Mutakhir ini, keinginan masyarakat untuk menikmati hidup yang mewah semakin terserlah walaupun mereka sebenarnya golongan berpendapatan sederhana atau rendah. Mereka membelanjakan wang dengan sesuka hati dan menurut kehendak nafsu yang membuak itu. 

Di samping itu, dengan adanya kemudahan kad kredit, menyebabkan mereka berbelanja dengan lebih hebat lagi bagi memenuhi kehendak mereka itu.


Namun begitu, keinginan berbelanja mewah itu telah mengundang kemelut yang berterusan dalam kehidupan mereka akibat daripada kealpaan mereka merancang kewangan dengan bijak. 

Dari aspek yang lain pula, hutang yang kian menunggak sehingga melebihi pendapatan bulanan akibat tabiat perbelanjaan itu, turut menjejaskan perbelanjaan bulanan mereka.  Keadaan ini terpaksa mereka hadapi akibat kegagalan merancang kewangan dengan baik. 

Sehubungan dengan itu, FOMCA memikul tanggungjawab dalam melahirkan pengguna yang berhemat melalui pendidikan pengguna yang diadakan di seluruh Malaysia. Dalam usaha menerapkan pendidikan pengguna di kalangan masyarakat Malaysia khususnya yang bermastautin di kawasan luar bandar, FOMCA telah mewujudkan Kempen Konsumer Kebangsaan (3K).

Kempen yang dijalankan secara agresif ini bertujuan untuk mewujudkan perubahan dalam minda masyarakat. 

Melalui kempen ini, FOMCA berharap dapat melahirkan pengguna yang boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran dan perubahan yang berlaku dalam dunia yang bersifat materialistik ini. 

Justeru, ungkapan “PERUBAHAN BERMULA DENGAN SAYA”, sebagai tema Kempen Konsumer Kebangsaan ini bukan seperti mencurahkan air ke daun keladi.  Sebaliknya ia ke arah melahirkan pengguna yang efisyen dan berpengetahuan, khususnya dalam bidang kepenggunaan. 

Rajeswary Gunnusen
ERA Consumer Malaysia
19 Mac 2010