Julai 1, 2021 @ 1:31pm
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan ada menawarkan pembiayaan peribadi 'Lestari Pinjaman Peribadi KPKT' kepada orang awam seperti yang tular di media sosial.
KPKT dalam satu kenyataan memaklumkan, semakan dibuat pihaknya mendapati laman media sosial terbabit diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan logo kementerian itu serta logo syarikat Kredit Komuniti berlesen yang didaftar di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Akta 400).
"KPKT menafikan pembabitan dan tawaran iklan terhadap pembiayaan peribadi 'Lestari Pinjaman Peribadi KPKT' kepada orang awam.
"KPKT memandang serius terhadap mana-mana pihak atau syarikat pemberi pinjaman wang berlesen atau tidak berlesen yang menyalahgunakan logo KPKT, logo Kredit Komuniti dan lesen pemberi pinjam wang untuk tujuan penipuan," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, kementerian akan melakukan siasatan serta menyerahkan perkara terbabit kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Selain itu, aduan turut dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Orang awam dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dalam menerima sebarang tawaran pinjaman yang diiklankan.
"Sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung iklan yang dipaparkan, orang awam dinasihatkan untuk terus menghubungi Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK), KPKT ditalian 03-8891 4690/4668/4658/4708.
"Aduan juga boleh dibuat melalui saluran aduan.kpkt.gov.my atau melalui aplikasi mobil i-KrediKom," katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/834277/kpkt-nafi-tawar-pembiayaan-peribadi