Hutang pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah melebihi RM3 bilion. Pada tahun 2020, jumlah hutang tersebut dijangka akan meningkat kepada RM48 bilion. 50 peratus yang diisytiharkan bankrap yang disebabkan kegagalan menjelaskan kredit kad kredit adalah golongan yang berumur 30 tahun. Statistik ini telah menunjukkan bahawa golonga remaja akan menjalani kehidupan mereka dengan berhutang.
Golongan muda pada zaman ini dilihat gagal untuk mengurus kewangan. Mereka tidak menyedari tentang kepentingan pengurusan kewangan yang dapat membantu mereka untuk mencapai cita-cita dalam hidup mereka. Mereka mmbuat pinjaman pelajaran tetapi gagal menguruskan pinjaman tersebut dengan baik. Sesetengahnya menggunakan wang pinjaman tersebut untuk membeli barang-barang mewah seperti telefon bimbit dan komputer riba. Ini menyebabkan mereka terjebak ke dalam kancah hutang walaupun mereka belum memasuki bidang pekerjaan. Sebahagian pula bersikap tidak bertanggungjawab kerana enggan membayar balik pinjaman mereka yang sepatutnya digunakan untuk membantu pelajar lain yang memerlukan pinjaman kewangan untuk menyambung pelajaran.
Institusi kewangan sepatutnya mengawal promosi mereka yang agresif terutamanya promosi kad kredit. Ini menggalakkan tabiat membelanjakan wang yang dimiliki pada masa hadapan. Keadaan semakin teruk apabila pelbagai iklan yang mempengaruhi golongan muda untuk menggunakan jenama yang terkenal sahaja. Mereka juga sentiasa membeli barangan berteknologi tinggi seperti telefon bimbit yang mewah dan alat permainan yang mahal. Ini menyebabkan mereka berbelanja melebihi kemampuan. Mereka tidak pernah mempelajari tentang pengurusan kewangan yang akan mendidik mereka tentang kepentingan dan cara untuk mengurus kewangan
Sebenarnya gejala ini bukan sahaja berlaku kepada golongan muda sahaja. Menurut satu kajian Citibank, sebanyak 25 peratus rakyat Malaysia tidak tahu atau belum merancang untuk menghadapi persaraan. Mereka langsung tidak mempunyai simpanan. Ini telah menunjukkan kelemahan orang Malaysia dalam mengurus kewangan, yang kemudiannya menjadi bebanan kepada kerajaan untuk membayar kos menjaga mereka pada masa hadapan.
Sistem pendidikan yang ada pada masa ini tidak meliputi pendidikan pengurusan kewangan. Apa yang dipelajari ialah akaun asas dalam Kemahiran Hidup Bersepadu dan ekonomi bagi yang mengambil kelas vokasional. Sistem pendidikan di sesetengah negara memasukkan pendidikan pengurusan kewangan dalam sukatan pelajaran seperti di Filipina. Ontario di Kanada pula akan menyepadukan pendidikan pengurusan kewangan ke dalam sistem pendidikan pada tahun 2011. Mungkin telah tiba masanya untuk Malaysia memberikan pertimbangan yang serius tentang isu tersebut.
Pendidikan kewangan perlu dimasukkan ke dalam sistem pendidikan rasmi. Kanak-kanak perlu diajar supaya menjadi seorang pengguna yang bertanggungjawab dan mengetahui cara untuk mengurus kewangan mereka.
Kini telah wujud agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang membantu mereka yang terperangkap dalam hutang dan memberikan pendidikan pengurusan kewangan. Tetapi, kaedah yang lebih baik ialah untuk mengintegrasikan pendidikan pengurusan kewangan ke dalam sistem pendidikan. ini dapat membantu generasi masa hadapan untuk mengurus kewangan mereka sebelum mereka terjebak ke dalam masalah kewangan.
Yu Kin Len
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)
25 Februari 2010