Rakyat dinasihatkan supaya bersikap lebih realistik menggunakan kuasa pengguna bagi berdepan kemungkinan kenaikan harga barangan keperluan berikutan kenaikan kadar baru tol di beberapa lebuh raya bermula esok.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, antara langkah yang boleh diambil bagi menangani beban kos sara hidup dengan berbelanja di kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M), Klinik Rakyat 1Malaysia dan pelbagai lagi inisiatif disediakan kerajaan.

 

Menurutnya, barangan keperluan yang sama juga boleh didapati pada harga mampu milik melalui penubuhan KR1M dan ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

"Sehingga kini, ada 136 KR1M diseluruh negara yang menjual lebih 300 produk dengan harga lebih rendah sehingga 30 peratus berbanding produk berjenama.

"Jadi, rakyat perlu bijak menggunakan kemudahan yang disediakan dan bukan lagi memanadang kepada jenama sesuatu barangan, namun perlu mengeluarkan belanja melebihi kemampuan masing-masing,"katanya pada sidang media selepas merasmikan 'Persidangan ke Arah Negara Maju : Meningkatkan Perlindungan dan Ketahanan Pengguna' di Cititel Mid Valley Hotel, Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason; setiausaha Agung FOMCA, Dato' Paul Selvaraj dan Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Puan Reihana Abdul Razak.

 

Sumber : Harian Metro - (14 Oktober 2015,Rabu)