Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyokong langkah kerajaan menaikkan harga rokok pek 20 batang sebanyak 70 sen, yang menjadikan harganya kini sebanyak RM10, atau 10 sen bagi setiap batang bermula pada 4 Oktober 2010.

Harga rokok yang tinggi merupakan salah satu langkah bagi mengurangkan tabiat menghisap rokok terutamanya golongan remaja. Apabila harga rokok tinggi, sukar untuk mereka membelinya. Namun begitu ibu bapa perlu memantau agar anak-anak mereka tidak menggunakan wang untuk perbelanjaan sekolah digunakan untuk membeli rokok.

Peningkatan harga rokok ini ke arah menjadikan rokok sebagai produk pengguna yang mewah yang hanya mampu dibeli oleh golongan tertentu sahaja. Namun ia bukan sebagai petunjuk bahawa golongan berada boleh menghisap rokok apabila harganya tinggi, tetapi usaha juga perlu dilakukan secara berterusan agar tabiat menghisap rokok ini berkurangan dan akhirnya hilang dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menaikkan harga rokok sahaja tidak mencukupi jika tindakan penguatkuasaan tegas tidak dilakukan terhadap mereka yang menghisap rokok di kawasan zon larangan merokok. Begitu juga kegiatan menyeludup rokok yang menyebabkan rokok boleh dijual pada harga yang rendah.

Begitu juga pelbagai taktik pemasaran yang dilakukan oleh syarikat rokok, termasuk mengadakan pesta hujung tahun yang menawarkan rokok percuma kepada golongam muda.

Kempen kesedaran bahaya rokok perlu berterusan dan disemak dari semasa ke semasa terhadap keberkesanan bagi mewujudkan kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang bahaya rokok khususnya golongan remaja.

Amalan merokok perlu dibanteras daripada peringkat awal lagi. Pengurusan sekolah, termasuk guru perlu diberi kuasa untuk mencegah amalan merokok dalam kalangan pelajar sekolah mereka sama ada di dalam kawasan sekolah atau di luar sekolah. Tabiat merokok pelajar sekolah tidak boleh dipandang mudah oleh semua pihak, termasuk ibu bapa kerana ia boleh mengundang kepada amalan lain, seperti buli, menghisap dadah, samseng dan sebagainya.

Selain itu, semua pihak juga perlu memberikan perhatian serius terhadap amalan menghisap rokok. Langkah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah untuk tidak memberikan anugerah khidmat cemerlang kepada kakitangannya yang menghisap rokok adalah langkah yang perlu diikuti oleh semua pihak khususnya pihak berkuasa perkhidmatan kesihatan. Dalam keadaan mereka memberikan nasihat kepada masyarakat tentang bahaya menghisap rokok, mereka sendiri menghisap rokok.

FOMCA berharap kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia dengan sokongan daripada pelbagai pihak meneruskan usaha untuk membanteras amalan menghisap rokok dalam kalangan rakyat Malaysia agar mereka mengamalkan gaya hidup sihat.


Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia