Setiap kali lowongan pekerjaan diiklankan, nescaya ia akan diikuti dengan pelbagai syarat-syarat tertentu. Ini disebabkan oleh keperluan majikan yang inginkan bakal pekerja mereka berkemahiran tertentu, berintelektual dan mempunyai daya saing yang dapat menyumbang ke arah kemajuan majikan tersebut. Keperluan yang ditetapkan oleh majikan ini boleh diungkapkan sebagai kata pepatah, “belum mengandung, sudah mahu beranak.”

Kementerian Sumber Manusia pernah menyarankan agar syarikat–syarikat dan industri-industri tempatan menyediakan peluang latihan industri kepada belia khususnya golongan siswazah. Justeru, para siswazah perlu menyedari kepentingan latihan industri sebelum menamatkan pengajian mereka.


Latihan industri merupakan suatu yang sewajarnya diharungi oleh setiap siswazah supaya mereka bersedia untuk berhadapan dengan suasana alam pekerjaan yang sebenar sebelum memasuki dunia pekerjaan yang nyata kelak. Pendedahan awal melalui latihan industri ini akan memantapkan jati diri mereka di samping membantu mereka mempraktikkan teori yang telah dipelajari di sepanjang pembelajaran di bilik kuliah.

Latihan industri turut membuka jalan untuk membina keyakinan diri bagi menghadapi dunia pekerjaan sebenar yang bakal ditempuhi pada masa akan datang. Ia akan memberi pendedahan yang sewajarnya tentang selok-belok pekerjaan yang realiti. Melaluinya, mereka dapat menimba pengetahuan dan pengalaman pekerjaan.

Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia) telah lama mewujudkan peluang menjalani latihan industri kepada siswazah. Bakal siswazah yang mengikuti latihan industri di ERA  Consumer Malaysia akan didedahkan dengan pelbagai pengetahuan dan pengalaman berkaitan kepenggunaan, kerja sosial, ekonomi, persekitaran, psikologi dan sebagainya. 

Rajeswary Gunnusen
Eksekutif Sumber Manusia
ERA Consumer Malaysia
22 Mac 2010