Bukan  mudah untuk mencari kontraktor yang boleh dipercayai dan dapat melaksanakan kerja kerja pembinaan dengan baik.  Jika anda tiada pengalaman dalam memilih kontraktor ini, cuba risik-risik dengan teman-teman atau jiran.  Sebagai pengguna anda dinasihatkan berhati-hati dalam membuat pemilihan kontraktor. 

Pengguna  perlu memastikan kontraktor tersebut mempunyai lesen perniagaan yang sah dengan Suruhanjaya Syarikat dan berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Jika perlu dapatkan maklumat daripada persatuan kontraktor.  Pengguna juga dinasihatkan menyelidik latar belakang kontraktor, kestabilan, kewangan dan insurans,  Selain itu, pengguna juga mesti memastikan kontraktor tersebut mempunyai alamat urus niaga sama ada pejabat atau rumah.  Dalam pada itu,  pengguna perlu mendapatkan kad perniagaan, bagi melihat butiran alamat agar dapat menghubungi serta mengetahui lokasi  perniagaan mereka.


Pengguna dinasihatkan agar mendapat sebut harga yang sesuai dengan bajet anda. Anda perlu meminta kontraktor tersebut untuk menyediakan secara bertulis dan terperinci seperti sampel  bahan,  harga barang yang digunakan, upah pasang dan termasuk juga kerja bagi setiap skop kerja binaan. Kos tambahan /luar yang perlu ditanggung oleh pemilik.  Untuk mendapatkan harga yang berpatutan pemilik perlu berbincang dengan kontraktor.  

Buat soal selidik mengenai kontraktor binaan yang mempunyai rekod kerja yang baik, walaupun baru menyiapkan 2 atau 3 projek binaan yang kecil atau sederhana seperti tambahan atau ubah suai rumah. Kontraktor yang hanya membuat kerja ubah suai rumah atau kerja kecil belum tentu boleh membina rumah banglo dengan baik berdasarkan pengalaman. Semak rekod prestasi kerja kontraktor, sama ada dapat menyiapkan kerja dalam masa yang dipersetujui atau lebih awal dengan kualiti, seperti mempunyai jadual kerja yang jelas dan juga mempunyai laporan prestasi yang lengkap. Jika kontraktor mempunyai etika kerja yang jujur, pengguna tiada masalah untuk menghubungi kontraktor tersebut untuk mengetahui status kerja mereka.     

Pengguna juga perlu membuat satu surat perjanjian rasmi disertakan pengesahan tandatangan kedua-dua pihak mengenai perincian tugas atau skop kerja dalam kontrak ini untuk mengelakkan masalah pecah kontrak. Kaedah dan cara pembayaran yang lebih selamat ialah mengikut pencapaian kemajuan kerja.    Sebagai pemilik, dapatkan jaminan pengembalian wang atau perkhidmatan pembaikan untuk kerosakan selepas rumah disiapkan. 

Norli Baharin
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)