereka untuk membolehkan wakil tersebut mendapat komisen, di samping mendakwa pengguna boleh membatalkan kad kredit selepas itu jika tidak berminat menggunakannya. Taktik pemasaran ini adalah tidak beretika sekali.

Bank Negara juga perlu menaikkan had minimum bayaran bulanan yang perlu dibayar oleh pemegang kad kredit. Pada masa ini, had minimum bayaran adalah lima peratus. Malah ada institusi kewangan yang membenarkan had minimum sebanyak 2.5 peratus atau RM50.00 sahaja. Kadar pembayaran yang rendah inilah sebenarnya memerangkap pemegang kad kredit dengan beranggapan jika mereka membayar had minimum yang ditetapkan, mereka tidak menghadapi masalah.

Sebenarnya tanpa mereka sedari baki yang belum berbayar itu semakin menunggak termasuk pelbagai kadar faedah yang dikenakan sehingga pada satu peringkat mereka tidak mampu menjelaskan jumlah tunggakan yang tinggi itu. Ada pula yang terpaksa membuat pinjaman peribadi untuk membayar kad kredit itu. Paling teruk lagi ada yang memohon kad kredit baru bagi menjelaskan hutang kad kredit yang lama. Akhir apabila semua kad kredit ini mempunyai tunggakan yang tinggi sehingga gagal untuk dibayar, mereka diisytiharkan muflis.

Bank Negara wajar menaikkan had minimum bayaran bulanan kad kredit kepada 15 peratus atau lebih.

Kad kredit bertujuan untuk memudahkan transaksi pembelian dan pembayaran. Namun disebabkan kurangnya pengetahuan tentang pengurusan kad kredit menyebabkan ramai yang terjebak dengan kad kredit.

Bank Negara perlu menggalakkan institusi kewangan mengeluarkan kad debit, khususnya golongan muda. Bagi yang berkemampuan dan berpendapatan tinggi pula, mereka perlu digalakkan menggunakan kad caj yang dahulu begitu popular sekali, seperti American Express, Diners Club dan sebagainya. Dengan penggunaan kad ini, budaya berhutang dapat dibanteras dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, Bank Negara juga perlu menggiatkan aktiviti untuk menyemai tabiat menabung dalam kalangan rakyat Malaysia melalui pelbagai inisiatif yang dibuat oleh institusi kewangan.

 

Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)