Malaysia sudah sekian lama mengamalkan sistem ekonomi terbuka. Pada peringkat awal, kita adalah pengeksport utama dunia beberapa komoditi pertanian, termasuk getah dan kelapa sawit serta komoditi galian timah. Pengamalan ekonomi terbuka amat penting untuk pertumbuhan ekonomi bagi negara kecil seperti Malaysia. Jumlah penduduk yang sedikit mengehadkan permintaan dalam negara. Justeru, permintaan antarabangsa perlu untuk meningkatkan permintaan, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi.
Namun, pergantungan terhadap eksport komoditi mendedahkan negara kepada kesan pengganda yang tinggi untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Malaysia tidak mempunyai banyak pilihan pada awal era selepas kemerdekaan kerana keterbatasan teknologi. Kita tidak menguasai teknologi pemprosesan untuk memproses komoditi kepada bahan hiliran yang mampu memberi nilai tambah risiko yang tinggi, walaupun berstatus sebagai pengeksport utama dunia. Risiko utama adalah dari segi pendedahan terhadap turun naik harga pasaran komoditi kerana harga komoditi ditentukan oleh permintaan dunia.
Sebagai pengeluar utama, Malaysia tidak mempunyai kelebihan untuk menentukan harga. Kesannya, pendapatan negara terjejas apabila permintaan terhadap komoditi menurun. Selain itu, pengeluaran komoditi memberi nilai tambah yang kecil, manakala modal insan juga mempunyai kebolehan terhad. Namun, Malaysia berjaya menjadi antara negara perdagangan penting dunia sejak kira-kira dua dekad lalu dengan bantuan pelaburan langsung asing (FDI).
Kebergantungan kepada komoditi dikurangkan dengan penumpuan kepada pembuatan. Sektor ini adalah penyumbang utama kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bermula pada akhir dekad 1980-an. Walaupun Malaysia muncul kuasa penting di arena perdagangan antarabangsa dengan menembusi pasaran besar dunia, kita perlu memberi perhatian kepada beberapa fakta penting. Kebergantungan kepada FDI adalah untuk membuka ruang kepada pemindahan teknologi, terutama pembentukan modal insan.
Utamakan Tenaga Mahir Tempatan
Tanpa pemindahan teknologi, nilai tambah terhadap pendapatan negara kekal kecil. Kemasukan pelabur asing pada peringkat awal kebanyakannya tertumpu kepada pelaburan berteknologi rendah untuk meraih kelebihan dari segi kos buruh yang rendah. Kita perlu berhenti sejenak untuk membuat pemeriksaan realiti terhadap status pemindahan teknologi dan pembinaan modal insan.
Kejayaan polisi galakan FDI terus dapat dinilai melalui beberapa pencapaian. Pada peringkat awal, secara langsung, adalah melalui peningkatan pendapatan negara melalui eksport serta penyediaan peluang pekerjaan. Untuk jangka masa lebih panjang pertumbuhan industri hiliran menjadi ukuran penting. Industri hiliran inilah yang sepatutnya meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat, manakala FDI yang semakin berintensifkan modal perlu ditingkatkan bagi menyerap tenaga mahir tempatan.
Satu isyarat amaran perlu diberi perhatian, Penggunaan tenaga kerja asing tidak menunjukkan isyarat yang jelas ke arah penurunan. Malahan, penggunaannya juga tidak tertumpu kepada yang berkemahiran rendah, tetapi juga menular ke arah berkemahiran lebih tinggi. Situasi ini perlu diberi perhatian sewajarnya sebelum perjalanan Malaysia ke arah negara maju tergugat.
Pergantungan terhadap tenaga kerja asing yang berkemahiran rendah dan separa mahir terutama dalam sektor pembuatan adalah kurang sihat. la tidak menyokong perpindahan kepada aktiviti ekonomi yang memberi nilai tambah lebih tinggi. Kesan ini juga boleh dikaitkan dengan fenomena yang disebut sebagai perangkap pendapatan sederhana (middle income trap). Maka, cabaran utama dihadapi Malaysia adalah untuk melonjak keluar daripada perangkap pendapatan sederhana ke status negara berpendapatan tinggi.
Apa yang perlu dilakukan adalah kembali ke landasan asal melalui inisiatif FDI, yakni pemindahan teknologi berserta dengan pelaburan dalam modal insan. Kunci penting untuk pencapaian ini adalah melalui penggemblengan modal insan. Sehingga kini, Malaysia agak berjaya membina modal insan yang agak setanding dengan negara maju. Apa yang perlu adalah suatu inisiatif dasar yang mampu menggemblengkan tenaga mahir ini kerana ia mampu meningkatkan teknologi.
Perlu juga diingat kebanyakan negara Iain juga sudah mengamalkan ekonomi terbuka. Malah, ASEAN sebagai satu komuniti ekonomi telah komited sebagai sebuah Wilayah Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Perkembangan ini bermakna negara Iain juga akan bersaing untuk mendapatkan pasaran dunia. Untuk bersaing, Malaysia perlu meningkatkan kecekapan penge luaran, di samping mengeluar kan produk berkualiti.
Dengan adanya faktor ini, maka makin lama kita melambatkan proses transformasi ke arah peningkatan teknologi melalui penggemblengan modal insan, semakin Iambat dan sukar untuk melonjak keluar daripada perangkap pendapatan sederhana. Pergantungan kepada tenaga kerja asing perlu dihadkan kepada yang berkemahiran tinggi sahaja.
Penulis : Dr Zulkiply Omar, Felo Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER)
Sumber : Berita Harian – Bisnes – PB4 (Rabu, 2 September 2015)