Remaja menganggap memiliki telefon bimbit merupakan satu keperluan jika dibandingkan dengan mempunyai akaun simpanan di bank.
Mengapakah keadaan ini berlaku? Remaja yang bersikap materialistik ini berpunca daripada sikap ibu bapa yang tidak pernah menolak apa juga keinginan remaja ini. Ibu bapa yang berkemampuan dari segi pendapatan, akan memenuhi permintaan anak-anak mereka, yang adakalanya melebihi batas.
Kesilapan ibu bapa, dalam usaha untuk mencurahkan kasih sayang terhadap anak-anak mereka ini, sebenarnya telah menyemaikan tabiat pembaziran dalam diri anak-anak mereka sehingga akhirnya merugikan anak-anak mereka.
Selain itu kepentingan menabung dan simpanan untuk kegunaan masa hadapan juga perlu dididik dalam diri anak-anak dari peringkat awal lagi. Pendidikan pengurusan kewangan amat penting dan perlu dititikberatkan dalam sukatan pelajaran.
Dalam satu bengkel “Perubahan Bermula Dengan Saya” yang dijalankan oleh FOMCA dengan kerjasama Persatuan Perlindungan Pengguna Negeri Sembilan pada awal bulan Februari 2010, dihadiri oleh 30 orang remaja yang berumar antara 15 hingga 17 tahun, mendapati bahawa golongan remaja ini tidak pernah didedahkan tentang kepentingan menabung dan cara menguruskan perbelanjaan harian mereka.
Hasil daripada menghadiri bengkel tersebut, remaja-remaja tersebut bertekad untuk membuka akaun simpanan masing-masing secepat yang mungkin demi kepentingan masa hadapan mereka.
Yesotha Balakrishnan