Cuba tanyakan kepada diri anda sendiri, berapa peratuskah matlamat kewangan yang telah berjaya anda berjaya capai pada tahun 2011?

Pada awal tahun baru ini merupakan masa yang paling sesuai untuk  anda  menilai kembali matlamat perancangan kewangan pada tahun lalu dan menyemak semula impian dan perancangan kewangan yang tidak terlaksana.

Mengenal pasti keadaan kewangan semasa anda adalah satu permulaan yang baik untuk anda perbaiki matlamat kewangan pada masa akan datang.

Anda juga perlu menyenaraikan keutamaan dan berazam untuk benar-benar dapat mencapainya pada tahun ini.


Setiap daripada kita mempunyai matlamat kewangan yang berbeza. Berikut adalah 10 resolusi kewangan yang boleh anda lakukan sempena Tahun Baru 2012.

1) Hentikan pembelian yang tidak perlu.

Hentikan pembelian yang tidak perlu dan sentiasa mengingatkan diri anda tentang matlamat utama yang ingin anda capai. Komitmen dalam tempoh jangka masa panjang akan membantu anda dalam meningkatkan keupayaan menguruskan kewangan dengan baik. Pengajaran dan pengalaman dapat mengubah minda anda dalam membuat keputusan perancangan kewangan. 

2) Sentiasa menyemak aliran tunai anda.
Sekiranya anda seorang yang tidak dapat mengawal perbelanjaan anda. Anda harus mengetahui cara-cara yang berkesan untuk menyemak dan menguruskan aliran tunai wang keluar dan wang masuk secara sistematik. Sentiasa catatkan perbelanjaan bulanan dan harian anda. Anda boleh lihat corak perbelanjaan sebenar anda dan mulakan langkah untuk mengubah sikap anda berbelanja. Aktiviti ini memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi. Teruskan mencatat perbelanjaan anda sehingga akhir tahun dan nilai semula perubahan yang telah anda lakukan. 

3) Memberi keutamaan untuk diri sendiri.
Bayar untuk diri anda sendiri merupakan perkara yang paling utama. Anda perlu membuat simpanan sekurang-kurannya 10% daripada gaji bulanan anda. Tingkatkan simpanan dan pelaburan anda dari masa ke semasa dengan mengambil kira kadar inflasi. Displinkan diri anda untuk membuat simpanan dan langkah yang bijak adalah dengan melakukan bayaran secara automatik ke dalam akaun simpanan anda.

4) Tetapkan matlamat kewangan anda
Anda perlu menetapkan matlamat kewangan anda dan impian yang ingin anda capai dalam pengurusan kewangan. Contohnya keputusan untuk membeli rumah, berkahwin, melanjutkan pelajaran, pendidikan anak-anak atau persediaan untuk bersara. Sekali lagi, anda perlu melihat senarai keutamaan dalam menetapkan matlamat kewangan anda.

5) Dapatkan perlindungan yang bersesuaian
Kenal pasti perlindungan yang telah anda beli. Adakah perlindungan tersebut mengikut keperluan anda dan kehendak semasa? Semak semula perlindungan anda, keluarga dan anak-anak anda. 

6) Uruskan hutang anda dengan bijak

Senaraikan hutang anda mengikut urutan jumlah ansuran, baki hutang, kos pinjaman dan tempoh bayaran. Jika bayaran ansuran hutang melebihi 20% pendapatan bulanan, maka anda mungkin mempunyai masalah kewangan. Tetapkan azam dan disiplin anda untuk melunaskan hutang-hutang anda mengikut tempoh bayaran. Berbelanjalah secara tunai untuk sesuatu yang akan merosot nilainya dengan masa. 

7) Libatkan keluarga anda 
Libatkan seluruh keluarga anda dalam pengurusan kewangan. Mulakan tahun baru dengan berbincang dan menentukan perbelanjaan keluarga anda. Didik anak anda untuk menyimpan sebahagian daripada wang saku dan belanja kepada barangan yang perlu. 

8) Tingkatkan pelan pelaburan anda.
Pelaburan memerlukan tempoh masa yang panjang. Anda perlu menentukan jenis-jenis pelaburan yang bersesuaian dengan diri dan keluarga anda. Rujuk kepada pakar sekiranya anda tidak pasti dengan produk-produk pelaburan yang ditawarkan.

9) Peruntukan kewangan anda kepada badan-badan kebajikan.
Dalam mengejar kemewahan kita tidak harus lupa kepada orang-orang yang memerlukan bantuan. Dermakan wang anda kepada badan-badan kebajikan dan anda boleh mendapatkan pengecualian cukai pendapatan daripada sumbangan tersebut.

10) Tingkatkan pendidikan pengurusan anda

Tingkatkan pengetahuan anda dalam pengurusan kewangan melalui pembacaan majalah, buku-buku dan menghadiri seminar atau kursus. Anda perlu mencungkil rahsia kejayaan “mentor” kewangan anda dan mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada perunding kewangan anda. 

Siti Rahayu Zakaria
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia